Sunday, May 13, 2018

Rais: Awas 'BN 2.0', Jangan ambil remeh teguran Rafizi


Bekas menteri Umno Tan Sri Rais Yatim memberi amaran bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) akan menjadi "BN 2.0" jika menerima sesiapa sahaja dari BN yang menyeberang ke gabungan itu.

"Kalau kini diterima masuk oleh PH semua pihak yang rasa tersepit hidup maka yang akan wujud ialah BN2.0 dengan segala peel rosaknya. Sia-sia bergalang leher setakat ini," kata Rais dalam satu catatan di Twitternya malam tadi.

Beliau juga menggesa HARAPAN tidak mengambil remeh teguran Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, sebaliknya menggesa segera mengotakan janji kepada rakyat.

Pada masa sama Rais juga menegaskan bekas anggota Parlimen Pandan itu telah banyak berkorban untuk HARAPAN.

"Ayuh segerakan janji-janji untuk rakyat. Jangan ambil remeh teguran Rafizi. Dia dah banyak berkorban," kata Rais.

Semalam, Rafizi mendakwa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melantik tiga anggota kabinet kanan iaitu Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan dan Menteri Dalam Negeri - tanpa berunding dengan PKR.

Anggota Parlimen Subang, Wong Chen dari PKR juga mempertahankan Rafizi yang dikritik hebat selepas itu.

Wong berkata Rafizi tidak mahu pentadbiran Mahathir bermula dengan langkah yang salah, justeru berani membuat teguran berkenaan.

"Dan kerana itu dia dicerca kebanyakan di kalangan anda. Sikap tidak mempersoalkan autoriti yang tidak sihat inilah punca utama mengapa kita membenarkan (Datuk Seri) Najib dan (Datin Seri) Rosmah memerintah kita selama sembilan tahun," katanya di Facebook malam tadi.

Sumber parti itu mengesahkan pemimpin PKR pada mulanya hadir pada mesyuarat semalam untuk membincangkan barisan kabinet beru itu, tetapi meninggalkannya sebelum mesyuarat bermula.

Bagaimanapun, difahamkan Mahathir telah bertemu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan perkara itu di Pusat Rehabilitasi Cheras kelmarin, selepas mengumumkan tiga pelantikan menteri berkenaan.

Sementara itu, ramai wakil rakyat yang melompat menyertai HARAPAN dan sekutunya, seperti Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Kumpulan seperti BERSIH mengkritik perbuatan tersebut termasuk Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-