Showing posts with label halal. Show all posts
Showing posts with label halal. Show all posts

Saturday, February 1, 2025

Pihak berkuasa perlu adil tangani isu sensitiviti agama

harakahdaily.com
February 1, 2025

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia melahirkan perasaan kecewa terhadap ketidakseimbangan tindakan pihak berkuasa dalam menangani isu sensitiviti agama di negara ini.

Isu ini timbul berikutan tindakan tidak setimpal terhadap pelawak Harith Iskander yang menyindir isu halal dan komen biadab Cecelia Yap yang menghina nama suci Nabi Muhammad SAW.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, pihak berkuasa pantas menjatuhkan hukuman terhadap individu yang mengeluarkan ugutan kepada Harith Iskander, namun tindakan terhadap pelawak itu sendiri serta komen menghina Islam oleh Cecelia Yap masih belum mendapat respon yang setimpal.

“Ini jelas menunjukkan ketidakseimbangan dalam penguatkuasaan undang-undang yang sepatutnya melindungi keharmonian antara agama di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi berkata, isu halal bukan perkara remeh, sebaliknya merupakan satu tuntutan agama Islam yang wajib dihormati oleh semua pihak.

Pada masa sama, katanya penghinaan terhadap nama ‘Muhammad’ – yang merupakan junjungan besar Nabi Muhammad SAW – adalah sesuatu yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.

Sehubungan itu, katanya Pemuda PAS menggesa pihak berkuasa agar berlaku adil dan konsisten dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang mencetuskan ketegangan agama.

“Tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya mereka menghina atau mempermainkan sensitiviti agama mana-mana pihak,” katanya.

Selain itu, Pemuda PAS menasihati masyarakat agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan serta sentiasa menghormati prinsip Rukun Negara yang menekankan aspek kesopanan dan kesusilaan.

Katanya, sikap berdiam diri terhadap penghinaan terhadap Islam, hanya akan membuka ruang kepada lebih banyak provokasi di masa hadapan.

Justeru itu, katanya Pemuda PAS menggesa pihak berkuasa untuk segera mengambil tindakan tegas terhadap Cecelia Yap serta mana-mana individu yang menghina Islam. Tindakan tegas ini penting bagi memastikan keadilan dan keharmonian negara terus terpelihara. 

HARAKAHDAILY 1/2/2025

Tuesday, September 17, 2024

Halal bukan setakat tiada babi, tiada arak - PM

malaysiakini.com
Ili Aqilah
Diterbitkan: Sep 17, 2024
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa konsep halal perlu dilihat melangkaui pandangan tradisional iaitu hanya mengelak daripada makan daging babi dan meminum minuman keras.

Berucap pada majlis pelancaran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2024, Anwar menjelaskan bahawa pemahaman moden mengenai halal merangkumi aspek kebersihan, keberkesanan dan produk berkualiti tinggi.

“Pemahaman tradisional tentang halal ialah tiada daging babi. Bila kita mengembara, kita mungkin perlu cari daging halal, dan itu bermakna bukan daging babi, bukan alkohol.

"Tetapi halal, dalam konteks pemahaman kita sekarang, adalah cara untuk memahami bahawa ia bermaksud sihat,"katanya.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan industri halal kini mengutamakan proses canggih bagi menghilangkan bahan berbahaya, melangkaui sekadar larangan agama.

Tambahnya, dengan definisi halal yang semakin berkembang, industri kini telah mencapai piawaian berkualiti tinggi yang mampu bersaing dengan produk global terkemuka yang lain.
Anwar menggesa pemain industri untuk mengatasi pemahaman sempit "tiada daging babi, tiada alkohol" bagi memenuhi keperluan pengguna yang lebih luas.

“Cemerlanglah dalam menyediakan sesuatu yang lebih sejajar dengan jangkaan moden.

“Masyarakat hari ini menuntut produk berkualiti tinggi—sama ada dari segi kesihatan, atau dalam mengelakkan bahan kimia berbahaya. Kebanyakan pensijilan halal kini termasuk syarat-syarat ini,” tambahnya.

