KUALA LUMPUR: Nasib ketiga-tiga parti Melayu dalam Pakatan Harapan untuk menguasai gabungan itu tidak akan tercapai kerana DAP tidak akan mengizinkan cita-cita mereka itu kesampaian.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sikap DAP sejak dahulu sudah diketahui mahu memonopoli pakatan itu atas prinsip mereka mempunyai paling banyak kerusi di Parlimen walaupun mereka menafikan perkara itu.
Beliau menjelaskan, berdasarkan pengalaman Pas bersama DAP dalam Pakatan Rakyat dahulu, bukan mudah untuk menyelesaikan isu-isu yang bertelagah apatah lagi untuk mencapai satu keputusan sepakat.
“Pas menjangkakan kemelut yang berlaku dalam Pakatan Harapan akan berpanjangan sebab bukan sahaja isu siapa nak jadi Perdana Menteri atau siapa yang akan menerajui pakatan, tetapi lebih besar daripada itu iaitu apabila tiba soal pengagihan kerusi dan pematuhan kepada keputusan nanti.
“Perkara-perkara itu akan timbul polemik kerana pengalaman Pas berada dalam Pakatan Rakyat dahulu bukan mudah nak selesaikan isu-isu sebegini. DAP ternyata dari dahulu mahu berkuasa walaupun cuba menutup niat sebenar mereka itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, DAP menegaskan menolak keghairahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk memonopoli kepemimpinan tertinggi dalam Pakatan Harapan.
Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng berkata, hasrat PPBM mahu mendominasi jawatan Pengerusi dan Presiden dilihat sebagai tidak wajar tambahan pula parti itu baharu sahaja menganggotai Pakatan Harapan.
Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata, rakyat boleh melihat sikap DAP yang cuba mengelirukan orang Melayu dengan meletakkan calon Melayu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang walaupun pada hakikatnya calon itu sebenarnya mewakili DAP.
Kata beliau, nasib parti-parti Melayu dalam Pakatan Harapan masih kabur dan hanya bergantung kepada satu keputusan selepas PRU dan sejauh mana mereka boleh meyakinkan DAP untuk berkuasa.
“Namun, kalau mereka tidak kuat, DAP tentunya akan menguasai. Rakyat boleh menilai tentang situasi yang berlaku sekarang bagaimana nasib PKR, PPBM dan PAN dalam Pakatan Harapan,” katanya.
Sebelum ini PPBM yang hanya berusia tidak sampai setahun telah menamakan Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memegang jawatan Pengerusi dan Presiden Pakatan Harapan.
PPBM turut mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Pakatan Harapan manakala Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Pengerusi; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Timbalan Presiden Pakatan Harapan) selain Guan Eng dan Presiden PAN, Mohamad Sabu masing-masing sebagai Naib Presiden.
- Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.