Wednesday, January 6, 2016

Amanah Johor sedia berunding dengan Umno

Aminolhuda berkata, kerjasama yang Umno Johor berikan kepada Pas tidak seharusnya berhenti di situ sahaja, tetapi ia perlu dikembangkan dengan parti pembangkang lain. Foto TRP/ Ben Tan


JOHOR BARU, 6 Januari 2015:

Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menggesa kerajaan negeri itu melihat kepada manfaat yang bakal diperoleh sekiranya mengadakan kerjasama dengan parti pembangkang lain di Johor untuk kebaikan rakyat.

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, BN negeri terutamanya Umno Johor perlu terbuka dengan semua pihak bagi kepentingan rakyat.

“Kami (Amanah Johor) terbuka dengan perbincangan dan rundingan dengan pihak lain jika ia membabitkan sesuatu yang baik untuk negara dan masyarakat.

“Kerjasama yang Umno Johor berikan kepada Pas tidak seharusnya berhenti di situ sahaja, tetapi ia perlu dikembangkan dengan parti pembangkang lain,” katanya kepada The Rakyat Post.

Aminolhuda berkata, ini merupakan maklumbalas terhadap laporan tiga hari lalu di mana Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengalu-alukan Pas untuk bekerjasama dengan Umno.

Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor berkata, Umno Johor mengalu-alukan Pas untuk mengadakan sebarang kerjasama yang memberi kebaikan kepada rakyat.

Aminolhuda yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Parit Yaani berkata, kerajaan negeri BN di bawah Khaled juga perlu mengambil pendekatan yang sama kepada semua parti.

“Ini selari dengan konsep demokrasi terpimpin dan secara umumnya akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Aminolhuda turut memberi contoh permohonan untuk tempat oleh parti pembangkang kepada kerajaan negeri yang sering ditolak.

Malah katanya, rundingan pro aktif dan pemahaman pelbagai parti politik dalam negeri akan memperlihatkan kematangan politik untuk negeri Johor.

“Dan ini akan memberikan manfaat kepada semua pihak termasuk rakyat. Jangan hanya tetapkan sikap terbuka mereka kepada satu parti politik sahaja,” katanya merujuk kepada pelawaan Khaled kepada Pas.

Baru-baru ini, Presiden Umno, Datuk Sri Najib Razak menawarkan untuk bekerjasama dengan Pas pada 10 Disember dalam usaha untuk memajukan negara menurut perundangan Islam.

Najib yang juga Perdana Menteri dilaporkan berkata, dia gembira apabila Pas tidak lagi bersama pakatan pembangkang selepas parti itu digugurkan oleh Pakatan Harapan, iaitu gabungan DAP, PKR dan Amanah.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2016/01/06/amanah-johor-sedia-berunding-dengan-umno/#ixzz3wTofxMCd

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-