Anwar turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada negara-negara yang mengambil bahagian dalam Mihas dan menyifatkan penglibatan mereka sebagai langkah penting ke arah membuka potensi ekonomi yang sangat besar.

“Apabila kita bercakap tentang halal, kita bukan hanya bercakap tentang Islam. Kami bercakap tentang kepentingan semua rakyat Malaysia, tanpa diskriminasi.

“Terdapat penyertaan baru, dan pertemuan saya dengan rakan sekerja kami di Kyrgyzstan, Uzbekistan dan Kazakhstan telah menunjukkan bahawa minat mereka untuk bekerjasama dengan kami semakin maju,” katanya.

Saturday, September 7, 2024

Industri halal Malaysia teratas di dunia, bukan memalukan negara

harakahdaily.net
September 7, 2024
KUALA LUMPUR: Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin menyifatkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai ‘bila mulut lebih laju dari otak’.

Tempelakan Hanif itu ekoran kenyataan pemimpin DAP tersebut bahawa ‘mewajibkan sijil halal akan tambah beban peniaga, memalukan negara’ seperti laporan media, semalam.

Hanif berkata, mencari yang halal adalah wajib bagi setiap orang Islam dan ia adalah perintah Allah kepada semua orang Islam.

“Begitu juga orang yang terlibat dalam proses menyediakan makanan kepada orang Islam juga wajib atau mesti memastikan makanannya halal.

“Ia tiada kena mengena dengan orang bukan Islam. Mengapa mesti melenting,” persoal beliau dalam satu hantaran di media sosial miliknya.
Muhammad Hanif Jamaluddin
Mengulas berkenaan ‘tambah beban peniaga’, beliau berkata, sepanjang tahun 2023, sebanyak 15,605 jumlah permohonan direkodkan dan sebanyak 8,509 permohonan diluluskan manakala sebanyak 132,106 pelbagai produk telah diberikan sijil halal.

“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Adakah yang dibimbangkan ialah peniaga-peniaga bukan Islam yang cuba mengaburi pelanggan Islam tanpa berusaha untuk mendapatkan sijil halal?” persoal beliau.

Manakala berkenaan ‘memalukan negara’, beliau memaklumkan bahawa industri halal Malaysia berada di tempat pertama daripada 81 buah negara selama 10 tahun berturut-turut.

Berdasarkan laporan dikeluarkan State of Global Islamic Economy (SGIE) oleh Dinar Standards, Malaysia berada di tempat pertama bagi sektor makanan halal dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) 2023.

Hanif berkata, industri halal antarabangsa yang bernilai USD2 trilion dijangka akan meningkat sehingga USD4.96 trilion pada tahun 2030.

“Industri halal terbukti menjadi salah satu sektor paling kompetitif dan pantas di dunia.

“Pasaran halal berkembang dengan pesat disebabkan saiz pasaran pengguna di seluruh dunia yang besar,” terang beliau.

Beliau berkata, dianggarkan sebanyak 25 peratus penduduk dunia adalah beragama Islam manakala 42 peratus penduduk di Asia Tenggara adalah beragama Islam.

“So, adakah pasaran halal ini akan memalukan negara? Nah boleh baca link dari MKN ini berkaitan peranan industri halal yang sangat besar. https://www.mkn.gov.my/web/ms/2024/06/26/peranan-industri-halal/

“Jangan malas membaca, nanti bebal,” kata beliau. 

Monday, March 18, 2024

Kenapa Islam sering dipermainkan?

harakahdaily.com
March 18, 2024
Muhammad Hanif Jamaluddin

KUALA LUMPUR: Agama Islam sering dipermainkan kerana kelemahan umat Islam itu sendiri.

Itu penegasan dan peringatan yang diutarakan Naib Ketua Pemuda Dewan PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin.

Beliau berkata, salah salah faktor kelemahan umat Islam pada hari ini ialah umat Islam meminggirkan ajaran Islam dari kehidupan mereka.

“Islam hanya pada sebutan nama sahaja, namun tidak dihayati dan diamalkan sepenuhnya. Bahkan ada yang merasakan syariat Islam ini menyusahkan dan menyekat kebebasan mereka.

