Tuesday, July 7, 2015

Pendedahan WSJ : Najib ditekan, pembangkang mahu sidang khas segera

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Satu sejarah dicatatkan hari ini apabila Ahli-Ahli Parlimen yang mahu bermesyuarat tidak dibenarkan menggunakan bilik mesyuarat, walaupun setelah ditempah, atas alasan yang meragukan.

Keadaan itu memaksa semua Ahli Parlimen berkenaan, daripada parti-parti pembangkang bersama tetamu mereka yang mewakili NGO serta individu prihatin, terpaksa bermesyuarat di luar Parlimen.

Semangat padu anggota pembangkang tidak menghalang hasrat mereka walaupun terpaksa mengadakan mesyuarat dengan hanya duduk di atas lantai dan di anak tangga di kawasan laman luar Parlimen.

Mereka membincangkan isu yang amat penting bagi menentukan masa depan Malaysia selepas media antarabangsa Wall Street Journal membuat tuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang didakwa menerima wang RM2.6 bilion (USD700 juta) dimasukkan terus ke dalam akaun bank beliau untuk digunakan oleh Barisan Nasional dalam pilihanraya umum yang ke-13 lalu.
Hari ini juga WSJ mendedahkan apa yang didakwanya sebagai dokumen yang menjadi bukti tuduhanya terhadap Najib serta rajah bagaimana wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Dalam mesyuarat gabungan Ahli Parlimen tersebut lewat tengah hari tadi, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan aktivis sosial Datuk Ambiga Sreenavasan, antara lain, mencadangkan agar Parlimen dibubarkan segera.

Menurut Guan Eng, pilihanraya umum yang baru dan bersih perlu diadakan secepat mungkin selepas pendedahan WSJ serta skandal 1MDB yang sudah berlarutan.

Ambiga pula mencadangkan agar Ahli-ahli Parlimen meminta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mendesak Najib supaya bercuti segera untuk memudahkan siasatan tentang tuduhan WSJ serta skandal 1MDB.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mahu sidang khas Parlimen diadakan segera untuk membincangkan skandal-skandal tersebut.

Beliau juga mahu Gabenor Bank Negara dan Peguam Negara menghadiri sidang khas itu bagi menjelaskan status siasatan kes-kes tersebut.

Para pemimpin UMNO dan BN pula masih belum bersuara tegas terhadap isu yang semakin menekan Najib dan kepimpinannya itu.

Sementara itu, media melaporkan bahawa Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan sebagai berkata, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak hadir dalam pertemuan tergempar hari ini kerana uzur. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-