Showing posts with label Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV). Show all posts
Showing posts with label Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV). Show all posts

Tuesday, December 5, 2017

Wan Azizah, 2 lagi diarah bayar RM2j pada Felda

Hafiz Yatim

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bekas timbalan presiden Dr Syed Husin Ali dan penulis artikel Rusnizam Mahat membayar Felda dan Felda Global Ventures (FGV) RM2 juta berhubung laporan yang memfitnah yang diterbitkan dalam akhbar Suara Keadilan.

Saman itu berhubung dua artikel pada 2010 bertajuk “Felda Bankrap” dan “Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu”.

Hakim Su Geok Yiam berkata jumlah permulaan RM70,000 ditetapkan timbalan pendaftar terlalu rendah.

Hakim Su turut berkata dakwaan artikel berkenaan menjejaskan harga saham FGV.

"Saya setuju dengan cadangan peguam Felda.. mempertimbangkan kesan penerbitan artikel fitnah yang mendakwa Felda bankrap.

"Ia (saman permulaan RM70,000) tidak akan menyampaikan mesej yang tepat berkenaan fitnah.

“Dengan ini saya mengenepikan keputusan timbalan pendaftar dan meluluskan kerosakan umum RM2 juta," katanya.

Saman fitnah RM2 juta itu merupakan antara yang paling tinggi pernah diberikan.

Hakim turut mengarahkan Wan Azizah dan defendan lain membayar RM25,000 kos kepada plaintif.

Peguam Mohd Hafarizam Harun dan Nuremilia Mohd Iszeham mewakili Felda dan FGV sementara defendan diwakili peguam Francies Pereira.

Francis, ketika ditemui berkata, beliau akan menunggu arahan sama ada akan membuat rayuan.

Felda dan FGV sebelum ini memfailkan saman RM200 juta pada Ogos 2010 terhadap defendan mendakwa artikel berkenaan menjejaskan imej mereka dan defendan menerbitkan artikel berkenaan dengan niat merosakkan kepercayaan penduduk Felda terhadap agensi itu.

Dilaporkan sebelum ini, tiga tahun lalu Felda dan FGV memenengi kes itu di Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu dipersetujui Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sebelum dirujuk kepada Mahkamah Tinggi bagi penilaian kerosakan.

[Berita lanjut menyusul]
Read more at https://www.malaysiakini.com/news/404421#IvV9Cgp65WRuTyqC.99

Wednesday, August 16, 2017

Penahanan Isa Samad bukan wayang BN, kata Shahidan

Adam Abu Bakar
August 16, 2017

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim mencabar mereka yang mendakwa penahanan Isa Samad adalah wayang BN supaya membuktikannya.
PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri menepis dakwaan kononnya penahanan Tan Sri Isa Samad ialah wayang dirancang Barisan Nasional (BN).

Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tuduhan itu tidak adil dan penahanan bekas pengerusi Felda itu tidak seharusnya dikaitkan dengan BN kerana ia dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya hendak beritahu semua pihak dan rakyat Malaysia, untuk lakukan sesuatu kena ada pengarahnya.

“Tidak mungkin setiap perkara berlaku adalah arahan kerajaan. Siapa yang hendak lakukan kerja seperti itu? Kami pun tidak larat, banyak lagi kerja kita untuk membina dan membantu rakyat.

“Kalau ada bukti yang kononnya penahanan Isa ini adalah wayang dari BN, sila buktikan,” katanya kepada wartawan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Semalam, Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan, Roslan Md Isa menggesa kerajaan tidak menjadikan penahanan Isa sebagai wayang politik untuk mengaburi mata rakyat menjelang pilihan raya.

“Kita tidak mahu ada tangan-tangan ghaib yang mengawal daripada belakang. Sebab trendnya memang sebelum ini dekat pilihan raya memang ada tangkapan dibuat tetapi selepas pilihan raya kes itu dilupakan sahaja,” katanya semalam.

Isa direman 5 hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung pembelian 2 hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) antara 2014 dan 2015.