“Sebagaimana Hadis Riwayat al-Baihaqi berkata: “Akan hampir di mana berlaku di akhir zaman kepada manusia tidak tinggal daripada Islam kecuali namanya sahaja. Tidak kekal daripada al-Quran kecuali tulisannya sahaja…”,” kongsinya dalam satu kenyataan.

Tidak bersatu atas nama Islam

Menurut beliau, faktor kedua pula faktor kelemahan umat Islam pada hari ini ialah umat Islam itu sendiri tidak bersatu atas nama Islam.

“Tatkala golongan bukan Islam bersatu di atas perkara-perkara yang mereka perjuangkan, umat Islam pula berpecah belah dan berbalah.

“Ada yang sering berbalah dalam perkara-perkara khilafiah sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lebih besar.

“Mereka yang menyeru atas nama Islam pula diberikan label yang bermacam-macam termasuk ‘‘tunggang agama’, ‘kumpulan suci’, ‘khawarij’ dan lain-lain,” luah beliau.

Kegagalan Kempen ‘Buy Muslim First’

Tambah Muhammad Hanif, faktor seterusnya yang melemahkan umat Islam pada hari sehingga sering dipermainkan di negara sendiri ialah tidak membantu atau menyokong sesama Islam.

“Islam menganjurkan agar saling tolong menolong sesama kita untuk menjadi kuat, namun apa yang sering berlaku adalah sebaliknya.

“Perasaan hasad terhadap orang lain. Pantang tengok perniagaan kawan maju dan berjaya, pasti ada ‘benda’ yang dilakukan untuk memastikan kawan itu jatuh.

“Umat Islam sendiri tidak menyokong ekonomi umat Islam,” kongsi beliau.

Beliau menegaskan, ia boleh dilihat merujuk kepada Kempen ‘Buy Muslim First’ yang tidak mendapat sambutan yang baik, dengan pelbagai alasan diberikan kononnya ‘mahal’, ‘mahukan untung cepat’ dan lain-lain

“Paling malang, ada yang mempersenda dan memperlekeh usaha-usaha umat Islam. Sebagai contoh usaha boikot barangan Israel yang dianggap lekeh dan tidak cerdik,” ujarnya.

Haram dianggap ‘normal’, halal dilihat ‘ekstrim’

Faktor keempat pula ujar beliau, ialah perkara haram dianggap ‘normal’, dan perkara halal pula dilihat sebagai ‘ekstrim’.

“Konsert-konsert yang melampaui batas syariat diberikan sokongan dan dokongan. Pandangan ulama atau mufti pula dianggap kosong dan tidak diendahkan.

“Bahkan ada pula yang akan mengugut akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada yang menghalang aktiviti-aktiviti tersebut.

“Mencegah kemungkaran kini dilihat bersalah manakala pelaku pula dijulang sebagai hero,” katanya lagi.

Menyokong kepada penghinaan

Faktor kelima pula menurut beliau, umat Islam sendiri menjadi menyokong kepada penghinaan.

“Paling menyedihkan apabila ada dalam kalangan umat Islam sendiri yang menyokong tindakan mereka yang menghina Islam dengan menganggap itu adalah hak kebebasan mereka untuk bersuara.

“Maka semakin besarlah kepala mereka, semakin banyak penghinaan demi penghinaan dilakukan kerana mereka boleh memohon ‘maaf’,” tegasnya.

Justeru, beliau menampilkan solusinya bagi mengatasi masalah kepada umat Islam dipandang lemah.

Islam ‘The Way of Life’

“Jadikan Islam sebagai ‘The Way Of Life’. Suatu peraturan hidup yang bersepadu dan lengkap yang mengatur seluruh kehidupan manusia,” hujahnya.

Beliau menampilkan ayat al-Quran yang berbunyi, “Pada hari ini telah Ku sempurnakan bagimu agamamu dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telahKu redha Islam itu menjadi agamamu”. (al-Maidah: 3)

“Justeru tanamkan sikap tolong- menolong sesama Islam, saling membantu, tingkatkan ekonomi orang Islam, perbaiki sistem ekonomi, jauhi perasaan hasad dan semai kasih sayang.

