Saturday, January 3, 2015

Keputusan kes liwat II Anwar dijangka umum bulan ini

Shafee percaya panel hakim akan umum tarikh untuk keputusan rayuan akhir kes liwat II, Anwar, dalam bulan ini. - Foto: TRP/SM Amin

KUALA LUMPUR, 3 Januari:

Keputusan rayuan akhir Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu, dijangka diketahui bulan Januari ini.

Ketua Pendakwaraya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata pihaknya sepatutnya sudah mendapat petunjuk tarikh keputusan akan dikeluarkan, tetapi mungkin disebabkan banyak perkara terjadi mutakhir ini, berlaku penangguhan.

“Mereka (panel hakim) patut bagi kami petunjuk. Ada kemungkinan lima hakim hendak tulis dia punya keputusan dan alasan keputusan ataupun oleh sebab kita ada banyak isu mutakhir ini, ada banyak kes, cuti, banjir.

“Ini mungkin menyebabkan ia tertangguh, sebab kelima-lima (hakim) patut ada mesyuarat dan (setelah selesai) mereka bincangkan, baru boleh buat keputusan.

“Saya tidak tahu bila keputusan, tetapi saya rasa bulan ini tidak terlampau lambat sangat. Saya tidak rasa mereka (hakim) akan tangguhkan keputusan lambat sangat,” katanya kepada The Rakyat Post di pejabatnya pada Sabtu.

Pada 7 November lalu, Mahkamah Persekutuan memaklumkan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti penghujahan kedua-dua pihak berhubung isu-isu yang dibangkitkan dalam rayuan tersebut.

“Memandangkan fakta yang dikemukakan, kami memerlukan sedikit waktu. Kami akan tangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” kata Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria Arifin yang mengetuai panel lima hakim.

Mahkamah Rayuan sebelum ini mendapati Anwar bersalah dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara. Beliau dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 dan seorang penjamin.

Pihak pendakwaan juga memfailkan rayuan balas memohon hukuman penjara Anwar ditingkatkan sekiranya mahkamah tertinggi itu bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-