Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, April 27, 2018

Hadi: Dr M paling kuat bantah pelaksanaan Islam di Kelantan

Bernama 
April 27, 2018

Hadi berkata ketika pemerintahan Dr Mahathir, PAS menerima tekanan termasuk dilewatkan agihan geran kepada kerajaan negeri, diugut, dan diganggu-gugat pentadbiran
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata keadaan itu berbeza bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang lebih terbuka.

SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa paling kuat menentang pelaksanaan perundangan Islam sepenuhnya di Kelantan terutama selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan Enakmen Undang Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Dr Mahathir yang ketika itu memegang jawatan perdana menteri kemudian menghantar sepucuk surat amaran kepada menteri besar Kelantan ketika itu, arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, agar Kelantan tidak meneruskan hasrat menguatkuasakan enakmen berkenaan atau diambil tindakan.

“Ini yang berlaku sebenarnya… Dr Mahathir bersama timbalannya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menghalang pelaksanaan perundangan Islam di negeri Kelantan setelah 2/3 Adun Kelantan meluluskan pelaksanaan enakmen tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas program ceramah perdana Kompleks Latihan Islam Negeri Sembilan, Ampangan malam tadi.

Sementara itu dalam ucapannya, Hadi berkata ketika pemerintahan Dr Mahathir, PAS yang mentadbir Kelantan ditekan dengan pelbagai bentuk tekanan termasuk dilewatkan agihan geran kepada kerajaan negeri, diugut, diganggu-gugat pentadbiran menerusi pembentukan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), selepas parti itu menang besar pada pilihan raya umum 1990.

Beliau mendakwa kerajaan Persekutuan ketika itu sengaja melengah-lengahkan pembayaran peruntukan kepada kerajaan negeri Kelantan yang sepatutnya dibayar pada Februari atau April dan Jun atau Ogos setiap tahun, sehingga menjejaskan pembayaran gaji kepada kakitangan kerajaan negeri.

“Setiap tahun, kerajaan pusat perlu membayar 2 kali peruntukan (geran tahunan) kepada setiap kerajaan negeri termasuk Kelantan berdasarkan persetujuan pelaksanaan sistem Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Lazimnya geran tahunan ini akan diberikan pada Februari atau Mac. Disusuli sama ada Julai atau Ogos. Namun dalam kes kerajaan Kelantan ini peruntukan hanya diberikan pada Disember untuk melengahkan kerajaan kita membayar gaji kepada kakitangan,” katanya

Bagaimanapun, Hadi berkata keadaan itu berbeza bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang lebih terbuka.

“Ini termasuk memberikan laluan untuk kita membentangkan usul persendirian Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Akta 355) di Parlimen,” katanya.