“Insya-Allah Islam akan kuat,” katanya.

Wednesday, February 3, 2021

Pharmaniaga beri jaminan vaksin CoronaVac selamat, berkesan dan halal

Bernama
-February 2, 2021 11:01 PM

CoronaVac, vaksin yang dihasilkan menggunakan teknologi virus tidak aktif adalah kaedah paling berkesan dan terbukti sejak 40 tahun lalu. (Gambar AP)

SHAH ALAM: Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) memberi jaminan vaksin Covid-19, CoronaVac keluaran syarikat farmaseutikal China, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac), yang akan diterima rakyat negara ini adalah selamat, berkesan dan halal.

Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Pharmaniaga, Dr Badarulhisam Abdul Rahman, berkata vaksin yang dihasilkan menggunakan teknologi virus tidak aktif itu adalah kaedah paling berkesan dan terbukti sejak 40 tahun lalu.

“Kaedah sama juga digunakan untuk penghasilan vaksin penyakit berbahaya antaranya Polio dan Hepatitis A. Teknologi ini terbukti berkesan berbanding teknologi baharu lain yang belum diketahui risikonya,” katanya semasa membentangkan mengenai perkembangan vaksin berkenaan secara maya, hari ini.

Turut menyertai sesi pembentangan itu adalah Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Bagaimanapun, Dr Badarulhisam berkata kekeliruan mengenai keberkesanan vaksin berkenaan timbul selepas kajian klinikal di dua negara menunjukkan Turki memperoleh skor 91.25 peratus manakala Brazil 50.38 peratus.

Jelas beliau, kajian di Turki boleh dilihat sebagai penanda aras tahap keberkesanan vaksin CoronaVac kerana ia dijalankan ke atas populasi awam melibatkan 13,000 individu berumur 18 tahun ke atas berbanding Brazil yang melaksanakannya terhadap 13,060 petugas kesihatan yang terdedah kepada virus Covid-19 setiap hari.

“Bagaimanapun, kajian di Turki hanya akan lengkap pada awal bulan ini. Namun kita percaya, tahap keberkesanannya akan melebihi 90 peratus iaitu melebihi piawaian 50 peratus ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk sesuatu vaksin didaftarkan,” katanya.

Tambah Dr Badarulhisam, melalui kajian klinikal itu juga, tiada kesan sampingan serius termasuk ‘Vaccine Enhance Disease’ dikesan selepas dua dos vaksin berkenaan diberikan kepada peserta dan majoritinya hanya mengalami tindak balas ringan.

Dalam pada itu, Zulkarnain pula berkata Pharmaniaga telah meneliti kandungan, formula serta kaedah vaksin berkenaan dihasilkan dan yakin ia adalah halal untuk digunakan sepertimana dinyatakan oleh Majlis Ulamak Indonesia.

Beliau turut menjangkakan vaksin CoronaVac akan memperoleh kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada hujung bulan ini atau awal Mac sebelum diedarkan pada April.

“Mengikut perjanjian, Pharmaniaga akan membekalkan 12 juta dos vaksin ini. Dalam bulan pertama, kita akan bekalkan sejuta dos vaksin CoronaVac diikuti dua juta dos pada bulan seterusnya untuk diedarkan oleh kerajaan,” katanya.

Ditanya sama ada Pharmaniaga mungkin menjual vaksin berkenaan kepada pihak swasta terutamanya industri bagi kegunaan pekerja asing mereka, Zulkarnain berkata perkara itu ada dibincangkan dengan kerajaan.

“Kita sedang berunding dengan kerajaan (untuk menjual CoronaVac) kerana selepas membekalkan 12 juta dos vaksin ini, Pharmaniaga masih mempunyai bekalan dua juta lagi dos. Namun, kerajaan telah meminta vaksin turut diberikan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang merupakan ‘economic fronliner’ selain pekerja asing dan ekspatriat.

