Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Thursday, August 25, 2016

Pribumi mahu 'bypass' PKR.... tapi PAS letak syarat ketat untuk kerjasama

 BY WARTAWAN AGENDADAILY
Wujud gerakan senyap yang dipelopori oleh kumpulan penyokong Tun Mahathir Mohamad yang mahu mendamaikan pemimpin pembangkang terutamanya DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) dengan parti Melayu kedua terbesar Malaysia, PAS.

Ini kerana Mahathir merasakan DAP dan PAN tiada akar umbi manakala susah untuk beliau mengawal ahli dan penyokong akar umbi PKR.

Cadangannya untuk 'bypass' PKR dengan mengadakan rundingan langsung antara Pribumi, PAS dan PAN yang mempunyai pengaruh di kawasan luar bandar.

Manakala DAP hanya kuat di bandar manakala PKR lebih seimbang sokongan antara penduduk bandar dan luar bandar.

Namun PKR (kecuali kumpulan Datuk Seri Azmin Ali) masih menganggap Mahathir musuh mereka dan kerjasama yang ditunjukkan adalah terhad.

Sebab itulah Mahathir dan Pribumi mengharapkan sokongan PAS.

Beliau bahkan siap gertak PAS yang katanya jika tidak berkerjasama dengan parti pembangkang membuktikan parti tersebut menyokong BN.

"Kalau dia tidak terima dan pakatan pembangkang berlawan sesama sendiri, mereka akan kalah," katanya kepada wartawan ketika ditemui di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Sebelum ini Muhyiddin Yassin yang bakal menjadi Presiden Pribumi berkata kerusi yang ditandingi oleh PAS adalah agenda utama parti berkenaan sebaik saja pendaftarannya diterima.

PAS walaupun tidak menolak kewujudan parti baru dilaporkan oleh portal BNBBC sebagai bertegas untuk tidak menyertai Pribumi.

Perkara itu disuarakan oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Khairuddin Aman Razali yang berpendirian parti itu tidak akan memberikan kerusi kepada Pribumi.

Mengulas lanjut Mahathir menganggap penolakan parti Islam itu sebagai bukti PAS bersama dengan Barisan Nasional (BN) .

"Sebenarnya sikap itu bermakna mereka (PAS) sokong pemerintahan BN di bawah Najib," katanya lagi.

Bagaimanapun, bagi PAS, mereka sedia berkerjasama dengan mana-mana parti politik menjelang Pilihanraya Umum ke 14 kecuali DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

PAN merupakan parti serpihan PAS yang membawa lari beberapa kerusi Parlimen dan DUN PAS selepas wakil rakyatnya melompat parti.

Para pemimpin PAS menggelar PAN sebagai parti pengkhianat dan berikrar tidak akan berkerjasama.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tawaran perbincangan termasuk kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) yang dilaporkan sedang mengintai kerusi pembangkang untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menjelaskan pendirian PAS terhadap DAP dan PAN, Mohd Amar berkata:"Pendirian ini jelas kerana DAP telah jelaskan sikapnya yang anti PAS dan terbaharu jawatankuasa pemudanya juga menyatakan kalau ingin berkawan dengan DAP jangan cakap pasal Islam.

"Mana boleh PAS sebagai parti Islam berbuat demikian...takkan kita nak korbankan perjuangan parti kita. PAN pula sudah jelas adalah pengkhianat kepada parti (PAS)...kalau (parti) yang lain boleh dibincangkan," katanya.

Kenyataan Mohd Amar itu sebagai mengulas kenyataan Muhyiddin yang berhasrat mengadakan rundingan pembahagian kerusi pembangkang, sebaik pendaftaran parti itu diluluskan Pendaftar Pertubuhan.

Mohd Amar berkata setakat ini tiada sebarang rundingan rasmi diadakan antara PAS dan Pribumi berhubung perkara berkenaan.

"Lagi pun perkara ini perlu dibincang di peringkat parti. Kita kena rujuk kepada jawatankuasa PAS pusat," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata kerajaan negeri sedia memberi kerjasama kepada kerajaan Persekutuan dalam menangani isu keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

"Kita akui sempadan negeri kita dan Thailand terlalu terbuka kerana jaraknya yang panjang dan tiada benteng. Walaupun ada kawalan, ruang untuk diceroboh itu terbuka," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang mengatakan sempadan Kelantan paling teruk dibolosi terutama untuk kegiatan penyeludupan dadah dan senjata api.