Wednesday, June 21, 2017

Pakatan cabar Rahman lapor pengadu saman DoJ

Nur Khairah Alegria Suner

Ahli Parlimen Lim Lip Eng dan 4 ahli PPBM membuat laporan ke SPRM menggesa tindakan terhadap mereka yang dinamakan dalam saman DoJ berkaitan 1MDB.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng menggesa Menteri Datuk Seri Rahman Dahlan membuktikan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat bekerjasama dengan seorang pengadu warga tempatan, dengan agenda untuk menumbangkan kerajaan.

Wakil rakyat DAP itu mencabar kerajaan membuat laporan kepada pihak berkuasa selepas menteri di jabatan perdana menteri itu mendakwa pengadu yang mendalangi saman sivil DoJ mempunyai agenda tersembunyi.

“Rahman percaya pengadu saman sivil itu seorang warganegara dan DoJ bekerjasama dengan individu tersebut.

“Saya beri tempoh 24 jam kepada mereka untuk membuat laporan yang perlu bagi membuktikan dakwaan mereka,” kata Lim pada sidang media hari ini.

Beliau mengambil berat dakwaan Rahman itu dan menggesa DoJ mendedahkan maklumat pengadu. Beliau juga mempertikaikan Rahman kerana tidak tahu perincian asas saman sivil itu.

“Jelas pengadu itu ialah DoJ sendiri dan bukan pihak lain. Oleh kerana Rahman tidak faham, saya gesa DoJ menamakan pengadu,” katanya selepas beliau dan 4 ahli PPBM membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini terhadap individu yang dinamakan dalam saman sivil DoJ dan individu lain yang berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rahman 18 Jun lalu menyeru DoJ menamakan pengadu mereka dalam saman sivil yang mahu menyita aset yang dikatakan dibeli menggunakan dana yang didakwa digelapkan dari 1MDB.

Rahman mendakwa saman DoJ itu dicetuskan aduan individu yang mempunyai agenda politik terhadap perdana menteri dan pentadbirannya.

Dalam saman terbaru yang difailkan di California, DoJ mahu menyita AS$540 juta (RM2.3 bilion) aset termasuk karya seni, barang kemas, kapal layar AS$165 juta dan hak filem yang dibeli dengan dana yang didakwa digelapkan dari 1MDB.

Aset yang dinamakan dalam permohonan itu termasuk hak ke atas 2 filem komedi, “Dumb and Dumber To” yang dibintangi Jim Carrey dan “Daddy’s Home” yang dibintangi Will Ferrell.

Saman DoJ itu turut menyebut ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho (Jho Low) membeli rantai berlian merah jambu 22 karat bernilai RM27.3 juta untuk “isteri Malaysian Official One” (MO1), menggunakan sumber dana sama.

Tindakan itu menyusuli saman sivil pertama yang difailkan DoJ Julai lepas, yang mahu mendapatkan semula aset termasuk tetapi tidak terhad kepada hotel Park Lane di New York, hotel mewah di Beverly Hills, kondominium di New York, pesawat jet peribadi, karya seni, serta biaya filem Martin Scorsese “The Wolf of Wall Street”, yang dibintangi Leonardo DiCaprio.

Dengan tindakan terbaru itu, nilai keseluruhan aset yang dikehendaki DoJ meningkat kepada AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-