KUALA LUMPUR, 14 Februari:
Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu berhenti menuding jari kepada orang lain bagi permasalahan dalaman parti yang mereka hadapi.
Pegawai Khas bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Faekah Husin berkata, pimpinan parti berkenaan sebaliknya harus bermuhasabah dengan melihat permasalahan dalaman ahli parti tersebut dengan jujur, bijak dan matang.
Menurutnya, reaksi pantas parti tersebut terhadap demontrasi ahli parti mereka yang meminta PKR melantik Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Ketua Umum PKR bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan parti itu semakin nazak dan amat terdesak.
“Tindakan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang dengan mudah dan tanpa rasa bersalah menuduh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai dalang tersembunyi di sebalik demontrasi tersebut lebih kepada tindakan kebudak-budakan bagi menutup kelemahan sendiri.
“Tidak cukup dengan fitnah dan penghinaan yang mereka lemparkan terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim selama ini, kini permasalahan dalaman PKR yang kian membusuk pula mahu dipalitkan kepada mantan Menteri Besar Selangor itu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah Faekah, selaku seorang negarawan, Abdul Khalid terkenal dengan sifat telus dan bertanggungjawab maka dengan menuduh beliau sebagai dalang yg bersembunyi adalah satu penghinaan melampau yang dilakukan oleh pimpinan PKR.
“Kami menuntut PKR memohon maaf di atas keceluparan pimpinan mereka yang jelas gagal menegakkan keadilan seperti yang mereka laungkan selama ini,” ujarnya.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/02/14/pkr-perlu-muhasabah-diri-dan-henti-tuding-jari/#ixzz3Rhdtnqbm
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.