Wednesday, April 18, 2018

PAS terima sumbangan 'halal' dari orang luar, bukan Umno

Mohamad Fadli
April 18, 2018

Takiyuddin berkata PAS parti miskin dan mencabar jika ada unsur rasuah mereka boleh lapor pada SPRM.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata PAS menerima sumbangan daripada orang luar dan mana-mana sumber asalkan “halal”.

Beliau berkata parti menerima sumbangan setiap bulan dan mereka tidak menyemak keahlian parti penyumbang ikhlas itu.

“Ada ahli dan penyokong PAS beri sumbangan sekecil-kecil RM10 setiap bulan dan sebesar-besar jumlah. Kita tidak semak dia orang PAS atau bukan, asalkan dia bagi sumbangan dengan ikhlas.

“Tetapi saya nak tegaskan kita tidak pernah terima sumbangan daripada Umno. Kalau mereka bagi pun kita tidak akan ambil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut hari ini.

Takiyuddin menambah PAS juga menerima wang hasil yuran ahli PAS setiap tahun.

Beliau membalas kenyataan Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar yang mempertikaikan kemampuan kewangan PAS untuk menampung perbelanjaan 160 calon pada pilihan raya umum.

Mahfuz mendakwa, deposit calon dan bahan kempen sahaja mencecah RM2.4 juta, mengambil kira deposit sebanyak RM15,000 untuk satu kerusi Parlimen.

Takiyuddin menepis persoalan daripada bekas pemimpin PAS itu, mengatakan sumbangan yang diterima PAS tiada unsur rasuah dan sogokan.

“Duit PAS adalah di dalam poket ahli-ahli kami. PAS ada 1 juta ahli dan jika seorang ahli sumbang RM35, kita dah ada RM35 juta,” katanya.

“Apabila ada orang tuduh kita terima duit dari sana sini dan kalau ada bukti duit ini berunsur rasuah, tolong lapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“PAS parti miskin tidak bergantung kepada sesiapa.”

Diminta mengesahkan jumlah kerusi Parlimen yang bakal ditandingi PAS, Takiyuddin berkata parti itu memutuskan bertanding 160 kerusi setakat ini, termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Tetapi belum muktamad dan mungkin lebih daripada itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-