Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Wednesday, October 14, 2015

'Enam jahanam pimpinan Mahathir cuba pecahkan Umno'

Shakira Buang
Tindakan sekumpulan pemimpin veteran Umno yang tampil pada sidang media di Putrajaya Isnin lalu dan membidas pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, termasuk pengunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) bagi ‘menutup’ mulut ahli parti daripada mengkritik kepimpinan parti mengundang rasa tidak senang beberapa pemimpin akar umbi.

Bagi Ketua penerangan Umno bahagian Seputeh, Mohd Shariff Badaruddin, tindakan yang diketuai oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta lima pemimpin Umno serta seorang pimpinan MCA hanyalah untuk memecah belahkan parti Melayu terbesar itu.

“Saya lihat mereka semua itu sebagai “enam jahanam” yang mahu pecah belahkan Umno. Saya tak setuju dengan apa yang mereka buat ini,” kata Mohd Shariff kepada Malaysiakini.

“Masa ada jawatan dulu buat lain, bila dah tak ada jawatan buat lain pula. Kalau nak jadi pembangkang yang menyokong tak apa. Saya tak nak ikut sangat cakap dia orang itu,” katanya.

Malah, beliau menegaskan anggota akar umbi bahagian itu tidak memandang serius apa yang diperkatakan pemimpin veteran Umno berkenaan.

Menurutnya anggota akar umbi tetap setia dengan pentadbiran Najib yang juga adalah presiden parti.

“Di peringkat (bahagian Seputeh) kami anggap ia tidak betul sahaja. Kami masih setia dengan pemimpin yang ada hari ini,” kata Mohd Shariff.
Tun Dr Mahathir Mohamad dan seteru politiknya Tengku Razaleigh Hamzah mengambil langkah mengejutkan dengan membuat sidang media bersama bagi menyatakan rasa tidak senang berhubung beberapa isu termasuk penangkapan bekas naib ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Mathias Chang.

Khairuddin ditahan selepas membuat laporan kepada pihak penguatkuasaan di negara luar, termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat berhubung isu 1MDB. Peguamnya Chang turut ditangkap baru-baru ini.

Lebih mengejutkan, pada sidang media di Putrajaya itu, turut disertai oleh bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri Datuk Seri Shafie Apdal.

Kedua-dua mereka digugurkan daripada kabinet kerana lantang mempersoalkan cara Najib menangani skandal 1MDB.

Selain mereka, bekas menteri besar Kedah dan bekas menteri Tan Sri Sanusi Junid dan bekas presiden MCA Tan Sri Ong Tee Keat juga hadir.

Akar umbi Umno kini meluat

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno bahagian Kepong Abdul Razak Abdul Rahman berkata anggota akar umbi hari ini semakin meluat dengan kontroversi dan masalah dalaman yang membelit perikatan itu.

“Saya sebagai orang yang dekat dengan akar umbi rasa semakin hari semakin meluat dan pening kepala,” kata Abdul Razak dengan nada kesal.
Menurutnya, meskipun anggota akar umbi rata-ratanya masih menyokong kepimpinan Najib, namun mereka tetap menggesa agar isu syarikat sarat hutang 1MDB itu diselesaikan dengan kadar segera.

“Rata-rata masih menyokong Datuk Seri Najib tapi dalam masa yang sama mereka mahu kerajaan selesaikan segera isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

“Sudah terlampau banyak kenyataan bercanggah daripada kepimpinan parti, agensi kerajaan dan sebagainya.

“Perkara ini (isu 1MDB) ini sudah semakin memeningkan untuk kita faham dan terima perkara ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno bahagian Bandar Tun Razak Mohd Amir Abd Halim ketika dihubungi berkata tindakan ketujuh-tujuh kepimpinan BN itu hanyalah agenda politik mereka.

“Kita tetap bersama dengan perdana menteri.

“Ia lebih kepada kenyataan yang kita tahu ada agenda politik yang mana kesemua mereka yang terlibat ada agenda politik. Ia bukan satu pandangan daripada professional atau pakar perundangan mahu pun peguam negara,” katanya.