Wednesday, September 30, 2020

Segalanya telah siap sedia untuk Anwar bentuk kerajaan baru

 30/09/2020 7:53 PM

mhdaily.net


Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) setuju dengan usaha membentuk kerajaan baharu selepas Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Presiden yang dipengerusikan oleh Anwar semalam.

Mesyuarat itu turut membincangkan mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Majlis Presiden menegaskan usaha mengembalikan mandat rakyat itu perlukan iltizam dan komitmen menegakkan keadilan, membanteras amalan rasuah dan memperbaiki institusi termasuk badan kehakiman.

“Pakatan Harapan turut mendoakan agar Yang di-Pertuan Agong sembuh dari sebarang masalah kesihatan dan kekal di bawah lindungan Ilahi,” kata kenyataan bersama Setiausaha Agung parti dalam PH, hari ini.

Kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Sementara itu menurut laporan malaysiakini, Anwar mungkin mendapat lebih peluang untuk menjawat jawatan perdana menteri selepas ketua Menteri Sabah dipilih dari Bersatu, bukanya Umno.

Jawatan ketua menteri Sabah yang terlepas dari ‘genggaman Umno’ mungkin mendorong rasa tidak puas hati beberapa ahli parlimen parti itu.

Ini mungkin memberi kelebihan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam usahanya untuk mengambil alih Putrajaya tetapi tidak menjamin kejayaan kerana beberapa faktor lain juga perlu diperhatikan.

Bahkan sebelum pilihan raya Sabah, kepemimpinan tertinggi Umno mengesahkan terdapat ahli parlimen Umno yang sudah berpaling arah kepada Anwar.

Pada 23 September, Anwar mendakwa beliau mendapat majoriti di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru dan dalam beberapa jam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan “ramai” ahli parlimen Umno menyokong Anwar.

Sekarang, rasa tidak puas hati itu akan berkembang dengan Ketua Bersatu Sabah Mohd Hajiji Noor diumumkan sebagai ketua menteri Sabah yang baru.

Ini walaupun Zahid berkata terlalu besar nilainya bagi Umno dan BN untuk menyerahkan jawatan itu kepada Bersatu. Umno mahu ketua parti Sabah, Bung Moktar Radin menjadi ketua menteri baru.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang terdiri daripada BN negeri (Umno, MCA, PBRS), PN (Bersatu, Star, SAPP) dan PBS, memenangi pilihan raya Sabah pada Sabtu lalu dengan meraih 38 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Semua parti ini, kecuali SAPP, merupakan sebahagian daripada kerajaan persekutuan PN tetapi di peringkat negeri, PN adalah salah satu daripada tiga komponen dalam GRS.

Di dalam GRS, walaupun Umno menang paling banyak sebagai satu parti, dengan 14 kerusi DUN namun sekutu BN, MCA dan PBRS gagal meraih sebarang kerusi.

Sebagai gabungan, PN menguasai lebih banyak DUN dengan mempunyai 17 kerusi, dengan 11 dari Bersatu dan enam dari Star. SAPP tidak memenangi apa-apa manakala PBS menang 7.

GRS hari ini menampilkan stau barisan bersatu, berkata Hajiji mendapat sokongan sebulat suara daripada mereka.

Tetapi di sebalik tabir, Umno Sabah tidak mempunyai banyak pilihan kerana tidak mempunyai jumlah Adun mencukupi.

Zahid ketika dihubungi mengenai perkembangan terkini memberitahu Malaysiakini Bung didesak untuk memberikan persetujuannya.

“Bung ‘terpaksa’ berkompromi atas desakan 14 Adun BN supaya berada dalam kerajaan baru Sabah, meskipun Bung hanya sebagai timbalan ketua menteri Sabah.

“Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Ahmad Maslan mewakili kepimpinan tertinggi Umno sewaktu berkompromi untuk beri kepada Hajiji.

“Keputusan dibuat oleh Bung atas pandangan pimpinan atasan Umno yang berunding di Kota Kinabalu,” kata Zahid kepada Malaysiakini.

Faktor lain yang menguntungkan Anwar adalah ‘bintang’ Presiden Warisan Shafie Apdal agak ‘malap sinarnya’ selepas gagal mempertahankan Sabah.

Sebelum ini, DAP dan Amanah mahu Shafie menjadi calon alternatif perdana menteri Pakatan Harapan selain Anwar.

Pendirian ini dengan kepercayaan sebagai rakyat Malaysia Timur, Shafie berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk meyakinkan ahli parlimen Sarawak untuk bergabung bersama PH.

Bagaimanapun, kemenangan besar yang mereka harapkan di Sabah, untuk meningkatkan kedudukan Shafie, tidak menjadi kenyataan.

Anwar untuk tempoh waktu yang lama cuba untuk mendapatkan sokongan ahli parlimen Sarawak, terutama daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan sekarang mengubah arah lain dengan menarik dokongan ahli parlimen daripada Umno pula.

Berita penuh : https://themalaysialife.com/usaha-bentuk-kerajaan-baru-dapat-persetujuansedikit-masa-lagi/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-