Isa yang dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) selepas ditamatkan jawatannya di Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 2.40 petang semalam.

Bulan lepas, SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel 4 bintang di Kensington, London, pada harga £60 juta (RM330 juta), pada 16 Disember 2014, dan sebuah lagi hotel di Kuching, pada harga lebih tinggi daripada pasaran sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

Susulan penahanan itu, rumah Isa di Selangor turut diserbu semalam.

Mengulas lanjut, Shahidan mendakwa parti pembangkang yang bermain wayang.

“DAP memenangi kerusi (paling banyak) untuk pembangkang. Sepatutnya DAP dilantik ketua dalam gabungan pembangkang, tetapi tidak dilantik pula, jadi sudah tentu ia adalah wayang.

“DAP perlu tunjukkan kepada rakyat mereka parti yang berkuasa dalam pembangkang. DAP perlu isytiharkan perkara ini, sama seperti BN yang diketuai dan dikuasai Umno.

“Tetapi, sebaliknya berlaku. Mereka melantik parti yang lemah untuk ketuai pembangkang, sudah tentu mereka dipimpin pemimpin yang lemah,” katanya.

Tuesday, August 15, 2017

Giliran Isa ditahan SPRM

Bekas menteri besar Negeri Sembilan dan pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) , Tan Sri Isa Abdul Samad, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebentar tadi.

Menurut sumber, penahanan Isa ada kaitan dengan siasatan agensi antirasuah itu terhadap pembelian dua hotel oleh syarikat Felda Investment Corporation (FIC).

Menurut sumber, Isa hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM di ibu pejabat agensi terbabit di Putrajaya kira-kira jam 2.40 petang tadi.

Beliau kemudian ditahan kira-kira satu setengah jam kemudian.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, mengesahkan penahanan Isa.

Katanya tindakan menahan bekas naib presiden Umno itu adalah tindakan susulan penyiasat SPRM yang memperoleh keterangan-keterangan daripada pelbagai pihak sebelum ini.

"Justeru, SPRM yakin mempunyai asas kukuh untuk membuat penahanan tersebut supaya beliau dapat membantu melengkapkan siasatan kes berkenaan," tambah beliau.
Isu pembelian hotel oleh FIC bukan sesuatu yang baru. Kira-kira empat tahun lalu Isa - yang kini dilantik menjadi pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) - mempertahankan tindakan tersebut.

Kata Isa pembelian hotel di London itu tidak bertentangan dengan perniagaan teras syarikat perladangan terbabit.

FIC yang juga anak syarikat Felda membeli Grand Plaza Service Apartments bernilai £115 juta (RM586.5juta) itu selepas pernah melabur dalam lapan hotel sebelum itu.

"Hotel ini bukan satu perkara luar biasa, pembangkang tak berapa faham, sebelum ini kita dah beli lapan hotel," katanya pada Oktober 2013.

Harga lebih tinggi

Pada 27 Mei 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low memberitahu siasatan awal SPRM tidak menemui apa-apa asas kesalahanberhubung dakwaan penyelewengan pembayaran RM538 juta oleh FIC untuk membeli sebuah hotel mewah di London.

Low ketika itu menjawab soalan Anggota Parlimen Seremban Anthony Loke, di Dewan Rakyat, yang bertanya mengenai status siasatan pembelian hotel mewah Grand Plaza Kensington di London.

Bagaimanapun pada 14 Julai lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad mengarahkan kertas siasatan pembelian hotel itu dibuka semula ekoran ada maklumat baru mengenainya.

Kata Dzulkifli pasukan penyiasat juga mengambil dokumen berkaitan pembelian hotel tersebut dan menilai serta meneliti kesemua maklumat diperolehi.

“Menerusi maklumat siasatan awal, FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit," katanya.

Perkembangan itu menyaksikan SPRM menyerbu pejabat FIC, mengambil pelbagai dokumen dan melakukan penangkapan.

