Thursday, June 28, 2018

Laporan: Siasatan bertumpu pada perjumpaan Goldman-1MDB di Singapura

Diterbitkan 28 Jun 2018, 10:59 pagi

Siasatan luar, terutama di Singapura dan AS, sedang bertumpu pada perjumpaan antara dua jurubank Goldman Sachs Group Inc, ahli perniagaan Jho Low, pegawai 1MDB dan enam pegawai eksekutif dari bank Switzerland.

Menurut laporan Bloomberg, bekas kakitangan Goldman Roger Ng dan Tim Leissner dikatakan menyertai perjumpaan itu bagi menjelaskan bon bernilai AS$1.75 bilion yang ditawarkan kepada pegawai eksekutif bank Switzerland.

Memetik sumber yang rapat dengan perkara itu, laporan itu mendakwa siasatan kini meneliti peranan Ng dan Leissner.

Pihak berkuasa ingin memastikan bagaimana AS&577 juta hasil jualan bon pada Mei 2012 dimasukkan sehari kemudian di dalam akaun bank BSI SA di Switzerland - yang merupakan bank sama tempat enam pegawai eksekutif itu berkhidmat.

Makan tengah hari itu, yang sebelum ini tidak dilaporkan, mengetengahkan pihak-pihak utama yang kini dianggap skandal kewangan paling besar dalam sejarah Malaysia.

Jho Low atau Low Taek Jhow yang berasal dari Pulau Pinang dipercayai memainkan peranan penting dalam penyelewengan dana syarikat milik kerajaan, 1MDB yang ditubuhkan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Low kini dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat, sementara waran tangkapan juga telah dikeluarkan oleh Singapura sejak 2016.

Bagaimanapun, sehingga hari ini pihak berkuasa masih gagal membawa Jho Low yang dipercayai bersembunyi di China, Hong Kong atau Macau pulang membantu siasatan.

Perjumpaan Ng, Jho Low

Laporan Bloomberg berkenaan turut merujuk dokumen mahkamah AS yang menunjukkan akaun itu digunakan untuk memindahkan kira-kira AS$1.4 bilion daripada dua jualan bon pada 2012, termasuk yang ditawarkan dalam perjumpaan makan tengah hari berkenaan.

Pada 2016, penyiasat AS dilaporkan menyiasat sama ada Goldman Sachs memperdaya pemegang bon ketika menjual bon keselamatan yang dikeluarkan oleh 1MDB.

Bank berkenaan dikatakan membantu dalam memperoleh bon bernilai AS$6.5 bilion untuk 1MDB pada 2012 dan 2013 dan mengaut komisyen sebanyak AS$593 juta.

Leissner merupakan bekas pengerusi Goldman bagi Asia Tenggara dan merupakan orang utama dalam penjualan tiga bon 1MDB.

Dia meninggalkan Goldman pada 2016 selepas digantung susulan dakwaan melanggar polisi syarikat dan sebagai denda telah dilarang berurusan dengan jualan bon di Singapura selama 10 tahun.

Sementara itu, laporan Bloomberg berkenaan juga memetik sumber sebgai berkata pihak berkuasa Malaysia sedang memproses warang tangkap Ng.

Ng, yang merupakan pegawai jurubank warganegara Malaysia, menyertai Goldman pada 2005 dari Deutsche Bank AG, di mana dia memenangi mandat untuk beberapa urusan bon.

Dia menyertai Goldman pada 2005 dan bertanggungjawab memperkenalkan syarikat itu kepada anggota parlimen negeri Terengganu, yang mana pada 2009 melantik Goldman menjadi penasihat dalam penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA), kata sumber.

Ng kemudian berjumpa dengan Jho Low selepas TIA ditukar menjadi 1MDB.

Bloomberg masih tidak dapat menghubungi Ng, sementara peguam Leissner, Marc Harris, enggan memberi ulasan.

Edward Naylor, jurucakap Goldman Sachs juga enggan mengulas berhubung laporan berkenaan. Wakil Jho Low tidak membalas emel.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan laporan berkenaan.

Najib sebelum ini berulang kali menafikan penyelewengan atau salah laku berhubung 1MDB.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-