Wednesday, July 19, 2017

Ismail Sabri: Buang masa Najib layan debat Dr Mahathir

FMT Reporters
July 19, 2017

Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan Dr Mahathir menjemput Najib Razak berdebat bertujuan memfitnah perdana menteri secara terbuka, bukannya untuk mencari kebenaran.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak tidak perlu melayan cabaran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berdebat di forum “Nothing to Hide 2.0″ kerana ia membuang masa perdana menteri, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu berkata, tindakan Dr Mahathir menjemput Najib berdebat bertujuan memfitnah perdana menteri secara terbuka, bukannya untuk mencari kebenaran.

“Saya dah kata daripada awal, jangan buang masa untuk berdebat dengan mereka (pembangkang). Mereka ini bukan nak mencari kebenaran, tapi sahaja nak ambil peluang untuk buat tuduhan, fitnah, kritikan dan sebagainya.

“Tindakan itu juga bertujuan memberi ruang untuk tonjolkan mereka dengan menggunakan perdana menteri dan sebagainya, jadi saya rasa tidak perlu layan sebab ia tidak menyelesaikan masalah,” katanya ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Mara hari ini.

Semalam, Dr Mahathir menggesa perdana menteri menghadiri forum “Nothing to Hide 2.0″ anjuran Pemuda PPBM pada 13 Ogos di Shah Alam.

“Jangan jadi macam forum ‘Nothing to Hide’, apabila dia tak hadir kononnya sebab tunjuk perasaan, tetapi sebenarnya tidak ada pun,” katanya merujuk sebuah forum menjemput Najib, tetapi dibatalkan pada saat akhir oleh polis atas faktor keselamatan.

Forum pada 2015 itu dihadiri Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, Ismail menolak dakwaan kononnya kegagalan Najib memenuhi jemputan Dr Mahathir akan memberi gambarkan kepada rakyat segala tuduhan melibatkan perdana menteri adalah benar.

Katanya, Najib dan kerajaan mempunyai cara tersendiri memberi penjelasan kepada rakyat berhubung dakwaan membabitkan soal pentadbiran negara, tidak seperti pembangkang yang menabur fitnah dan mengetepikan tanggungjawab membantu rakyat.

“Bukan soal tolak itu mengiakan, banyak isu yang berkait selama ini dijawab dengan cara lain, tidak semestinya dengan berdebat.

“Kita ada ruang besar untuk mereka bertanya, di dalam Parlimen misalnya. Malah, sebagai contoh isu 1MDB telah dijelaskan dalam Parlimen beberapa kali, tetapi pembangkang tetap buat bising di luar.

“Cara pembangkang negara kita tidak seperti pembangkang negara maju lain, mereka hanya pandai membangkang walaupun dah mendapat jawapan sebenar. Mereka tidak akan berpuas hati dengan apa (sahaja) jawapan diberi kerajaan, sebab tugas merea hanya membangkang,” katanya.

Ismail berkata, pembangkang sepatutnya menganjurkan program “Nothing to Hide 2.0″ dengan menjemput Dr Mahathir menjawab semua isu ketika beliau menjadi perdana menteri.

“…banyak lagi ‘hide’ yang berlaku zaman Dr Mahathir sebagai contoh kerugian Proton, Perwaja, projek Bakun, skandal forex, dari situ Dr Mahathir boleh terangkan kepada rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-