Monday, August 24, 2015

Tak harus desak wakil rakyat Pas letak jawatan - Penasihat Umum GHB

Penasihat Umum GHB, Ahmad Awang berkata kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendesak mereka meletakkan jawatan dilihat telah membelakangkan kepentingan pengundi. - Foto TRP/Daniel Chan

KUALA LUMPUR, 23 Ogos:

Wakil rakyat PAS yang bakal menyertai parti baru oleh Gerakan Harapan Baru (GHB) tidak seharusnya didesak untuk meletakkan jawatan.

Penasihat Umumnya, Ahmad Awang berkata kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendesak mereka meletakkan jawatan dilihat telah membelakangkan kepentingan pengundi.

Ini katanya, mereka kini sedang memperjuang hasrat rakyat seperti agenda yang dijanjikan Pakatan Rakyat sebelum ini.

“Rakyat telah memilih mereka kerana mereka mewakili Pakatan Rakyat yang menjanjikan agenda untuk membuat perubahan politik dalam negara dengan matlamat menjatuhkan rejim pemerintahan UMNO/BN.

“Selagi mana wakil rakyat yang dipilih kekal memperjuangkan matlamat ini, maka mereka layak untuk terus menggalas amanah rakyat.

“Di satu segi lain, tidak ada peruntukan perundangan dalam Perlembagaan Persekutuan mahupun amalan secara konvensional yang mengisyaratkan keperluan meletakkan jawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad yang juga pencabar kerusi Presiden Pas baru-baru ini berkata desakan untuk meletakkan jawatan sepatutnya dituju kepada mana-mana ahli parlimen pembangkang yang tidak menyokong undi tidak percaya.

Ia merujuk kepada undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dilihat lebih memenuhi hasrat rakyat.

“Maka sewajarnya seluruh ahli-ahli parlimen pembangkang bersedia untuk mengisytiharkan sokongan mereka terhadap undi tidak percaya yang akan dibawa ke atas Najib.

“Yang pasti, wakil-wakil rakyat telah mengangkat sumpah di dalam dewan untuk menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah dan tanggungjawab untuk kepentingan negara,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/08/23/tak-harus-desak-wakil-rakyat-pas-letak-jawatan-penasihat-umum-ghb/#ixzz3jeIXLB00

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-