Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Wednesday, February 19, 2020

MOF sedia runding jika TH mahu ambil semula 4 hotel dipindah milik

Mohamad Fadli
-February 19, 2020 2:45 PM

Amiruddin Hamzah (3 dari kanan) melancarkan Pusat Islam Pertama untuk Teknologi Baru (ICET) di Kota Damansara, Selangor hari ini.

KOTA DAMANSARA: Kementerian Kewangan sedia berunding dengan Lembaga Tabung Haji (TH) jika ia berhasrat mengambil alih semula 4 rangkaian hotelnya yang dipindah milik kepada anak syarikat kementerian itu, Urusharta Jamaah Property Management Sdn Bhd (UJPM).

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah berkata, rundingan itu hanya boleh dibuat selepas pelan pemulihan dan penstrukturan semula selesai.

“Bila hotel dapat dijalankan dengan baik nanti, kita akan beri TH untuk (pertimbang) sama ada dia nak balik ke tidak masa itu.

“Kalau waktu itu TH kata kami rindulah, nak balik semula dengan anak dia semula. Ya, kita boleh berunding,” katanya pada Majlis Pelancaran Pusat Islam Pertama untuk Teknologi Baru (ICET) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pengambilalihan TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) hanya bersifat sementara.

Semalam, TH mengumumkan operasi 4 rangkaian hotel miliknya dipindah milik kepada UJPM mulai April ini yang merupakan sebahagian pelan pemulihan dan penstrukturan semula institusi itu.

Empat hotel THHR itu ialah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu.

Semalam, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusan TH memindahkan operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel THHR kepada anak syarikat Kementerian Kewangan kerana hartanah itu tidak memberi keuntungan kepada agensi berkenaan.

Hari ini, Amiruddin membidas pihak mengkritik tindakan TH itu kerana cuba menimbulkan perasaan negatif.

“Ada orang di luar sana tak ada kerja lain. Padahal tahu kenapa ini berlaku kerana TH terpaksa memindahkan aset-aset yang tidak beri keuntungan baik kepada mereka.

“Dimaklumkan tidak ada pekerja diberhentikan, hanya bertukar majikan dan sebahagiannya dipindahkan ke TH Kelana Jaya.”

Sementara itu, Amiruddin berharap negara akan terus menerajui bidang kewangan Islam dan menjadi sebagai hab global kewangan Islam dengan adanya ICET.

Beliau berkata, ICET akan menjalankan program penyelidikan dan pembangunan teknologi serta latihan untuk pembiayaan serta transaksi kewangan berlandaskan syariah.

“ICET sejajar usaha Mahathir meningkatkan usaha penyerapan Revolusi Industri 4.0 supaya dapat menyumbang ke arah peningkatan produktiviti, pengasahan bakat berkemahiran tinggi dan usaha penciptaan baru.

“Ini untuk menjadikan Malaysia destinasi utama pembuatan pintar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-