Friday, April 7, 2017

Tangguh bahas RUU 355 : Speaker Dewan Rakyat panjangkan polemik hudud

ARIF ATAN
Foto WAN ZAHARI SALLEH
Dr Mujahid bercakap pada sidang media anggota parlimen Pakatan Harapan di parlimen semalam.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa meluahkan rasa kecewa ekoran tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menafikan ruang untuk pihak Pakatan Harapan membahaskan Rang Undang-undang (RUU) 355.

"Semua kami telah melalui keadaan di mana RUU 355 ini tergantung lebih dua tahun dibawa ke Parlimen, dua kali tetapi tidak dibahas.

"Kali ni, ketiga. Kita mengharapkan ada rumusan sekurang-kurangnya kerana di bawah sana telah timbul pelbagai keraguan malah menyebabkan perpecahan.

"Kami mengambil sikap dengan penuh demokratik dan bertamadun untuk berbahas secara berhemah. Malangnya, hasrat kami dan hasrat rakyat di luar sana untuk mendengar satu perbahasan yang sihat melalui pandangan-pandangan ahli parlimen secara demokratik tidak dapat dipenuhi hari ini," katanya yang mengakui telah menyediakan teks perbahasan bagi mengelak kemungkinan salah tafsir.

Menurut Naib Presiden Amanah itu, keputusan Speaker akan menyebabkan polemik dan dilema kepada rakyat di negara ini akan berterusan.

"Ini amat malang. Pandikar harus menjelaskan kenapa tindakan itu diambil. Kami bersedia untuk berhujah dengan mana-mana pihak kerana isu RUU 355 ini dilihat dari segi perundangan, perlembagaan, maqasid syariat dan proses demokratik," tegasnya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dalam reaksinya kepada pemberita memberitahu, Pandikar Amin enggan menjawab apabila ditanya tentang peluang untuk pihak Pakatan Harapan berhujah.

"Kita terkejut. Saya telah bangun semasa Kota Bahru (Datuk Takiyuddin Hassan) berhujah dan telah bertanya terus terang kepada Pandikar sama ada kami akan diberi peluang untuk berhujah atau sebaliknya atau hari ini Pas dengan Umno saja berhujah.

"Dia (Pandikar) tidak mahu menjawab. Kalau dia menjawab mungkin kita akan mencelah semasa Kota Bharu berhujah kerana kita mahu sampaikan mesej kita," ujarnya.

Pengarah Komunikasi Amanah itu menjelaskan bagi pihak parti tersebut, Islam bukan sekadar menjatuhkan hukuman sebaliknya lebih meluas.

"Islam ini mesejnya adalah menyeluruh yang menekankan persoalan kerajaan yang bersih, amanah dan membela rakyat.

"Bukan soal bawa isu RUU 355 ini. Kita beri gambaran orang Islam ini semuanya berkaitan dengan hukuman. Nak bentuk masyarakat hukum. Nak jadi manusia baik, hukum. Imej Islam seperti inilah yang kita mahu tangani kerana Islam lebih daripada itu," tegasnya.

Mengulas lanjut, Khalid memberitahu usaha untuk memperkasakan Mahkamah Syariah bukan semata-mata meningkatkan hukuman tetapi malangnya mesej tersebut gagal disampaikan pada sidang Dewan Rakyat hari ini kerana dihalang Pandikar.

"Saya cukup dukacita tidak diberi peluang sama sekali untuk menyampaikan mesej dan pendirian kita yang sebenarnya. Hari ini paling menyedihkan bagi isntitusi Parlimen kita," tambahnya lagi.

Hari terakhir sidang Dewan Rakyat pada sesi kali ini menyaksikan Hadi berpeluang membentangkan usul persendirian pindaan Akta 355 pada pukul 12.40 tengah hari diikuti sokongan daripada Takiyuddin.

Takiyuddin yang kemudiannya menyambung perbahasan selepas sidang disambung pada pukul 2.30 petang berucap panjang lebar dengan beberapa kali dicelah ahli parlimen BN.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-