Tuesday, January 19, 2016

Dedah lokasi tumpuan pengganas bukan untuk takutkan orang ramai - Ku Nan

OLEH MANZAIDI MOHD AMIN
Tengku Adnan Tengku Mansor bersalaman dengan veteran dalam Majlis Perasmian Dan Makan Malam Perhimpunan Agung Veteran UMNO Malaysia kali ke-7/2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 JANUARI 2016

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyerahkan kepada polis untuk mengawal dan menjaga keselamatan negara termasuk beberapa kawasan yang dikenal pasti menjadi tumpuan pengganas.

Katanya, kenyataan beliau semalam tidak bermaksud hendak menakutkan orang ramai, sebaliknya membuat andaian berdasarkan strategi pengganas adalah memilih lokasi yang strategik.

“Saya tidak mahu ulas panjang. Saya serahkan kepada polis untuk mengawalnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis makan malam Perhimpunan Agung Veteran UMNO Malaysia di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali dan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan.

Semalam Tengku Adnan dilaporkan mendakwa menerima maklumat bahawa selain pusat tumpuan pelancong Bukit Bintang, beberapa kawasan di sekitar ibu kota termasuk Bangsar dan Hartamas turut tersenarai antara kawasan panas yang menjadi ancaman pengganas.

Dakwanya, beliau ada menerima maklumat itu daripada perisikan dan akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara untuk mengenal pasti kumpulan yang merancang menghuru-harakan negara.

Bagaimanapun, kenyataan beliau dinafikan Penolong Ketua (Komunikasi Korporat) Ibupejabat Polis Bukit Aman, Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad yang dilaporkan berkata, polis tidak pernah memaklumkan lokasi strategik yang menjadi sasaran kumpulan pengganas.

Jelasnya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hanya memaklumkan bahawa polis meningkatkan kawalan di tempat awam bagi memastikan keselamatan orang awam, termasuk menambah bilangan anggotanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-