Friday, June 22, 2018

Dr M pakai selipar Bata: Jimat-cermat bukan 'lakonan'


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau 'berlakon' bagi menunjukkan dirinya mengamalkan sikap berjimat-cermat dengan memakai selipar Bata berharga RM 11.99 dan membeli-belah di kedai runcit bajet bagi mengelakkan dilabelkan boros berbelanja, lapor media tempatan.

"Saya tidak cuba menggambarkan hal sedemikian; saya memang secara semula jadi seperti itu," katanya dalam wawancara bersama Malay Mail.

"Orang ramai tidak tahu gaya hidup saya. Saya sangat berjimat-cermat. Saya tidak membazir wang. Saya tidak membeli perkara yang saya tidak perlukan.

"Saya sangat berhati-hati mengenai cara saya menghabiskan wang saya," kata Dr Mahathir.

Tidak pinjam wang

"Kamu lihat, saya seorang yang tidak mempunyai hutang. Saya tidak meminjam wang," kata beliau.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata hanya mengambil pinjaman untuk membina kediamannya yang telah segera beliau langsaikan.

"Jika saya meminjam, saya merasa dibebani bahawa saya perlu membayar baliknya. Saya tidak mahu beban itu," katanya.

"Saya tak beli apa-apa saham. Kamu boleh periksa. Saya tak ada, kecuali 200 saham Malayan Tobacco yang saya beli sebelum saya menjadi menteri, (pada tahun 1974)," katanya.

Sejak itu, beliau berkata tidak pernah membeli saham kerana beliau sudah mempunyai pengetahuan sebagai 'orang dalam' kerajaan.
Mahathir berkata beliau hanya melabur dalam dana jemaah haji Tabung Haji dan Permodalan Nasional Bhd.

Presiden BERSATU juga berkata beliau boleh membeli tanah di Langkawi yang kemudiannya diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai pada tahun 1987, tetapi beliau memilih untuk tidak berbuat demikian.

"Masa itu, satu relung yang luasnya kurang separuh ekar hanya berharga RM200 sahaja," katanya.

Relung ialah unit ukuran Melayu kuno bersamaan kira-kira 0.7 ekar.

Harga tanah Langkawi

"Saya boleh membeli dan kemudiannya mengisytiharkan bebas cukai Langkawi dan sekarang harga tanah seperti yang kamu tahu, satu ekar boleh mencecah lebih daripada RM5 juta."

Kekayaan Mahathir dan keluarganya menjadi tumpuan selepas beliau mempersoalkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak serta setelah beliau meninggalkan Umno untuk menyertai gerakan pembangkang sebelum PRU14.

Bulan lepas, NGO mesra Umno, Jaringan Melayu Malaysia menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat Mahathir atas dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Anak-anak beliau, Tan Sri Mokhzani dan Datuk Mirzan terkenal dengan kekayaan mereka.

Mahathir menjelaskan beliau mengumpul wangnya melalui kebiasaan sikap berjimat-cermat sementara anak-anaknya mengembangkan kekayaan mereka melalui ikhtiar mereka sendiri.

"Saya tidak fikir memperkayakan diri kerana saya mendapati saya sudah kaya," katanya.

[Berita penuh menyusul]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-