Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Monday, June 27, 2016

Hati-hati simpati rakyat untuk Muhyiddin, Mukhriz

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
27 JUN 2016
Muhyiddin, Mukhriz
SHAH ALAM – Penganalisis politik menyarankan Umno agar berhati-hati selepas keputusan Majlis Tertingginya (MT) memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana ia akan mengundang simpati rakyat.

Menurut Pensyarah Kanan Universiti Selangor (Unisel), Dr Shamsinor Abdul Azzis, kedua-dua pemimpin itu mempunyai pengaruh dan sokongannya tersendiri.

“Umno perlu berhati-hati terhadap persepsi negatif rakyat umum yang simpati dengan dua tokoh ini di mana mereka dilihat mengangkat isu persepsi negatif kepimpinan Umno tapi dipecat pula.

“Rakyat akan menilai. Harus diingat Muhyiddin orang lama di Johor...ada penyokong dan Mukhriz pula dianggap sebagai ikon pemimpin sehingga BN dapat membentuk kerajaan negeri di Kedah,” katanya kepada Sinar Online.

Menurutnya, meskipun penyokong Umno akan terus bersama Umno pasca pemecatan itu tetapi golongan atas pagar atau orang awam melihat Umno gagal selesaikan isu Muhyiddin dan Mukhriz secara harmoni.

“Perkara utama yang perlu diperhalusi dan diselesaikan oleh Umno adalah persepsi terhadap isu yang dibawa oleh Muhyiddin dan Mukhriz yang masih belum dijawab dengan kemas kepada pengundi umum.

“Dalam mana-mana pilihan raya, golongan atas pagar yang kelihatan 'sepi tapi terus tajam memerhati' ini adalah penentu kemenangan. BN dan Pakatan Harapan serta Pas sedang dinilai oleh mereka.

“Mereka akan sokong kepada parti yang mengangkat isu yang rapat dgn mereka. Bukan parti yang rakus berpolitik tapi tidak prihatin keperluan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya Umno perlu menyelak kembali sejarah di mana BN pernah kehilangan Selangor di sebalik keghairahan memenangi Dun Ijok.

“Kemenangan dua PRK (Sungai Besar dan Kuala Kangsar) sebelum ini perlu juga dianalisis dengan perbandingan kemenangan BN di Dun Ijok sebelum PRU12. Di sebalik keghairahan dengan kemenangan di Ijok, BN kemudiannya itu 'hilang' negeri Selangor,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kemarahan penyokong Umno terhadap keputusan pemecatan itu hanya bersifat sementara yang menimbulkan ombak bukannya tsunami.

“Ini dapat dilihat bila Muhyiddin dan Mukhriz digantung dan terpinggir dari kepimpinan perdana Umno (Sebelum ini), penyokong dua tokoh Umno ini tidak mengambil tindakan membantah secara kekerasan dan berterusan.

“Tetapi pemecatan ini jelas akan memberi impak kepada sokongan terhadap BN di terutama di Kedah, Johor dan kalangan orang muda,” katanya.