Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Monday, July 25, 2016

1MDB: Malaysia perlu sediakan pasukan lawan balik tuduhan AS

MELAKA, Isnin  –  Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik berkata, Malaysia perlu menyediakan satu pasukan pakar undang-undang untuk membela kes syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, Malaysia harus mendepani isu saman sivil dikemukakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) berkaitan 1MDB dengan cara undang-undang.

“Negara ini perlu menyediakan satu pasukan pakar undang-undang yang terbaik meliputi dari dalam dan luar negara untuk membela kes ini sekiranya kes berkenaan di bawa ke mahkamah negara berkenaan.

“Jika ada tuduhan daripada AS, kita patut menyediakan pasukan untuk lawan balik, kerana AS lagi suka sekiranya kita mengambil tindakan tersebut daripada kita mengambil sikap berdiam diri.

“Saya khuatir jika berdiam diri, mereka bukan sahaja setakat akan mengambil tindakan undang-undang sivil pada tahap ini, iaitu untuk merampas harta-harta yang telah diambil tetapi kita bimbang mereka akan bergerak ke hadapan lagi dengan mengenakan tindakan undang-undang secara jenayah terhadap individu-individu terlibat.

“Kita perlu menyediakan pakar untuk berdebat di mahkamah AS dengan memberikan bukti-bukti, hujah-hujah, saksi-saksi serta dokumentasi yang cukup,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian, hari ini.

Terdahulu, DoJ AS dalam saman yang difailkan untuk menyita aset milik beberapa individu dan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyatakan bahawa dana yang diseleweng turut dibelanjakan untuk bayaran perjudian.

Selain itu, dokumen saman yang difailkan di Los Angeles turut menyatakan dana berkenaan dibelanjakan untuk membeli aset defendan, selain membiayai gaya hidup mewah mereka yang turut berkonspirasi dalam penyelewengan itu.

Ini termasuk pembelian lukisan dan barang kemas, hartanah mewah dan membayar selebriti terkenal bagi menghadiri parti.

Defendan yang dinamakan dalam saman itu ialah anak kepada isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor dengan suami pertamanya – Riza Shahriz Abdul Aziz -; ahli perniagaan Jho Low; Tan Kim Loong (rakan sekutu Jho Low – pemilik beberapa akaun bank di mana dana 1MDB yang diseleweng dipindahkan) dan pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi serta Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

Dokumen itu turut menyatakan aset milik defendan adalah sebahagian daripada hasil lebih AS$3.5 bilion yang diselewengkan dari 1MDB dalam tempoh beberapa tahun lalu.