Tuesday, December 27, 2016

Pas tetap mahu jaga kuasa

NOR AZIHAN MD GHAZALI
27 DISEMBER 2016
SHAH ALAM - Pas Selangor akan terus mengadakan kerjasama dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) demi menjaga kemaslahatan kuasanya di negeri ini walaupun hubungan mereka dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP tidak seindah seperti dahulu.

Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, Pas diramalkan akan terus bekerjasama khususnya dengan PKR berikuran parti itu juga dilihat masih sayang dan menerima Pas walaupun mereka berada dalam keadaan tersepit.

“PKR tahu Pas juga sebuah parti yang kuat di Selangor dan disebabkan itu mereka sehingga kini ingin terus menjalinkan kerjasama.

“Walaupun hubungan itu tidak direstui Amanah dan DAP, namun mereka juga terpaksa demi menjaga hubungan dan kuasa yang dibina dengan Pas sejak dua pilihan raya lalu sekali gus mentadbirkan Kerajaan Selangor,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yang mengakui Pas Selangor tiada masalah untuk mengadakan program bersama PKR dan Bersatu.

Katanya lagi, setakat ini sudah dua program ceramah umum Pas Selangor turut disertai penceramah dari PKR dan Bersatu.

Ahmad Marthada yang juga Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, terdapat segelintir pihak melabelkan Pas Selangor seakan-akan gila kuasa apabila meneruskan kerjasama dengan dua parti itu walaupun Pas pusat sudah menyatakan pendirian mereka yang berbeza dalam konteks kerjasama dengan Pakatan Harapan.

“Saya nampak Pas Selangor sebenarnya bukan gila kuasa sebaliknya mereka berkehendakkan kuasa memandangkan mereka sudah bekerja keras untuk membina sebuah kerajaan di negeri ini dengan lain-lain parti.

“Untuk menjaga kuasa mereka, hubungan itu perlu dikekalkan dengan parti yang masih menghormati dan menerima Pas,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut meramalkan Pas Selangor akan meneruskan kerjasama dengan kedua-dua parti itu pada PRU14 walaupun kerjasama itu bukan secara rasmi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-