Friday, August 19, 2016

Jerung sudah ditangkap, bapanya bila pula?

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
Idris Ahmad
SHAH ALAM – Pas menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus menjalankan tugas bagi mencari dalang di sebalik salah laku tiga penjawat awam yang ditahan atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram, baru-baru ini.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, rakyat tetap bersama SPRM, walau pun sedar SPRM mempunyai kekangan kuasa.

“Kita mengharapkan supaya akan terdedah pula siapa bapa jerung di belakang mereka. Adakah mereka berani berbuat demikian? Adakah mereka hanya di kambing hitamkan sahaja?

“Kalau mereka pun sudah dapat mengumpul RM13 juta, sehingga ada yang disimpan di atas siling rumah sebanyak RM400,000, ertinya berapa banyak wang negara musnah? Berapa juta ketirisan wang negara hilang akibat perbuatan ini?

“Apakah banyak lagi habuan yang diperoleh oleh orang lain? Semuanya akan terjawab apabila dibicarakan nanti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Akaun milik ketiga-tiga individu tersebut dengan dua daripadanya berpangkat Datuk Seri dan Datuk melebihi RM13 juta telah dibekukan meliputi wang simpanan dan amanah saham bernilai antara RM1 juta hingga RM6 juta.

Turut disita ialah beberapa kondominium mewah termasuk ‘penthouse’, rumah banglo serta kenderaan mewah antaranya Maserati, BMW dan Audi yang dipercayai hasil rasuah dan penggubahan wang haram.

SPRM turut menjumpai wang tunai lebih kurang RM400,000 termasuk mata wang asing serta beberapa utas jam tangan mewah.

Dalam pada itu, Idris berpesan, agar tidak tamak kerana rasuah dan penerima rasuah tempatnya adalah di neraka.

“Apabila jadi seperti begini siapa yang akan menanggung akibat. Maruah keluarga, masyarakat akan ingat sampai mati.

“Lebih malang lagi kebanyakan yang sudah masuk umur pencen, sudah tua. Nikmat hidup pun sudah tidak seberapa. Apakah berbaloi dengan pengakhiran hayat begitu rupa? Makanlah apa yang ada, jangan tamak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-