Sunday, April 8, 2018

Manifesto BN 'pukul habis' janji Pakatan Harapan

Herman Hamid
07 April 2018 11:21 PM
Akujanji terperinci, peningkatan BR1M jawab tuduhan GST

PENGERUSI Barisan Nasional Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersama Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan lain-lain pemimpin komponen BN berikrar memenuhi manifesto pada majlis pelancaran manifesto Barisan Nasional PRU ke-14 di Stadium Axiata di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE/ AMIR HAFIZ

PEMBENTANGAN Manifesto Barisan Nasional (BN) malam ini memang langkah checkmate terhadap apa yang Pakatan Harapan tawarkan biar pun lawan menampilkan janji-janji penuh populis.

Malah tawaran yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi dengan janji untuk menunaikannya dan ini berbeza dengan Pakatan Harapan yang terus membuat pusingan U terhadap beberapa janji mereka sendiri walaupun tidak sampai sebulan dilancarkan.

Sebagai contoh, di satu pihak mahu menjanjikan penghapusan tol manakala calon Perdana Menteri sementara mereka yang berusia 93 tahun itu, masih dengan pendekatan lama, gemarkan tol.

Sikap tidak konsisten mereka semuanya kerana kekaburan mengenai jumlah pendapatan negara gara-gara mahu menjadi populis menerusi penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sekali gus meletakkan manifesto Pakatan Harapan dalam keadaan samar-samar.

Sebab itu, sehingga sekarang pemimpin mereka gagal memberi penjelasan langkah bagi menampung kehilangan hasil lebih RM20 bilion akibat pemansuhan GST yang menjadi tanda tanya ramai penganalisis termasuk Bank Dunia.

Sebaliknya tawaran populis penghapusan GST ditangkis mudah oleh kerajaan dengan memulangkan balik kutipan hasil tersebut kepada rakyat antaranya yang menjadi buah mulut ramai adalah menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Peningkatan jumlah BR1M kepada sekali ganda yang bermula bayaran akan datang selain bayaran one off RM1,500 kepada anak-anak penerima yang menuntut di universiti sememangnya satu faktor ‘feel good’ cukup besar buat Barisan Nasional (BN).

BR1M adalah satu contoh mudah, bagaimana pelaksanaan GST memberi banyak manfaat kepada rakyat yang layak. Biar pun sama-sama dikenakan GST seperti golongan kaya, namun jumlah GST yang dibayar mereka pastinya tidak sebesar golongan lain.

Faktor memukau lain dalam akujanji BN memang jelas. Manifesto BN digarap dengan terperinci, siap dengan langkah pelaksanaan dan jangka masa. Cukup meyakinkan yang tawaran BN ini mampu ditunaikan.

Maka, yang diperlukan mandat daripada pengundi kelak dan jika diukur daripada tawaran manifesto, BN jelas di hadapan berbanding lawan.

Cuma tinggal lagi, jentera BN perlu siap siaga dalam berhadapan hasutan pemimpin lawan kerana politik hasutan, pembohongan adalah ‘kekuatan sebenar’ DAP dan sekutu termasuk Tun Dr. Mahathir Moahamad yang kini tidak ubah seperti Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-