Saturday, September 17, 2016

Umno tidak lemah tanpa orang lama

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 SEPTEMBER 2016
Umno
SHAH ALAM - Keputusan pengunduran pemimpin veteran Umno daripada pilihan raya akan datang tidak akan melemahkan parti itu.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, sebelum keputusan itu diambil, pemimpin berkenaan pastinya telah mengambil kira pelbagai faktor termasuk penggantinya.

“Yang naik pasti akan turun dan yang di atas tidak selama-lamanya berada di atas. Saya percaya beliau telah mengambil kira pelbagai faktor termasuk siapa yang bakal menggantikan kekosongan ditinggalkan itu.

“Umno tidak akan lemah hanya disebabkan oleh keputusan beberapa pemimpin untuk berundur. ‘Survival’ Umno bukan ditentukan oleh dua tiga orang pemimpin sahaja. Sebuah parti politik yang baik harus sudah menyediakan barisan kepimpinannya untuk mengambil alih kepimpinannya,” katanya.

Awal bulan ini, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob membayangkan hasratnya untuk tidak bertanding pada PRU14, namun ia masih belum muktamad.

Manakala Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang sebelum ini beberapa kali menyuarakan hasrat untuk bersara dan tidak bertanding pada PRU14 dilaporkan membatalkan hasrat tersebut selepas seluruh ahli Umno di kawasan itu menyokong usul dibentangkan dalam Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian mendesak beliau terus mengekalkan kerusi Parlimen dan ketua Umno bahagian.

Menurut Jeniri, jika pemimpin membuat keputusan berundur, itu menunjukkan pemimpin itu menyedari bila masa terbaik untuk mereka berundur dan bila tampuk kepimpinan yang dipegangnya itu harus diserahkan kepada pemimpin lain.

Ketika ditanya kehilangan orang lama dalam Umno di kawasan tradisi parti itu berkemungkinan buka ruang kerusinya dirampas bekas pemimpin Umno yang kini berlayar di kapal parti baharu, Jeniri akui kemungkinan itu, namun ia tidak mudah.

“ Pasti penyandang itu sudah mengenal pasti dan asuh pemimpin akar umbi lain untuk ambil alih tempat mereka. Mereka tidak akan berundur dan meninggalkan kedudukan begitu sahaja kerana mereka tidak mahu imej ataupun legasi yang ditinggalkan itu terjejas,” katanya.

Dalam pada itu beliau menyifatkan parti yang dipimpin bekas orang nombor dua Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Bersatu sedang kesuntukan masa memandangkan PRU14 dijangka awal tahun depan.

“Memang kepimpinan Umno sekarang tidak harus memandang ringan kewujudan Bersatu dipimpin beberapa pemimpin veteran Umno yang mempunyai kedudukan tinggi dalam Umno suatu ketika dahulu.

“Tapi hakikatnya tidaklah mudah untuk Bersatu bertarung dengan Umno yang sudah bertapak lama dan dalam keadaan sekarang, masa tidak memihak kepada Bersatu,” katanya.

Menurutnya, Bersatu perlu bergerak lebih cepat, namun parti itu dilihat tidak begitu agresif.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-