Tuesday, August 22, 2017

Pusingan akhir rundingan PH untuk kerusi Parlimen di Semenanjung selesai

Mohamad Fadli
August 22, 2017

Rafizi Ramli berharap sebarang usaha memujuk PAS dibawa kepada perhatian semua anggota Pakatan Harapan.
PETALING JAYA: Rundingan pembahagian kerusi di kalangan 4 parti Pakatan Harapan (PH) melibatkan kesemua 166 kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia dijangka selesai hari ini, menurut Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Beliau berkata PH buat masa ini memfokuskan kerusi di mana pertandingan 3 penjuru akan berlaku pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sebelum ini, PAS berkata kempennya untuk PRU akan datang, yang perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan tahun depan, menjurus kepada pertandingan 3 penjuru. Ia kerana PAS enggan menyertai PH yang dianggotai PKR, DAP Amanah dan PPBM.

Rafizi bagaimanapun tidak menolak kemungkinan perbincangan semula diadakan sekiranya ada isyarat daripada PAS

“Kita tidak nampak isyarat yang PAS bersedia untuk berunding. Kita tidak boleh tunggu PAS.

“Tetapi jika PAS setuju untuk berunding pembahagian kerusi, kita akan berbincang ketika itu,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membayangkan masih terbuka untuk berbincang dengan PAS dalam soal penentuan kerusi, bagi memastikan pertandingan satu lawan satu melawan Barisan Nasional (BN).

Pelbagai penganalisis sebelum ini berkata, tanpa pertandingan satu lawan satu, mustahil mengalahkan BN disebabkan undi pembangkang yang berpecah.

Bagaimanapun, PAS tetap dengan keputusannya, dan baru-baru ini pengarah penyelidikan parti itu, Zuhdi Marzuki mendakwa kebanyakan pengundi Melayu mahu PAS bergerak sendiri tanpa menyertai PH dan BN.

Berdasarkan keyakinan itu, Zuhdi berkata pihaknya sukar berunding dengan PH.

“Jentera kita sudah siap sedia untuk menghadapi pertandingan 3 penjuru,” katanya kepada FMT.

Mei lalu, PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR. Bagaimanapun, ia tidak menghalang beberapa pemimpin PKR termasuk Wan Azizah dan timbalannya Datuk Seri Azmin Ali melawat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Rafizi berkata segala perbincangan kerusi antara mana-mana parti pembangkang perlulah dibawa ke dalam mesyuarat PH.

“Jadi sementara Azmin atas kapasiti peribadi cuba memujuk PAS, tetapi itu mesti dibawa dalam kerangka PH.

“Dan akhirnya PH akan membuat keputusan,” katanya, yang menjangkakan perkara tersebut dibincangkan pada mesyuarat Majlis Presiden PH esok.

Terdapat 222 kerusi Parlimen dan 576 kerusi negeri di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-