Friday, August 25, 2017

Dr Mahathir rasmi PH Kelantan dalam 'lumpur'

Faiz Zainudin and Yusof Mohamad
August 25, 2017

Majlis perasmian yang dihadiri lebih 1,000 penyokong gabungan pembangkang itu bergema dengan laungan 'Hidup Tun' sebaik sahaja bekas perdana menteri itu tiba bersama isterinya.
MACHANG: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad menjejakkan kaki ke Kelantan yang merupakan kubu PAS, bagi melancarkan penubuhan gabungan pembangkang itu hari ini.

Walaupun keadaan berlumpur di lokasi perasmian susulan hujan lebat sebelum majlis bermula, ia tidak menghalang bekas perdana menteri itu memenuhi jemputan sebagai tetamu khas acara itu.
Lebih 1,000 penyokong PH menghadiri majlis perasmian itu yang bergema dengan laungan “Hidup Tun” sebaik sahaja bekas perdana menteri berusia 92 tahun itu tiba bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali.
Dr Mahathir dalam ucapan perasmiannya mengulangi seruan untuk rakyat menolak Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak pada pilihan raya umum ke-14.

“Kita tidak setuju kerajaan zalim ini, kerajaan diktator menindas rakyat,” kata Dr Mahathir yang mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.
Turut hadir ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden PH yang juga Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa; Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin; Naib Presiden PH, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Pemuda PPBM, Syed Sadiq Syed Abdul Rahman; Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir; Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah dan ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim.
Julai lalu, PH selesai mengemukakan permohonan pendaftarannya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) secara atas talian, di mana ia turut mengemukakan barisan kepimpinan, logo dan perlembagaannya.

PH juga membentuk barisan tertinggi di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai ketua umum, Dr Mahathir sebagai pengerusi, manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku presiden gabungan pembangkang.

PH yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan PPBM itu merancang bertanding di bawah simbol sama pada PRU14.

PH sehingga kini belum memuktamadkan logo rasmi mereka, apabila JPMM pada 28 Julai lalu mengarahkan gabungan itu membuat sedikit perubahan pada logo yang dicadangkan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-