Wednesday, August 16, 2017

Penahanan Isa Samad bukan wayang BN, kata Shahidan

Adam Abu Bakar
August 16, 2017

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim mencabar mereka yang mendakwa penahanan Isa Samad adalah wayang BN supaya membuktikannya.
PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri menepis dakwaan kononnya penahanan Tan Sri Isa Samad ialah wayang dirancang Barisan Nasional (BN).

Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tuduhan itu tidak adil dan penahanan bekas pengerusi Felda itu tidak seharusnya dikaitkan dengan BN kerana ia dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya hendak beritahu semua pihak dan rakyat Malaysia, untuk lakukan sesuatu kena ada pengarahnya.

“Tidak mungkin setiap perkara berlaku adalah arahan kerajaan. Siapa yang hendak lakukan kerja seperti itu? Kami pun tidak larat, banyak lagi kerja kita untuk membina dan membantu rakyat.

“Kalau ada bukti yang kononnya penahanan Isa ini adalah wayang dari BN, sila buktikan,” katanya kepada wartawan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Semalam, Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan, Roslan Md Isa menggesa kerajaan tidak menjadikan penahanan Isa sebagai wayang politik untuk mengaburi mata rakyat menjelang pilihan raya.

“Kita tidak mahu ada tangan-tangan ghaib yang mengawal daripada belakang. Sebab trendnya memang sebelum ini dekat pilihan raya memang ada tangkapan dibuat tetapi selepas pilihan raya kes itu dilupakan sahaja,” katanya semalam.

Isa direman 5 hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung pembelian 2 hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) antara 2014 dan 2015.

Isa yang dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) selepas ditamatkan jawatannya di Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 2.40 petang semalam.

Bulan lepas, SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel 4 bintang di Kensington, London, pada harga £60 juta (RM330 juta), pada 16 Disember 2014, dan sebuah lagi hotel di Kuching, pada harga lebih tinggi daripada pasaran sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

Susulan penahanan itu, rumah Isa di Selangor turut diserbu semalam.

Mengulas lanjut, Shahidan mendakwa parti pembangkang yang bermain wayang.

“DAP memenangi kerusi (paling banyak) untuk pembangkang. Sepatutnya DAP dilantik ketua dalam gabungan pembangkang, tetapi tidak dilantik pula, jadi sudah tentu ia adalah wayang.

“DAP perlu tunjukkan kepada rakyat mereka parti yang berkuasa dalam pembangkang. DAP perlu isytiharkan perkara ini, sama seperti BN yang diketuai dan dikuasai Umno.

“Tetapi, sebaliknya berlaku. Mereka melantik parti yang lemah untuk ketuai pembangkang, sudah tentu mereka dipimpin pemimpin yang lemah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-