Wednesday, May 11, 2016

Keputusan penghakiman terus Najib saman Harakah - 23 Mei

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengetahui pada 23 Mei ini tahu sama ada akan mendapatkan penghakiman terus daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung samannya ke atas Harakahdaily berhubung tulisan yang mengaitkan 1MDB dengan anak tirinya, Riza Aziz.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng menetapkan tarikh itu di kamarnya selepas mendengar hujah peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Wan Rohimi Wan Daud bagi pihak Harakah.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding itu, Hafarizam berkata, beliau berhujah bahawa artikel yang disiarkan dalam lidah rasmi PAS itu adalah fitnah dan alasan pembelaan bahawa ia adalah keistimewaan terpilih atau justifikasi tidak boleh digunakan.

"Ini berikutan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan di Parlimen pada 7 April lalu mendapati bahawa Najib tidak terbabit dengan apa yang berlaku terhadap 1MDB," katanya.

Najib menamakan Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakub dan Ketua Pengarang Harakah, Taufik Yahya sebagai defendan dalam saman fitnah yang difailkan pada 18 Mac tahun lalu, berikutan penerbitan artikel yang sebahagian besarnya berdasarkan laporan New York Times.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib berkata artikel berkenaan menggambarkan beliau sebagai menyalahgunakan dana 1MDB dan penerbitannya bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya.

Beliau juga mendakwa bahawa Taufek gagal menjalankan kewartawanan bertanggungjawab dan tidak mengesahkan sama ada kandungan dalam artikel Rosli adalah tepat sebelum menerbitkannya.

Penghakiman terus adalah keputusan mahkamah tanpa melalui perbicaraan penuh di mana kes itu akan diputuskan mengikut fakta undang-undang

Sebelum ini dilaporkan bahawa Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk membatalkan dua perenggan dalam kenyataan pembelaan Harakahdaily.

Rosli dalam artikelnya yang memetik laporan New York Times menghuraikan tentang aktiviti hartawan Jho Low di New York.

Memetik persahabatan Jho Low dan anak tiri Najib, Rosli mempersoalkan sumber kewangan Riza Aziz dalam membikin dua buah filem di New York.

Isnin lalu, Najib dan isterinya gagal mendapat penghakiman terus dalam saman mereka terhadap Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming yang membuat posting di Facebook mendakwa Datin Seri Rosmah Mansor terbabit dalam mesyuarat kabinet.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-