Antara yang ditahan ialah pegawai khas Isa yang juga pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Mohd Zahid Md Arip, peguam dan wanita pembantu di sebuah firma perundangan.

Untuk rekod Isa, 67, adalah veteran dalam Umno yang pernah berkhidmat sebagai menteri besar Negeri Sembilan antara April 1982 hingga Mac 2004.

Beliau juga pernah digantung keahliannya dalam parti kerana disabitkan kesalahan "politik wang".

Petang tadi Isa tiba di Ibu Pejabat SPRM ditemani dua peguam, namun mereka dikatakan tidak memasuki pejabat terbabit.


Read more at https://www.malaysiakini.com/news/392016#41F6Z42hJzwh2Rgg.99

Tuesday, June 20, 2017

SPRM panggil Isa Samad, isteri beri keterangan esok

Mohd Isa Abdul Samad

PUTRAJAYA -
Bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) Tan Sri Isa Samad dan isterinya dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok dipercayai bagi membantu siasatan terhadap FGV.

Menurut sumber suruhanjaya itu, mereka dijangka hadir di ibu pejabat SPRM di sini pada jam 10 pagi.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Isa bersetuju melepaskan jawatan sebagai Pengerusi FGV dengan rela hati dan melantik Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi FGV baharu berkuat kuasa serta-merta.

Kemelut FGV mendapat perhatian apabila Isa dan Lembaga Pengarahnya mengarahkan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad serta tiga pegawai pengurusan kanan FGV bercuti bermula 6 Jun lalu.

Tiga pegawai kanan itu ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Susulan kemelut itu, kerajaan melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak berkecuali untuk meneliti isu dalaman FGV berkenaan.

 - Bernama

Monday, June 19, 2017

Shahrir beri bayangan pimpinan FGV bakal berubah

FMT Reporters

Bagaimanapun, pengerusi Felda itu enggan menyatakan secara langsung apabila ditanya sama ada beliau maksudkan Tan Sri Isa Samad yang merupakan ketuanya.
PETALING JAYA: Tan Sri Shahrir Samad berkata, Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang berhadapan dengan pergeseran di peringkat tertinggi syarikat itu perlu melalui perubahan kepimpinan termasuk pengerusinya.

Bagaimanapun, pengerusi Felda itu enggan menyatakan secara langsung apabila ditanya sama ada beliau maksudkan Tan Sri Isa Samad yang merupakan ketuanya.

Sebaliknya beliau yang dipetik Star Online hanya memberitahu: “Tunggu pengumuman penting daripada pemegang saham khas mengenai perkara ini.”

Pemegang saham khas yang dimaksudkan itu adalah kerajaan, di mana ekuitinya dipegang melalui Kementerian Kewangan. Justeru, pemegang saham khas boleh melantik pengerusi, ketua pegawai eksekutif dan pengarah FGV.

Sehubungan itu, Shahrir yang menerajui Felda sejak tahun lalu berharap wakil agensi tersebut akan dilantik menganggotai FGV.

“Kami juga berharap wakil Felda kami akan dilantik ke dalam FGV seperti mana pernah berlaku pada masa lalu,” kata beliau kepada pemberita di Johor Bahru.

Minggu lalu, Shahrir berkata, tindakan drastik perlu dilakukan untuk memastikan syarikat tersebut kembali stabil dan langkah terbaik adalah untuk menempatkan wakil Felda dalam Lembaga Pengarah FGV.

Katanya, Felda mampu menyelesaikan kemelut yang sedang melanda FGV, sekali gus membantu mengembalikan keyakinan masyarakat dan pelabur terhadap syarikat itu.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki Felda dalam industri berkenaan.

FGV, syarikat berkaitan kerajaan yang disenaraikan di Bursa Malaysia, kini dilihat berhadapan dengan isu kepimpinan dan pengurusan serius.

Lembaga Pengarah FGV mengarahkan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad bercuti mulai 6 Jun lalu. Zakaria yang sebelum itu enggan meletakkan jawatan dilaporkan berhadapan dengan krisis pengurusan.

