Friday, November 13, 2015

PAS tak perlu tandatangan perjanjian baharu, kata Azmin kepada Amanah

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali tidak melihat keperluan PAS Selangor menandatangani perjanjian baharu dengan Pakatan Harapan kerana semua pihak bersetuju berpegang kepada dasar serta manifesto bersama Pakatan Rakyat terdahulu.Gambar fail The Malaysian Insider, 13 November, 2015.

Tidak ada keperluan untuk PAS Selangor menandatangani perjanjian dengan Pakatan Harapan di negeri itu kerana wujud perjanjian sedia ada yang dibentuk melalui gabungan terdahulu, Pakatan Rakyat (PR), kata Menteri Besar Mohamed Azmin Ali kepada Parti Amanah Negara (Amanah).

Amanah, dalam satu kenyataan hari ini berkata, PAS Selangor berjanji berpegang kepada dasar dan manifesto bersama PR untuk bersama-sama meneruskan pentadbiran negeri.

"Oleh itu, mengikut pandangan MB Selangor, perjanjian baharu antara PAS dan Pakatan Harapan adalah tidak perlu," kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad.

"Amanah menerima baik pendirian MB yang kerajaan Selangor bukan kerajaan Pakatan Harapan seperti kerajaan Pulau Pinang atas sebab keterlibatan PAS dalam kerajaan Selangor.

"Namun, Pakatan Harapan tetap diiktiraf dan mempunyai tempat di dalam pentadbiran negeri Selangor," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas pertemuan antara Amanah dengan Azmin semalam, yang membincangkan isu kerajaan negeri Selangor serta perkara lain yang berkaitan.

Pakatan Harapan adalah pakatan pembangkang yang baharu, terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah, selepas pakatan sebelum itu, Pakatan Rakyat, yang termasuk PAS, diisytiharkan terkubur.

Walaupun Pulau Pinang mengakui ia kini kerajaan Pakatan Harapan, Azmin sebelum ini berkata, pakatan pembangkang baharu itu tidak akan memberi kesan kepada negeri yang di bawah pentadbirannya.

Khalid, Ahli Parlimen Shah Alam, berkata Amanah juga mengalu-alukan kenyataan menteri besar Selangor itu yang perjanjian rasmi antara semua parti komponen dalam Pakatan Harapan sedang disediakan.

Beliau turut merujuk kepada satu kenyataan baru-baru ini oleh bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa, yang mendakwa terdapat usaha dalam PAS untuk bekerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan di Selangor.

"Amanah menjelaskan tuduhan Husam ada usaha membentuk kerajaan dengan Umno tidak ditujukan terhadap MB Selangor, tetapi terhadap presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

"Amanah memperakui MB Selangor tidak mengetahui tentang hasrat ini kerana ia disebut di dalam mesyuarat PAS Pusat, dan bukan semasa perbincangan presiden PAS dengan MB," katanya.

Beliau berkata, Amanah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan negeri Selangor dan memohon jasa baik Azmin membantu meredakan perbalahan antara Amanah dan PAS.

"Hak semua pihak hendaklah diiktiraf dan apa jua jenis ketidakadilan dan diskriminasi hendaklah ditegur dan dihalang," katanya.

Amanah ditubuhkan berikutan perpecahan dalam PAS apabila sekumpulan pemimpin yang digelar golongan progresif, yang memilih untuk meneruskan kerjasama dengan rakan pembangkang lain, ditewaskan dalam pemilihan parti pada Jun.

PAS juga memutuskan hubungan dengan DAP, yang membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat, disebabkan pelbagai isu, termasuk agenda PAS melaksanakan hudud dan pendekatan unilateral Hadi dalam membuat keputusan. – 13 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-tak-perlu-tandatangan-perjanjian-baharu-kata-azmin-kepada-amanah#sthash.2JXbFsFQ.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-