Friday, March 18, 2016

Lebih 1,000 ahli Umno sokong Deklarasi Rakyat

Pada hari sama Tun Dr Mahathir Mohamad merayu anggota Umno mengemukakan usul tidak percaya terhadap presiden parti itu, di Pagoh lebih 1,000 tandatangan diturunkan untuk menyokong Deklarasi Rakyat.

Dengan slogan Selamatkan Malaysia, Deklarasi Rakyat itu dibuka untuk delegasi ahli Umno yang menghadiri mesyuarat cawangan dalam bahagian Pagoh hari ini.

Perasmian mesyuarat itu dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin, diadakan di Kompleks Pekembar tengah hari tadi.

Tandatangan itu kemudian diserahkan kepada Muhyiddin - bekas timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno yang sedang digantung tugasnya.

Difahamkan sejumlah 1,052 tandatangan dikumpul sebagai simbolik menyokong desakan terkandung dalam deklarasi berkenaan.

Kali pertama Deklarasi Rakyat dibacakan kepada umum adalah pada 4 Mac lalu diketuai Dr Mahathir.

Antara lain ia menuntut supaya Datuk Seri Najib Razak berundur daripada kerajaan dan rakyat bersatu menyelamatkan Malaysia dengan membuka jalanmelakukan reformasi terhadap proses demokrasi, memulihkan prinsip pengasingan kuasa di antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Menurut sumber, tandatangan di kalangan ahli Umno Pagoh itu dikumpul kira-kira sejam.
Difahamkan, tandatangan menyokong Deklarasi Rakyat juga dikumpul semasa mesyuarat tahunan cawangan di bahagian Jerlun semalam.

Umno Jerlun kini diketuai Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sementara itu Dr Mahathir - melalui surat terbukanya - menyeru ahli Umno di seluruh negara berpakat mengemukakan usul tidak percaya kepada Najib untuk menyelamatkan parti itu tanpa menunggu pilihan raya umum akan datang.

"Kita tidak boleh tunggu PRU14 (pilihan raya umum ke-14) kerana Umno yang dipimpin oleh Najib tetap akan kalah. Sekali Umno kalah ia tidak dapat dipulih semula," tulis perdana menteri selama 22 tahun itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-