Badan itu mengeluarkan arahan kepada Zakaria untuk melepaskan 2 jawatan dipegangnya susulan siasatan tunggakan bayaran Safitex kepada Delima Oil Products.

Selain Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha turut dilaporkan dipaksa bercuti serta-merta berhubung siasatan tunggakan bayaran Safitex.

Star Online juga melaporkan, Shahrir berpandangan memandangkan FGV berada dalam kedudukan kukuh, harga sahamnya semasa sepatutnya bernilai antara RM2.50 dan RM2.60.

Ditanya mengenai cadangan menjadikan FGV sebagai syarikat persendirian, beliau berkata, ia masih di peringkat awal dan beliau juga tidak fikir ia adalah perlu di persimpangan buat masa sekarang.

Wednesday, June 14, 2017

Generasi ke-2 dakwa Isa bebanan FGV, tuntutnya berundur

Zulaikha Zulkifli
Sekumpulan generasi kedua Felda hari ini berkumpul dan menuntut peletakkan jawatan Pengerusi Felda Global Venture Holdings Bhd (FGV) Tan Sri Isa Samad.

Pada sidang media yang dihadiri oleh lebih 20 orang generasi kedua Felda, mereka turut mencadangkan agar jawatan pengerusi FGV diserahkan kepada Tan Sri Shahrir Samad.

Ini kerana, menurut seorang wakil generasi kedua Felda, Hamaruddin Abdul Aziz, 47, Shahrir yang kini adalah pengerusi Felda dilihat dapat menjaga kepentingan peneroka terutamanya melibatkan saham FGV.

"Tan Sri Isa Samad merupakan bebanan kepada FGV.

"Kami juga menggesa Tan Sri Shahrir Samad dilantik sebagai pengerusi FGV bagi menggantikan Isa Samad.

"Ini bagi memastikan kepentingan peneroka, ibu bapa kami sebagai pemegang dan dapat kembalikan keyakinan pelabur.

"Kami percaya Tan Sri Shahrir dapat urus Felda dan FGV dengan amanah," katanya pada sidang media yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara.

Kumpulan yang hadir pada sidang media hari ini rata-ratanya daripada Felda Gedangsa, Felda Soeharto di Selangor serta Felda Gugusan Palong 1, Negeri Sembilan. Mereka mendakwa mewakili suara generasi kedua di seluruh negara.

Selain itu, Hamaruddin juga berkata, beliau turut merancang untuk menghantar memorandum kepada Shahrir bagi menyatakan hasrat mereka yang mahukan anggota parlimen Johor Bahru itu menggantikan tempat Isa.

"Kita bercadang untuk hantar memorandum untuk nyatakan hasrat generasi kedua Felda. Kita akan jumpa ketua generasi kedua di setiap rancangan Felda dan akan jumpa Tan Sri Shahrir," katanya.

Kemelut dalam FGV berlaku apabila lembaga pengarah mengarahkan empat pegawai kanannya bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan siasatan audit dalaman melibatkan tunggakan bayaran Safitex kepada Delima Oil Products yang juga anak syarikat FGV.

Antara yang diarahkan bercuti ialah Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad.

Susulan itu, Zakaria kemudian bertemu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya bagi memberi keterangan.

Hasil keterangan Zakaria dan rampasan dokumen di ibu pejabat FGV, SPRM akan menyoal-siasat lebih 50 individu termasuk Isa bagi membantu siasatan ke atas FGV.

Sunday, June 11, 2017

Insentif 'terpilih' Felda: ANAK anggap suatu penderaan

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK), Mazlan Aliman menyifatkan tindakan memberi insentif kepada hanya sebahagian daripada peneroka oleh kerajaan sebagai satu penderaan ke atas warga Felda.

"ANAK dukacita dengan pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) di Felda Sungai Sayong semalam hanya 94,555 dari 112,635 peneroka sahaja yang mendapat insentif hari raya dan dividen FGV berjumlah RM780 setiap seorang.

