Monday, August 24, 2015

Rakyat Malaysia tidak perlu diheret ke dalam krisis kepimpinan Umno

oleh Jimmy Adit

SEKILAS PANDANG: Dalam tindakan terdesak sesetengah pihak untuk menyingkirkan Perdana Menteri Najib Razak daripada jawatan, rakyat Malaysia secara umumnya tidak terlibat.

Kelangsungan politik Najib bergantung kepada Umno, bukan rakyat Malaysia. Samada rakyat Malaysia berada di belakangnya atau menyokong Dr Mahathir Mohamad tidak penting. Apa yang penting adalah Umno.

Rakyat Malaysia tidak berhak berkata apa-apa dan mereka juga tidak berkuasa pada tahap ini. Umno punya segala kata putus. Kuasa terletak pada Umno.

Giliran rakyat Malaysia ialah pada tahun 2018 apabila pilihanraya umum sepatutnya diadakan.

Sehingga kini, Umno nampaknya masih belum bersedia dan rela untuk berpisah dengan Najib, akibatnya, dia masih terus kekal kukuh seperti biasa.

Mahathir mungkin bergabung dengan semua tokoh politik terkemuka Malaysia- bekas saudara berganding bahu, musuh dalam Umno lama, malah musuh sepanjang hayat dalam barisan Pembangkang- tetapi sekiranya dia tidak mampu memenangi Umno, kedudukan Najib tidak akan terancam.

Sehingga Umno memutuskan yang ia sudah bosan dengan Najib, tiada apa yang boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia, termasuklah Mahathir.

Umno kata Najib masih perdana menteri, maka dia masih, walau apapun yang dilakukan atau dirancang oleh Mahathir.

Najib masih berkuasa kerana Umno, dia hanya akan disingkirkan sekiranya Umno tersingkir.

Mahathir tahu perkara ini, tetapi adakah dia rela menyingkirkan Umno?

Tidak, Mahathir tidak rela. Dia terdesak mahu menyingkirkan Najib, tetapi masih percaya yang kerajaan BN aka Umno perlu terus kekal: “ Mereka (MP BN) tidak akan menjadi alat penting untuk menjatuhkan kerajaan BN. Jika Pembangkang benar-benar mahu menyingkirkan Najib, mereka hanya boleh berbuat demikian jika Najib berundur tetapi kerajaan BN akan terus kekal, dipimpin oleh pemimpin yang berbeza.”

Pemimpin berbeza bermaksud orang Umno juga. Pastinya bukan Anwar Ibrahim, bukan Lim Kit Siang, bukan Wan Azizah.

Memikirkan kembali, bukankah satu-satunya matlamat Pembangkang ialah untuk menyingkirkan Najib? Jadi adakah Pembangkang juga memikirkan yang hanya Najib satu-satunya masalah di Malaysia? Mereka juga merasakan yang pengganti Najib akan menjadi perdana menteri yang lebih baik? Saya tidak rasa begitu.
Pembangkang tidak akan merampas Putrajaya walaupun Najib gagal dalam undi tidak percaya. BN aka Umno akan terus berkuasa. Pembangkang tidak patut membantu Mahathir dalam pertarungannya dengan Najib.

Mahathir sedang bergelut dalam pertarungan sukar dalam Umno, tetapi ia perjuangan yang berbaloi dilalui kerana apa yang menjadi gadaian kini ialah jawatan kepimpinan tertinggi, jawatan paling utama dalam negara kini.

Tidak hairanlah Mahathir rela untuk berkongsi hasil dengan Pembangkang!

Banyak hasil untuk dikongsi bersama.

Menjadi mantan perdana menteri, dia tahu apa rasanya menjadi ahli politik no 1 Malaysia.

Jawatan itu memberikan pemegangnya kunci kepada semua pintu peluang, dan Najib telah membuka pintu yang Mahathir sendiri tidak ketahui wujud sewaktu dia memerintah.

Selain itu, perjanjian yang berlaku pada masa kini sangat mewah kalau dibandingkan dengan tempoh dua dekad dia memegang jawatan sehingga hasil pemerintahanya dulu kelihatan seperti gaji bulanan minimum RM 900 di semenanjung dan RM 800 untuk Sabah dan Sarawak.

Najib di dakwa meraih berbilion dalam masa yang cukup singkat, dia perlu disingkirkan, maka kerana itu Mahathir menggoncangkan Umno.

Perdana menteri perlu dalam kalangan orang Umno, dan kerana itu, hanya Umno boleh membuat keputusan. Jika ada percanggahan pendapat, ia perlu diselesaikan dalam Umno. Ia satu pergelutan kuasa dalam Umno.

Tetapi Mahathir membuatnya kelihatan seperti masalah rakyat Malaysia dan ramai percaya kepadanya kerana dia menggunakan nama Malaysia- 1MDB.

Tetapi lebih ramai lagi sepatutnya melihatnya sebagai ia satu masalah Umno.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Rakyat-Malaysia-tidak-perlu-diheret-ke-dalam-krisis-kepimpinan-Umno#sthash.ixBd5vZh.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-