“Pharmaniaga juga sedang mengumpul maklumat mengenainya dan sejurus selesai, kita akan berunding bagaimana ia akan dijalankan. Namun, agihan vaksin untuk rakyat Malaysia adalah keutamaan kami ketika ini,” katanya.

Pada 12 Jan lepas, Pharmaniaga menandatangani perjanjian dengan Sinovac untuk membekalkan 14 juta dos vaksin COVID-19 yang mana proses pembotolan dilakukan di kilang berteknologi tingginya di Puchong, Selangor.

Pada 26 Jan pula, Pharmaniaga menandatangani perjanjian untuk membekalkan 12 juta dos vaksin CoronaVac COVID-19 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Wednesday, December 30, 2020

Dituduh guna lambang halal palsu, syarikat pembekal daging, pengarah mengaku tak bersalah

FMT Reporters
-December 30, 2020 3:20 PM

(Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Sebuah syarikat pembekal daging dan dua pengarahnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menggunakan lambang halal yang tidak diperakui pihak berkuasa pada lori milik mereka, awal bulan ini.

Raihanah Cold Storage Sdn Bhd, yang diwakili pasangan suami isteri, Rahman Sheikh Abdullah, 44, dan Raihanah Kasim, 42, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan pemilik serta pengarah syarikat Raihanah Enterprise, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut tuduhan pertama, syarikat Raihanah Cold Storage didakwa menggunakan lambang halal yang tidak diperakui sedemikian oleh pihak berkuasa berwibawa, pada sebuah lori jenama Isuzu.

Bagi tuduhan kedua pula, Rahman dan Raihanah, dituduh selaku pemilik syarikat Raihanah Enterprise melakukan kesalahan sama, membabitkan lori jenama Mitsubishi.

Kesalahan didakwa dilakukan Syarikat di premis perniagaan Raihanah Cold Storage Sdn Bhd, di Taman Perniagaan Setia kira-kira 1 tengah hari, 1 Dis lepas.

Raihanah Cold Storage didakwa mengikut Perenggan 8 (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) dan menghadapi hukuman maksimum denda RM200,000 bagi kesalahan dilakukan kali pertama, manakala untuk kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.

Rahman dan Raihanah selaku pengarah syarikat, pula didakwa mengikut Perenggan 8 (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) dan berdepan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan kali pertama. Jika kesalahan berulang pula denda dihadapi adalah sehingga RM250,000 atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya T Ashvinii, yang memohon mahkamah mengenakan tertuduh masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin kes lambang halal mendapat liputan meluas media dan turut dibincangkan di Parlimen.

Peguam Lau Kok Guan dan Noor Liana Hashim yang mewakili pasangan itu, bagaimanapun, merayu jaminan dikurangkan dengan alasan syarikat itu masih beroperasi.

Menurutnya, syarikat itu memiliki 20 pekerja selain pasangan suami isteri terbabit menanggung empat anak berumur antara 10 dan 20 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan pasangan itu diikat jamin masing-masing RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Jan depan untuk sebutan semula kes tersebut.

Saturday, January 12, 2019

Denda hingga RM5 juta jika kelirukan pengguna dengan status halal

Oleh BERNAMA


Mana-mana pihak yang cuba mengelirukan pengguna dengan status halal boleh didenda sehingga tidak melebihi RM5 juta jika kesalahan pertama dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara tersebut adalah berpandukan Perintah Perihal Dagangan (Takrifan Halal) 2011.

“Jika kesalahan dilakukan oleh bukan pertubuhan perbadanan, ia boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama,” katanya lagi.

Tambah Mohamad Nordin, peniaga dan pengusaha seharusnya mempunyai sensitiviti yang tinggi untuk membangun perusahaan dalam memenuhi keperluan pengguna Islam dan bukan Islam di negara ini. Sementara masyarakat pengguna pula hendaklah memilih hanya premis yang mempunyai sijil halal yang diyakini sah sahaja.

Beliau mengulas laporan Bernama pada 7 Jan berhubung kenyataan Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (Permas) Ayob Abd Majid yang mencadangkan Jakim perlu mewajibkan pengusaha restoran untuk memiliki sijil halal sebelum beroperasi.