"Ia merupakan tahun keempat berturut turut sejak 2014, peneroka Felda yang menguruskan kebunnya secara persendirian dan mengambil tindakan saman terhadap Felda dinafikan hak mereka.

"Langkah berterusan kerajaan dan Felda ini semata-mata dendam dan bersifat menghukum mana-mana peneroka yang berdikari atas kebun mereka sendiri bagi mempastikan pendapatan lebih baik dan mengelak bebanan hutang yang bertimbun akibat pengurusan tidak cekap Felda," katanya dalam kenyataan.

Semalam, Najib mengumumkan setiap peneroka Felda di seluruh negara akan menerima duit raya berjumlah RM780 setiap seorang dengan Felda memperuntukkan RM47.28 juta bagi pengagihan duit raya manakala Felda Global Ventures (FGV) memberi dividen RM26.4 juta.

Bagaimanapun, kata Najib, peneroka yang tidak lagi bersama Felda, melakukan urus niaga tanpa kebenaran Felda dan menyaman agensi berkenaan tidak layak menerima insentif tersebut.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, adalah menyedihkan kerana meskipun sebahagian besar mereka masih menjual hasil di kilang milik Felda, peneroka yang menyahut seruan kerajaan dan Felda agar berdikari didera sedemikian rupa.

"Seperti yang selalu ANAK tegaskan, adalah hak peneroka menggunakan saluran perundangan apabila timbul pertikaian mengenai masalah yang dihadapi kedua belah pihak.

"Peneroka tiada pilihan lain disebabkan sikap berat sebelah Felda jika berlaku masalah seperti isu kadar perahan gred dan pengurusan ladang. Seharusnya kita menghormati pilihan peneroka kerana ia jaminan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Proses Timbang Tara yang ada dalam perjanjian antara Peneroka dengan Felda selalunya berakhir dengan ketidak adilan buat peneroka," jelas beliau lagi.

Dalam masa yang sama, Mazlan turut berkata, pelantikan Tan Sri Shahrir Samad sebagai pengerusi Felda nampaknya tidak membawa keputusan seperti yang diharapkan.

"Shahrir yang diharap membawa berita gembira buat seluruh peneroka felda tidak kira bersama Felda atau tidak nampaknya tidak kesampaian," katanya lagi.

- MalaysiaKini

Peneroka Felda dapat duit raya, kecuali......

Berita baik - dan buruk - buat peneroka Felda dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kulai, Johor hari ini.

Menjelang hari raya beliau mengumumkan Felda memperuntukkan insentif sebanyak RM47.2 juta untuk diagih-agihkan kepada setiap keluarga peneroka dengan kadar RM500 seorang.

Ditambah dengan dividen syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) berjumlah RM26.4 juta - atau RM280 setiap peneroka - mereka boleh berhari raya dengan tambahan belanja sebanyak RM730.

Namun tidak semua peneroka bakal menikmati insentif berkenaan.

"(Pihak) yang tidak berurusan dengan Felda, yang menyaman Felda - minta maaflah, (mereka) tak termasuk dalam senarai," katanya semasa berucap di Felda Sungai Sayong di Kulai, Johor hari ini.

Untuk rekod, kawasan tanah rancangan Felda sejak sekian lama menjadi kubu kuat BN dalam setiap pilihan raya dan memang sukar ditembusi pembangkang.
Bagaimanapun kemunculan pertubuhan serpihan Umno - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) - memungkinkan dominasi BN itu boleh dilemahkan.

Malahan analisis mencadangkan ada beberapa tokoh utama BN - termasuk berstatus menteri - terancam kedudukan mereka jika peneroka berubah selera pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

BERSATU kini menjadi sebahagian daripada komponen Pakatan Rakyat yang sedang giat membuat persediaan menghadapi PRU ke-14 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Kata Najib, untuk kakitangan Felda kerajaan juga tidak melupakan mereka.

