ANALISIS: Seperti kebiasaan sikap bijak dan licik mereka, parti demokratik sosialis DAP sekadar menunggu ribut hudud selesai, sementara memberikan tekanan kepada golongan liberal dalam PAS untuk menyingkirkan puak konservatif yang dilihat bertanggungjawab ke atas kemelut semasa kedua-dua parti itu.
Walaupun sebelum ini berdegar-degar dengan retorik mereka, DAP memutuskan untuk tidak berganjak dari komitmennya kepada pakatan pembangkang Pakatan Rakyat, di sebalik isu pelaksanaan hudud Kelantan.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), Anthony Loke memberitahu pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa itu di Kuala Lumpur malam tadi, bahawa keputusan mereka "adalah positif bagi rakyat dan akan mengecewakan BN dan Umno".
Seluruh kemelut hudud PAS Kelantan telah disifatkan sebagai satu cubaan oleh puak-puak tertentu dalam PAS dan Umno untuk memecahkan pakatan pembangkang yang baru ditubuhkan itu.
Walaupun ia sudah pastinya bukan satu keputusan yang tidak dicapai secara mudah, dan telah diperhujahkan secara bermati-matian di kalangan 30 ahli CEC yang hadir dalam pertemuan empat jam itu.
Setiausaha publisiti DAP, Tony Pua berkata kepada pemberita di ibu pejabat DAP kemudiannya bahawa ia telah "dibincangkan secara rapi, dan semua pandangan telah dibincangkan".
"Ia merupakan satu keputusan yang sukar untuk dicapai kerana ia melibatkan hala tuju masa depan Pakatan. Isu utamanya adalah berkaitan dengan (masa depan) DAP dalam Pakatan, "kata Pua.
CEC DAP telah membuat keputusan sebulat suara malam tadi untuk kekal dalam Pakatan, dan menggagalkan apa yang mereka lihat sebagai satu percubaan oleh Umno untuk melemahkan pakatan pembangkang itu.
Tetapi berhati-hati seperti biasa, DAP telah membuat keputusan untuk turut memutuskan hubungan, secara khususnya dengan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng menjelaskan pendirian mereka dalam sebuah kenyataan yang dihantar pagi ini.
“DAP tidak dapat bekerjasama dengan presiden PAS Hadi Awang, yang berterusan melaksanakan taktik tidak jujur dan tidak bermaruah," kata Lim.
Melalui sindiran Lim yang tidak begitu halus, DAP pasti telah memberitahu elemen-elemen progresif dalam PAS yang masih berminat untuk bekerjasama dengan Pakatan, supaya menumbangkan Hadi dan kepimpinan ulama.
Golongan liberal atau progresif dalam PAS telah pun mencalonkan naib presidennya Datuk Husam Musa sebagai calon mereka, dalam apa yang dilihat sebagai satu cabaran langsung bukan sahaja kepada kepimpinan Hadi, tetapi juga untuk menyingkirkan puak ulama dan konservatif daripada kepimpinan parti Islam itu.
Unsur-unsur liberal dalam PAS dikatakan telah pun bergerak untuk mendapatkan sokongan bagi Husam, dan kenyataan Lim pasti boleh dilihat sebagai sokongan tersirat bagi pertembungan mereka.
Ini adalah selaras dengan laporan-laporan awal Semut Harian yang memetik sumber-sumber dalaman yang menyatakan bahawa parti demokratik sosialis itu telah membuat keputusan awal untuk mengelak dari membuat apa-apa perubahan penting dalam hubungan mereka dengan Pakatan, sementara menunggu pemilihan parti PAS dijalankan pada bulan Jun.
Seperti yang dinyatakan oleh penganalisis-penganalisis politik, perubahan dalam kepimpinan PAS ke tangan golongan liberal akan menyekat agenda Islamisasi yang telah dipercepatkan oleh golongan konservatif dan ulama.
Tetapi namun begitu, sumber dalaman dan pemerhati telah lama membayangkan bahawa DAP juga sedang berusaha ke arah pelan B sekiranya PAS terus dipimpin oleh Hadi dan ulama-ulama, selepas pemilihan parti Islam itu tamat.
Seperti yang telah dispekulasi sebelum ini, DAP mungkin berkira-kira untuk menubuhkan sayap Islam atau Melayunya sendiri, yang pemerhati kata pasti akan menyelesaikan "masalah Melayu" mereka.
Pada masa ini, DAP sudah dilihat sebagai mesra dengan NGO Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) yang dikaitkan dengan PAS, yang dituduh ramai pihak sebagai dibiayai oleh parti demokratik sosialis itu secara terselindung.
Walaupun memang pasti DAP telah memberikan sokongan moral terbuka jika bukannya sokongan terus kepada Pasma, setelah terlibat dalam lawatan dan mesyuarat dengan Lim sendiri.
Pasma dilihat sebagai sebahagian daripada gerakan liberal yang pro-Pakatan dalam PAS, walaupun ahli-ahlinya terlalu sedikit berbanding dengan golongan profesional atau Erdogan yang lebih ramai.
Dalam reaksinya, The Malaysian Insider memetik setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebagai menggelarkan keputusan DAP "kebudak-budakan dan tidak matang”.
Naib presiden PAS, Salahuddin Ayub juga mengingatkan DAP bahawa Hadi adalah presiden yang telah diundi satu juta ahlinya, jadi mereka tidak boleh memutuskan hubungan dengan beliau, sementara kekal dalam pakatan dengan parti.
Timbalan presiden parti, Mohamad Sabu sementara itu mengambil nada yang lebih berhati-hati dan menggesa para pemimpin dari kesemua parti-parti Pakatan Rakyat untuk duduk dan mencari titik persamaan dalam perpaduan mereka.
Hadi sendiri belum lagi mengulas mengenai perkara itu, tetapi apa pun yang berlaku, sekiranya PAS terus kekal dalam tangan golongan ulama dan konservatif pada bulan Jun, ada baiknya DAP mula mencari cara-cara untuk melembutkan tamparan kehilangan kerjasama dengan PAS dalam Pakatan.
Laporan ini ditulis secara bersama oleh Hazlan Zakaria dan Alyaa Alhadjri
- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/DAP-akan-senang-hati-melihat-Hadi-disingkirkan-dalam-pemilihan-PAS-bulan-Jun#sthash.0gJbQILm.dpuf
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.