Saturday, October 22, 2016

Pembangkang 'kepanasan' dengan bajet untuk rakyat - Ku Man

 Send by Email : 
Putrajaya – Tindakan pihak pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat ketika pembentangan Bajet 2017 semalam disifatkan sebagai ‘kepanasan’ dengan pelbagai pengumuman kerajaan yang membawa kebaikan kepada seluruh rakyat.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ia berikutan tindakan mereka sebelum ini yang mencanang dan menabur dakwaan bahawa Malaysia akan menjadi negara gagal atau bankrap.

Selain kesal dengan tindakan tidak beradab tersebut, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu juga mempersoalkan tanggungjawab wakil rakyat terbabit terhadap pengundi apabila membuat bising dan berjalan keluar ketika perkara berkaitan kebajikan rakyat sedang dibentangkan.

“Mereka merasa panas apabila bajet yang diumumkan semalam telah memastikan semua golongan masyarakat seperti Orang Kurang Upaya (OKU), golongan wanita dan generasi muda mendapat faedah daripada perancangan kerajaan.

“Sedangkan sebelum ini mereka telah menguar-uarkan Malaysia akan menjadi negara gagal tetapi pembentangan semalam menunjukkan kita berada di landasan yang betul dalam memenuhi kehendak rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Negara peringkat Wilayah Persekutuan serentak dengan kempen penggunaan tong kitar semula dan program joran bersama komuniti Putrajaya di sini, hari ini.

Tengku Adnan berkata setiap wakil rakyat yang diberi kepercayaan sepatutnya mengikuti pembentangan bajet dengan teliti kerana ia mengandungi pelbagai perancangan untuk kebajikan rakyat selain selaras dengan amalan dalam sistem demokrasi berparlimen.

Bagaimanapun, beliau memuji sikap ahli Parlimen Pas yang dilihat lebih rasional dengan memilih untuk kekal di dalam dewan sehingga pembentangan berakhir.

“Dalam hal ini, kita lihat Pas lebih rasional, menghormati amalan sistem demokrasi berparlimen kerana tahu apa yang dibentangkan pemerintah akan menjadi bajet untuk rakyat dan negara dan mereka perlu menyampaikannya kepada pengundi yang diwakili, katanya.

Semalam, anggota Parlimen pembangkang daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara serta Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak keluar dewan ketika pembentangan Bajet bertema ‘Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh’ masih berlangsung.

Dalam acara berasingan, Tengku Adnan meluangkan masa merasmikan pertandingan memasak jentera pilihan raya anjuran Puteri Umno kawasan Putrajaya, yang antara lain bertujuan mengeratkan dan mengukuhkan kerjasama sesama anggota ke arah persediaan menghadapi pilihan raya. – Bernama

Read more http://www.kualalumpurpost.net/pembangkang-kepanasan-dengan-bajet-untuk-rakyat-ku-nan/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-