Saturday, November 7, 2015

Gabungan Pelik Kerajaan Selangor Perlu Dihenti - Khalid Samad

 AIDCNEWS

AIDCNews – Mengibaratkan gabungan politik Kerajaan Negeri Selangor bagaikan suami yang mempunyai isteri yang sah dan pada masa sama seorang wanita simpanan, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara Khalid Abdul Samad mengharapkan gabungan pelik (anamoli) perlu dihentikan supaya ia tidak menimbulkan persepsi buruk kepada rakyat.

“Oleh itu kedudukan dan status kerajaan Selangor perlu diperjelaskan dan diselaraskan supaya ianya tidak lagi dilihat sebagai sebuah ‘kerajaan dua gabungan’ yang tidak saling memperakui satu sama lain. Iaitu pertamanya gabungan Pakatan Harapan antara PKR, DAP serta Amanah dan keduanya ‘Pakatan PKR-PAS’.

“Suasana ‘anamoli’ atau kepelikan ini perlu diatasi supaya paling kurang, kerajaan Selangor dilihat bersatu dan kukuh dengan identiti yang jelas dan tersendiri. Bukan lagi sebagai kerajaan dua gabungan yang satunya rasmi dan satunya tidak.

“Oleh itu satu penyelesaian perlu difikirkan dan dikemukakan untuk supaya ‘anamoli’ ini ditamatkan,”katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan yang dibuat oleh Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong dalam Konvensyen DAP Selangor 1 November lalu yang memberi kata dua kepada Menteri besar Selangor, Mohamed Azmin Ali supaya memecat wakil PAS dalam kerajaan negeri atau berhadapan dengan risiko, DAP sendiri akan keluar dari pentadbiran kerajaan negeri itu.

Khalid berkata luahan perwakilan DAP Selangor itu sebagai luahan peringkat akar umbi yang tidak berpuas hati dengan suasana yang dianggap terumbang-ambing di antara Pakatan Harapan dan ‘Pakatan PKR-PAS’

“Antara kegusaran peringkat akar umbi adalah status kerajaan Negeri itu sendiri. Kerajaan apakah yang memerintah Negeri Selangor? Dulu ianya kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP yang memerintah berdasarkan manifesto PR Selangor.

“Sekarang PR sudah tidak wujud dan yang wujud adalah Pakatan Harapan (PH). Tetapi yang memerintah Selangor bukan kerajaan PH kerana PAS bukan sebahagian dari PH. Sedangkan PAS merupakan sebahagian dari kerajaan dengan adanya 3 exco dan seorang Timbalan Speaker.

“Maka apa pula hubungan PH dan PAS?,”soal Khalid.

Tambahnya, untuk menamatkan kesamaran itu, perjanjian hitam-putih perlu dimuktamadkan di antara PH dan PAS Selangor.

“Amanah melihat bahawa persoalan status dan kedudukan kerajaan Negeri Selangor boleh diselesaikan dengan dirasmikan hubungan semua pihak melalui satu perjanjian kerjasama antara PH dan PAS.

“Pendekatan sebegini tidak menjejas kedudukan sama ada PH Selangor atau PAS Selangor. Melalui perjanjian kerjasama ini kedudukan kedua-dua entiti diiktiraf dan hubungannya menjadi rasmi. Melalui tindakan ini hubungan antara PAS adalah dengan PH dan bukan hanya dengan PKR.

“Kerajaan Selangor pula jelas menjadi kerajaan gabungan PH-PAS dan bukan entiti yang pelik iaitu dua gabungan yang saling tidak mengiktiraf satu sama lain.

“Seterusnya, gabungan baru ini, iaitu PH-PAS, perlu menentukan dasar-dasar yang ingin dilaksanakan bersama. Ini memberi peluang untuk kerajaan PH-PAS Selangor mengkaji kembali manifesto PR Selangor.

“Sekiranya didapati peluang penambahbaikan maka ianya perlu dimanfaatkan. Sebaliknya, sekiranya manifesto PR ingin diterimapakai oleh kerajaan Selangor PH-PAS, maka biarlah ianya dilakukan secara rasmi juga,”katanya.

Khalid berkata perkara itu perlu dilakukan dengan kadar segera, jika dibiarkan tanpa penyelesaian konkrit dibimbangi akan memberi implikasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

“Perkara-perkara tersebut di atas perlu disegerakan. Amanah khuatir sekiranya rakyat Selangor naik jemu dengan suasana terumbang-ambing dan tidak jelas yang wujud dewasa ini berhubung kedudukan kerajaan Negerinya.

“Dikhuatiri ianya dilihat sebagai kegagalan mengutamakan rakyat dengan mengurus perbezaan secara konstruktif dan membina.

“Sekiranya suasana ‘politik berjerebu’ ini berterusan sehingga PRU ke 14, dikhuatiri rakyat akan menghukum PH dan juga PAS melalui peti undi,”katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-