Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, December 13, 2015

Rafizi: Jalan ke Putrajaya perlukan PAS

Pakatan Harapan perlu membentuk gabungan pilihan raya dengan PAS demi mendapatkan sokongan golongan atas pagar, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

Ini akan menjadi satu-satunya cara untuk pembangkang menawan Putrajaya, tegasnya.

Memetik tinjauan bebas pada 4 Disember, Rafizi berkata, sekurang-kurangnya 30 peratus orang Melayu sudah membuat keputusan untuk menolak Datuk Seri Najib Razak dan Umno.

Bagaimanapun, mereka dikatakan belum memutuskan pembangkang mana yang akan disokong.

Rafizi berkata, golongan itu dipengaruhi isu yang mempunyai kesan langsung terhadap mereka, termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST), melebihi perkembangan politik.

Sebahagian mereka tidak mengetahui kewujudan kumpulan serpihan PAS, Parti Amanah Nasional (AMANAH), beliau memberitahu Malaysiakini dan KiniTV.

Menurut beliau, BN memperoleh 53 peratus undi Melayu manakala pembangkang pula 46 peratus.

Umno, PAS dan PKR pula masing-masing mempunyai 20 peratus penyokong tegar daripada orang Melayu, sementara bakinya akan membuat keputusan berdasarkan isu dan sentimen.

“Jika mereka tolak Umno, mereka akan berpatah balik kepada PAS,” katanya.