Thursday, December 3, 2015

Pas Perak sedia letak calon semua 59 kerusi DUN

IPOH 2 Dis. – Pas Perak sedia meletakkan calon di semua 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini pada pilihan raya umum akan datang sekiranya senario politik masih me­nyaksikan PKR bekerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, sebagai parti politik, pihaknya akan memulakan gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya sekali gus tidak menolak kemungkinan wujudnya pertembungan tiga penjuru kelak.

“Kalau PKR kata dia hendak duduk bersama PAN, tetapi pada masa sama hendak bekerjasama dengan kita, dia tidak boleh makan dua belah. Dia kena pilih satu. Kita kena ada pendirian, biar sama-sama buat kerja, tidak mahu saat-saat akhir, ba­ru datang.

“Pakatan pembangkang sudah tiada namun, kita ada pakatan Pas bersama PKR. Kita sudah memanggil rakan kita (PKR Perak) untuk menyusun gerak kerja bersama tetapi tidak ada respons. Kita tidak boleh biarkan keadaan ini. Kalau ada pilihan raya kecil, kita harus bersedia di semua tempat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Razman berkata, pihaknya cukup terluka melihat PKR bersama-sama DAP dan PAN berkongsi pentas ceramah khususnya di kawasan yang dimenangi Pas.

“Oleh itu, kita terus menggerakkan kerja bermula saat ini dan menilai sejauh mana mereka menjadi ancaman kepada kita,” katanya.

Dalam pada itu, Razman berkata, Pas Perak juga telah menubuhkan jawatankuasa khas di bawah Lajnah Perpaduan Nasional yang berfungsi mengenal pasti kawasan DUN atau Parlimen yang berpotensi untuk ditandingi selain kesediaan mele­takkan calon bukan Islam.

Menurut beliau, jawatankuasa itu juga akan menentukan calon yang layak bertanding atas kriteria berpegang pada prinsip perjuangan iaitu tidak mudah ‘melompat’ parti apabila menerima sesuatu tawaran.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/pas-perak-sedia-letak-calon-semua-59-kerusi-dun-1.164847#sthash.lkiIv8Kw.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-