Buat mereka, perdana menteri mengumumkan insentif khas bernilai antara lima hingga 30 peratus daripada gaji pokok kakitangan terbabit.

Pemberian itu, katanya, adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap petugas di barisan hadapan agensi berkenaan.

Tidak ketinggalan, Najib mengumumkan sumbangan penghargaan bernilai RM500 kepada imam masjid, RM400 untuk pengerusi masjid, RM300 untuk bilal dan RM200 untuk siak.

Pemberian itu, katanya, membabitkan peruntukan berjumlah RM674,400.

Pada majlis sama Najib turut menyentuh mengenai kemelut melanda FGV ketika ini.

Saturday, June 10, 2017

Adakah krisis FGV satu perang proksi?

Alyaa Azhar & Zulaikha Zulkifli
Kemelut antara pegawai tertinggi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Isa Samad dan Datuk Zakaria Arshad menimbulkan persoalan sama ada 'perang' antara pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) itu mungkin merupakan satu 'perang proksi'.

Zakaria pada Selasa lalu diarahkan bercuti oleh lembaga pengarah syarikat bagi membolehkan siasatan berhubung tunggakan bayaran daripada syarikat Safitex untuk produk Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.

Bagaimanapun, Zakaria dilaporkan enggan berundur sebaliknya mempertahankan dirinya dengan mendakwa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

Ekoran itu juga, Zakaria kemudian mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengemukakan dokumen bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengenai salah urus dalam FGV.

Keberanian Zakaria dalam memperjuangkan isu ini serta kesediaannya bercakap kepada media tentang kemelut berkenaan menimbulkan persoalan kemungkinan beliau mendapat sokongan daripada pihak tertentu.

Persoalan yang paling utama, siapa dibelakang Zakaria? Bagaimana pula dengan Isa? adakah beliau kini bergerak sendirian atau sebaliknya?

Sehubungan itu, Malaysiakini telah mendapatkan komen daripada beberapa individu yang mengikuti perkembangan Felda serta kemelut FGV ini.

Seorang sumber yang tidak mahu namanya disebut merasakan bahawa krisis antara Zakaria dan Isa merupakan 'pergaduhan' dalaman yang turut melibatkan penasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, sumber berkenaan belum bersedia untuk mendedahkan perkara ini lebih lanjut.

"Ini pergaduhan dalaman (melibatkan) kem penasihat-penasihat Najib. Zakaria, CEO itu sebelah penasihat Najib dan sekarang sedang melawan geng-geng ahli politik macam Isa.

"Sebab itu Zakaria berani semacam," kata sumber berkenaan.
Bagaimanapun, bagi Ketua Strategi Biro dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, beliau percaya Zakaria merupakan seorang lelaki yang berintegriti.

Ini kerana, menurut Rais, tindakan Zakaria menyerahkan dokumen kepada SPRM merupakan satu tindakan berbeza sekiranya ia melibatkan ahli korporat lain.

"Pujian harus diberikan kepada Zakaria. Dia tak pergi (SPRM) secara senyap-senyap seperti anggota korporat yang lain kerana dia tahu apa yang berlaku. Bila dia ke SPRM dan menyerahkan dokumen-dokumen itu, dia tahu apa yang dia lakukan," kata Rais.

'Mangsa ketiga'

Menurut Rais lagi, Zakaria bukan seorang CEO yang dilantik atas lantikan politik, sebaliknya beliau tahu 'luar dan dalam' Felda memandangkan beliau merupakan anak peneroka.

"Beliau dah lihat segalanya yang berlaku dalam beberapa tahun yang lalu. Dia tidak mahu menjadi orang yang akan dipersalahkan atas kesalahan yang bukan dibuat olehnya," katanya lagi.

Mengulas mengenai isu kelewatan pembayaran Safitex kepada Delima Oil Products - sebab utama yang menjadi punca penggantungan Zakaria - Rais percaya Isa mungkin cuba mencari alasan untuk 'menyingkirkan' Zakaria.
Bagi Presiden Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman pula berkata, Zakaria merupakan 'mangsa' ketiga Isa dalam FGV.