Jelas Mohamad Nordin, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) adalah bersifat sukarela dan bukan suatu kewajipan bagi pengusaha premis makanan dan ia adalah berpandukan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) dan (Takrif Halal) 2011.

Setakat ini, tiada peraturan yang mewajibkan mana-mana syarikat untuk mendapatkan SPHM daripada Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), tambah beliau.

“Cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal kepada semua premis makanan memerlukan pandangan daripada pelbagai pihak,” katanya lagi.

Mohamad Nordin menasihatkan semua pengusaha restoran dan pengeluar produk makanan supaya mendapatkan sijil halal daripada Jakim bagi memastikan jaminan halal dan kualiti makanan yang disediakan di samping meningkatkan keyakinan pengguna.

BERNAMA
Berita penuh https://malaysiadateline.com/denda-hingga-rm5-juta-jika-kelirukan-pengguna-dengan-status-halal/

Wednesday, April 18, 2018

PAS terima sumbangan 'halal' dari orang luar, bukan Umno

Mohamad Fadli
April 18, 2018

Takiyuddin berkata PAS parti miskin dan mencabar jika ada unsur rasuah mereka boleh lapor pada SPRM.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata PAS menerima sumbangan daripada orang luar dan mana-mana sumber asalkan “halal”.

Beliau berkata parti menerima sumbangan setiap bulan dan mereka tidak menyemak keahlian parti penyumbang ikhlas itu.

“Ada ahli dan penyokong PAS beri sumbangan sekecil-kecil RM10 setiap bulan dan sebesar-besar jumlah. Kita tidak semak dia orang PAS atau bukan, asalkan dia bagi sumbangan dengan ikhlas.

“Tetapi saya nak tegaskan kita tidak pernah terima sumbangan daripada Umno. Kalau mereka bagi pun kita tidak akan ambil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut hari ini.

Takiyuddin menambah PAS juga menerima wang hasil yuran ahli PAS setiap tahun.

Beliau membalas kenyataan Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar yang mempertikaikan kemampuan kewangan PAS untuk menampung perbelanjaan 160 calon pada pilihan raya umum.

Mahfuz mendakwa, deposit calon dan bahan kempen sahaja mencecah RM2.4 juta, mengambil kira deposit sebanyak RM15,000 untuk satu kerusi Parlimen.

Takiyuddin menepis persoalan daripada bekas pemimpin PAS itu, mengatakan sumbangan yang diterima PAS tiada unsur rasuah dan sogokan.

“Duit PAS adalah di dalam poket ahli-ahli kami. PAS ada 1 juta ahli dan jika seorang ahli sumbang RM35, kita dah ada RM35 juta,” katanya.

“Apabila ada orang tuduh kita terima duit dari sana sini dan kalau ada bukti duit ini berunsur rasuah, tolong lapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“PAS parti miskin tidak bergantung kepada sesiapa.”

Diminta mengesahkan jumlah kerusi Parlimen yang bakal ditandingi PAS, Takiyuddin berkata parti itu memutuskan bertanding 160 kerusi setakat ini, termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Tetapi belum muktamad dan mungkin lebih daripada itu,” katanya.

Friday, May 30, 2014

Cadbury tercemar DNA babi 'halal dimakan' - fatwa Majlis Kebangsaan

ARKIB : 29/05/2014

Hukum produk Cadbury tercemar DNA babi `halal dimakan` - fatwa Majlis Kebangsaan

PUTRAJAYA 29 Mei - Hukum produk Cadbury yang disahkann halal sebelum didakwa mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi adalah seperti hukum asalnya iaitu ’halal dimakan’, demikian menurut Fatwa Majlis Kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, ia termasuk dalam kategori keadaan `Umum al-Balwa', iaitu keadaan musibah atau kesukaran yang berleluasa dan sukar dielak.

``Dalam kes produk siap diproses dan telah dipasarkan kepada pengguna yang pada asasnya telah dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan bahan-bahan yang suci dan halal, dan juga telah disahkan sebagai HALAL tetapi kemudian didapati telah berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian produk (kelompok tertentu sahaja), maka dalam keadaan ini, Muzakarah telah memutuskan bahawa ia adalah dikategorikan sebagai `Umum al-Balwa'.

``Hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di luar kawalan dan amat sukar dielakkan,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesan dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam mengandungi DNA babi atau porsin.

DNA babi dikesan dalam sampel coklat susu dengan kacang Hazel bernombor kelompok NO200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov 2014 dan coklat susu dengan buah badam dengan nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Jan 2015.

Abdul Shukor berkata, umat Islam yang termakan coklat itu juga tidak perlu ragu-ragu atau terlalu gusar terhadap kesucian tubuh badan mereka dan tidak perlu menyamak perut, mulut atau menukar darah.

``Islam bukanlah agama yang terlalu ketat (rigid) dan menyusahkan umatnya, lebih-lebih lagi dalam keadaan atau perbuatan yang di luar pengetahuan dan kawalan,'' katanya.

Beliau berkata, pendekatan hukum yang dibuat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu adalah selaras dengan ajaran Islam yang bersifat rahmah dan tidak memberatkan umatnya dalam kedaan yang mereka tidak ketahui atau tidak sedari sehingga menyukarkan kehidupan seperti pencemaran DNA babi dalam produk makanan seumpama ini.

Bagaimanapun, katanya, pihak berautoriti perlu mengambil tindakan sewajarnya sebagai peringatan terhadap pihak terbabit jika didapati perkara itu dilakukan secara sengaja dan lalai terhadap tanggungjawabnya terhadap pengguna.

Beliau turut menasihati umat Islam agar bertenang dan tidak bersikap terlalu emosional dalam memperkatakan isu itu dan mengelak daripada melakukan perkara yang dilarang Islam.

``Sewajarnya kita memberi kepercayaan kepada pihak autoriti yang telah diamanahkan untuk melaksanakan tugas dalam pengesahan halal haram sesuatu produk kerana pelbagai proses telah ditetapkan bagi memenuhi standard halal yang selaras dengan hukum syarak dan telahpun diiktiraf di peringkat dunia,'' katanya.

Abdul Shukor berkata, hasil kajian mendapati pencemaran atau kontaminasi produk dengan DNA bahan yang diharamkan seperti babi boleh dikawal dari peringkat awal penyediaan bahan mentah lagi, dan jika sesuatu produk itu didapati mengandungi DNA babi semasa proses akhir penghasilannya dan sebelum dipasarkan, maka ia tidak boleh dikategori sebagai halal.

Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebelum ini melantik pasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjalankan kajian saintifik selama setahun berhubung isu pencemaran DNA babi dalam pelbagai produk makanan siap diproses dan disahkan halal supaya hukum yang tepat dapat diputuskan, katanya.

Beliau berkata, hasil kajian juga mendapati DNA babi boleh menyerap masuk ke dalam produk makanan sama ada ia disengajakan atau tidak, dan kontaminasi DNA babi yang berlaku boleh diukur dan diketahui jika berlaku melalui sentuhan secara fizikal.

Kontaminasi juga mungkin berlaku melalui edaran udara apabila daging babi dan bahan lain disimpan di tempat yang sama dan kedua-duanya dalam keadaan tidak bertutup, walaupun tiada persentuhan fizikal berlaku, katanya.

``Kontaminasi DNA babi tidak akan berlaku sekiranya daging babi dan bahan halal lain disimpan di dalam bekas yang bertutup kemas dan tiada sentuhan secara fizikal,'' katanya.

Abdul Shukor juga berkata, keputusan muzakarah itu tidak bermakna sesuatu produk yang didakwa dicemari DNA bahan haram boleh dibiarkan begitu sahaja.

``Adalah lebih baik tindakan menggantung sementara diambil dan siasatan terperinci dilaksanakan bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan dan untuk mengetahui bagaimana pencemaran tersebut boleh berlaku, sama ada disengajakan atau sebaliknya,'' katanya. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140529/dn_39/Hukum-produk-Cadbury-tercemar-DNA-babi-halal-dimakan---fatwa-Majlis-Kebangsaan#ixzz337z7AOjx
© Utusan Melayu (M) Bhd

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-