Sunday, July 12, 2015

Selangor tunggu arahan PAS Pusat, kata Iskandar Samad

PAS Selangor tunggu arahan rasmi Jawatankuasa Kerja Pusat berhubung keputusan tahaluf siyasi dengan DAP, kata Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Julai, 2015.

Enggan menerima pendirian Majlis Syura Ulama yang membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP, PAS Selangor mahu menunggu arahan rasmi daripada Jawatankuasa Kerja Pusat bagi memastikan sama ada keputusan itu terpakai di peringkat negeri itu atau tidak, kata Datuk Iskandar Abdul Samad.

Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga naib presiden parti Islam itu berkata, pada masa sama kerjasama dengan DAP dan PKR akan diteruskan seperti biasa di setiap peringkat pentadbiran Selangor.

"PAS Selangor akan meneruskan kerjasama dan hubungan sehingga menerima arahan rasmi daripada PAS Pusat.

"Kami juga ingin menjelaskan, hubungan dan kerjasama dalam kerajaan berdasarkan jawatan kerajaan seperti exco, ahli Dewan Undangan Negeri, ahli majlis dan ketua kampung. Maka ia akan diteruskan demi menjaga amanah rakyat yang diterima pada PRU13," katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook.

Setiausaha MajliS Syura Ulama Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh semalam mengumumkan pihaknya yang bermesyuarat kelmarin memutuskan menamatkan tahaluf siyasi dengan DAP kerana parti sekular itu sering membuat provokasi dan campur tangan hal dalaman PAS.

"MSU kesal dengan tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP yang mengecam dan melanggar semangat kerjasama PR, serta campur tangan dalam akidah, dasar dan matlamat PAS.

"Oleh itu, MSU memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan DAP terbatal. Dalam masa yang sama, PAS mengekalkan tahaluf siyasi bersama PKR," kata Zawawi.

Bekas ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar dilaporkan berkata, PAS perlu berundur dan akan dilihat hipokrit jika masih ingin kekal dalam kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang.

"Saya hanya memberikan pandangan ahli PAS perlu berundur daripada kerajaan.

"Terpulang kepada mereka," katanya.

Keputusan Majlis Syura itu disambut baik PAS Pulau Pinang apabila ketua penerangannya, Mohd Yusni Mat Piah menasihati semua ahli parti menyokong penuh keputusan itu dan bersiap sedia menjalankan arahan yang akan dikeluarkan pucuk pimpinan, lapor Harakahdaily.

Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu Satiful Bahri Mamat juga dilaporkan berkata, pihaknya bersedia menghadapi sebarang risiko yang akan tercetus hasil keputusan itu dan akan terus berpegang teguh dengan prinsip perjuangan Islam. – 12 Julai, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/selangor-tunggu-arahan-pas-pusat-kata-iskandar-samad#sthash.5Iz6JE82.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-