Saturday, April 28, 2018

Pencalonan Nik Omar Lebarkan Perpecahan PAS

Nik Omar
KOTA BHARU -- Penamaan Nik Omar, anak kedua bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai calon PKR-Amanah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nyata mengejutkan banyak pihak terutamanya PAS.

Sebagai anggota PAS, tindakan Nik Omar bertanding atas tiket Amanah jelas menentang perlembagaan parti menyebabkan PAS mengambil tindakan memecatnya hari ini.

Pemecatan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan selepas berbincang dengan Timbalan Presiden parti Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Nik Omar terlibat dalam pertandingan tiga penjuru di DUN Chempaka, kubu kuat PAS yang pernah diwakili Allahyarham Nik Aziz, dengan mencabar calon PAS Ahmad Fathan Mahmood @ Mahamad yang menggantikan Nik Abdul Aziz di kerusi itu dan Mohamed Fareez Noor Amran yang mewakili Barisan Nasional (BN-UMNO).

Tindakan Nik Omar, 53, yang sebelum ini bertugas sebagai Pengetua Madrasah Darul Anuar di Pulau Melaka, juga dilihat bertentangan dengan pendirian keluarganya yang teguh memperjuangkan PAS.

Amanah, parti serpihan PAS yang kemudian menyertai Pakatan Harapan, sebelum ini meuar-uar untuk meletakkan Nik Omar sebagai calon menteri besar Kelantan jika pembangkang dapat merampas pentadbiran negeri ini yang diterajui PAS sejak 28 tahun lepas.

"Saya bertanding di DUN Chempaka pada pilihan raya ini kerana sejak kecil lagi saya selalu mengikut ayah ke DUN ini, dan saya terpanggil untuk meneruskan legasi ayah untuk memberi khidmat kepada rakyat kawasan ini," kata Nik Omar.

Beliau percaya sebuah negara yang mengamalkan demokrasi harus memberi peluang kepada rakyat untuk memilih calon atau parti yang mereka sukai pada pilihan raya umum itu.

Perkembangan terbaru itu dilihat melebarkan lagi perpecahan dalam PAS.

Dalam pada itu, Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan 30 calon muka baharu dan lama pada PRU14 dalam usaha merampas semula Kelantan daripada PAS.

Pengerusi BN Negeri Datuk Seri Mustapa Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Pa akan mengepalai cabaran tersebut termasuk mempertahankan kerusi Parlimen Jeli dan DUN Air Lanas yang dimenanginya pada PRU13.

Bersama-sama dengan 'Team Tok Pa' ialah Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh, Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) serta Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang).

Pengalaman kelima-lima tokoh tersebut terutama veteran politik Tengku Razaleigh Hamzah yang menyandang kerusi Parlimen Gua Musang sejak lebih 40 tahun lalu, memberi 'tonik' kepada BN Kelantan untuk kembali memerintah negeri ini.

Penampilan lapan calon muda termasuk usahawan Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi, 38, bagi kerusi Parlimen Kota Bharu dan Ketua Pemuda UMNO Pasir Mas Nor Azmawi Ab Rahman, 44, bagi kerusi Parlimen Pasir Mas serta lima calon wanita menzahirkan komitmen BN untuk memperjuangkan semua lapisan masyarakat di negeri.

Manifesto BN Kelantan pada PRU ini yang bertemakan 'Bersama Demi Kelantan' mengandungi tujuh jaminan utama dan 60 tawaran, yang dilihat mampu membawa pembangunan seimbang dari aspek duniawi dan ukhrawi sekiranya rakyat memberi mandat untuk parti itu kembali mentadbir negeri ini.

Komitmen itu diperkuatkan lagi dengan BN Kelantan menawarkan lapan perkara untuk dilakukan dalam tempoh 100 hari pertama jika diberi mandat mentadbir negeri ini iaitu menurunkan kadar premium dan cukai tanah, menyediakan perkhidmatan kerajaan lebih cekap dan berkesan, mewujudkan jawatankuasa hisbah untuk memantau tadbir urus dan mengenal pasti penambahbaikan untuk dilaksana, memberi diskaun bagi tunggakan cukai pintu serta menghapuskan tunggakan bayaran sewa tapak dan mengkaji semula cukai pihak berkuasa tempatan.

Bagi tempoh 11 hari bermula hari ini, kesemua calon yang mewakili parti masing-masing akan giat berkempen bagi menambat hati serta mendapatkan mandat sebagai keraajaan daripada para pemilih berdaftar di negeri ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-