Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Wednesday, April 25, 2018

Cucu Ghafar Baba cabar Najib di Pekan


PRU14 | Zahid Mat Arip, cucu kepada bekas timbalan perdana menteri, Tun Ghafar Baba, akan diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan di Parlimen Pekan - kawasan pilihan raya Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Zahid ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dan bekas pegawai khas kepada Tan Sri Mohamed Isa Samad yang pernah dilantik sebagai pengerusi Felda.

Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mengumumkan pencalonan Zahid.

Dalam satu kenyataan hari ini, calon yang dicadangkan BERSATU untuk kerusi Parlimen Pekan, Kamarul Ariffin Mohd Shahar, berkata beliau akan memberi laluan kepada Zahid untuk bertanding di situ.

Kamarul, yang diumumkan sebagai calon Pekan pada 15 April, membuat keputusan itu selepas bertemu Dr Mahathir yang juga pengerusi BERSATU.

"Tun telah menerangkan dan menjelaskan secara terperinci berkenaan strategi kami di Parlimen Pekan.

"Berdasarkan apa yang telah diterangkan oleh Tun, ternyata kali ini Parlimen Pekan bakal menerima sebuah kejutan yang sekali gus bakal mengubah senario lanskap politik Malaysia," katanya.

Dr Mahathir, katanya, meminta beliau menarik diri daripada bertanding dan memberi laluan kepada orang lain.

"Saya mengangguk sebagai tanda bersetuju untuk memberikan laluan kepada Saudara Zahid Mat Arip, bagi menggantikan saya," kata Kamarul.
Zahid ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos tahun lepas untuk membantu siasatan berhubung pembelian hotel Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching.

Beliau telah menafikan melakukan sebarang salah laku.

Dipercayai bahawa BERSATU bergantung kepada Zahid untuk membangkitkan isu skandal yang dikaitkan dengan Felda.

Tanah rancangan Felda terletak di 12 kerusi parlimen dan 27 kerusi DUN di Pahang - negeri kelahiran Najib.

[Baca berita penuh]