Monday, October 12, 2015

Muhyiddin gesa ahli Umno jangan takut, suarakan kebimbangan

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Putrajaya hari ini bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal, Ahli Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, bekas menteri besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid dan bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat.Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 12 Oktober, 2015.

Ahli Umno di peringkat akar umbi harus lebih berani menyuarakan kebimbangan mereka dalam menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan dan pentadbiran kepimpinan atasan, kata Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau bagaimanapun mengakui budaya parti Melayu itu lebih cenderung untuk memendam perasaan mereka, malah ada ahli Umno yang khuatir akan dikenakan tindakan sekiranya bersuara.

"Saya minta mereka lebih terbuka suarakannya. Dalam mesyuarat, suarakan. Dan jangan takut dengan kesannya, jika mereka lakukan perkara yang betul.

"Ramai yang tidak bersedia bersemuka, takut dengan tindakan, takut digugurkan atau dipecat. Bagi saya itu tidak patut berlaku.

"Ahli Umno perlu tampil ke depan, bukan menentang, tapi menyuarakan isu pokok," katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal, Ahli Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, bekas menteri besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid dan bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat.

Muhyiddin berkata, ahli Umno juga perlu berperanan membawa suara mereka untuk didengar kerana mereka merupakan sebahagian daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Peranan Umno, mesti ada suara yang melihat ini sebagai isu penting kerana kita sebahagian daripada kerajaan.

"Saya tidak fikir ahli parti harus takut atau bimbang," kata ahli Parlimen Pagoh yang disingkirkan daripada Kabinet bersama Shafie pada 28 Julai lalu.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/muhyiddin-gesa-ahli-umno-jangan-takut-suarakan-kebimbangan#sthash.KseYkZNq.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-