Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Monday, January 18, 2016

SPRM nafi terdapat 37 dakwaan ke atas Najib

Hari ini, 7:38 malam Hari ini, 8:59 malam
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan terdapat 37 syor dakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung dengan siasatan ke atas SRC International.

“SPRM ingin menjelaskan bahawa laporan portal berita Sarawak Report hari ini, yang mengatakan kononnya terdapat 37 syor dakwaan berasingan telah dikemukakan oleh SPRM terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melibatkan kes SRC International, adalah tidak benar,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM juga mengesahkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah mengembalikan berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion yang didakwa disalurkan ke akaun Najib.

“SPRM mengambil maklum arahan daripada Jabatan Peguam Negara yang memerlukan penjelasan lanjut mengenai beberapa cadangan dan tindakan yang dikemukakan oleh SPRM sebelum ini.

“Respons SPRM kepada permintaan Jabatan Peguam Negara akan dikemukakan dalam waktu terdekat,” katanya.

Hari ini Sarawak Report melaporkan SPRM melengkapkan siasatannya berhubung isu berkenaan dokumen berkaitan - didakwa mengandungi tidak kurang daripada 37 tuduhan berasingan terhadap perdana menteri - diserahkan kepada Apandi.

Kebetulan, Apandi dalam kenyataannya hari ini berkata kertas siasatan mengenai kes itu dihantar semula kepada SPRM untuk penjelasan lanjut.

Siasatan itu menjadi perhatian pada Julai tahun lalu apabila The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan dana berjumlah RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun persendirian Najib.

Najib kemudian menafikan sebarang salah laku, malah menjelaskan wang berkenaan adalah "derma" daripada pihak tertentu di Timur Tengah.

Namun, menurut WSJ, sebahagian daripada wang itu - bernilai RM42 juta - datang dari syarikat SRC International.

[Baca berita penuh]