Menurut Mazlan, sebelum ini, penyandang CEO FGV, Datuk Zulkifli Abdul Wahab pernah mengalami nasib sama apabila tidak bersependapat dengan Isa.

Malah, pengganti Zulkifli, Datuk Faizoull Ahmad turut 'disejuk bekukan' oleh Isa.

"Sebenarnya Zakaria adalah mangsa ketiga yang terlibat dengan penyingkiran. Sebelum penyenaraian FGV, pengarah FGV masa itu Datuk Zulkifli Wahab. Bila dia ada pandangan berbeza dengan Isa, maka Datuk Zulkifli di singkirkan dengan dihantar ke luar negara sampai pencen.

"Selepas itu Datuk Faizoull, dia juga menjadi mangsa," dakwa Mazlan.

'Zakaria Gentleman'

Justeru, Mazlan berpendapat, Zakaria tidak mewakili sesiapa dan berkata, Zakaria kini bergerak sendirian memandangkan beliau seorang yang berpengalaman dalam Felda.

"Mungkin dia di pihak yang benar kerana dia mempunyai integriti. Saya tahu, Isa mempunyai sikap iaitu bila dia tak suka seseorang, dia akan kerjakan (orang berkenaan). Ini telah berlaku pada Datuk Zulkifli dulu.

"Mungkin Zakaria berada di pihak yang benar jadi dia bersedia ke depan. Bagi saya, dia gentleman. Saya salute dia dan harap beliau dapat bertahan atas kebenaran," katanya lagi.

Bagi bekas menteri, Tan Sri Zainuddin Maidin, beliau mempunyai pendapatnya yang tersendiri berhubung kemelut FGV ketika ini.

Bekas menteri penerangan itu menyelar cara Zakaria digantung kerana menurutnya, siasatan terhadap Zakaria sepatutnya dijalankan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

"Bila menggantung Zakaria dan letakkan dia bersalah di mata orang awam, sebab itu dia terus 'melompat'. Cara mereka bertindak tak betul, letakkan Zakaria dan rakannya sebagai pesalah. Sebab itu dengan segera dia ingin bersihkan namanya.

"(Sepatutnya) siasat dulu, siasat betul-betul. Nak suruh letak jawatan, kemudianlah," kata Zainuddin.

Krisis profesional dan ahli politik

Zainuddin turut percaya, kemelut yang berlaku ketika ini adalah krisis antara pihak 'profesional dan ahli politik'.

"Seperti biasa, ahli politik yang akan menang. Ahli politik dari kerajaan akan sentiasa menang," ujar Zainuddin.

Bagaimanapun, Zainuddin turut berpendapat bahawa isu melibatkan pegawai tertinggi FGV ini juga merupakan perang proksi memandangkan kedua-duanya - Shahrir dan Isa merupakan 'orang' Najib.

'Zakaria sokong Shahrir yang mahukan tiga wakil Felda duduk dalam lembaga pengarah FGV. Jadi siapa yang Shahrir wakili dan bagaimana pula dengan Isa?

"Tidak boleh dinafikan kewujudan Isa dalam FGV kerana politik kerana beliau rakan Najib. Saya percaya Najib kini dalam dilema," katanya lagi.

"Zakaria menyokong Shahrir mahukan tiga wakil daripada Felda untuk duduk dalam lembaga FGV pengarah. Jadi siapa yang Shahrir mewakili dan bagaimana pula dengan Isa?," katanya lagi.

Kenapa Idris Jala?

Sementara itu, pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai orang tengah untuk menyelesaikan isu berkenaan turut menjadi persoalan apabila Mazlan dan Rais berpendapat, terdapat individu lain yang lebih layak bagi mengurus kemelut tersebut.

"Saya pelik kenapa timbul nama Idris Jala. Sepatutnya bekas pengerusi Felda Raja (Muhammad) Alias (Raja Muhammad Ali), bekas pengerusi Felda yang penuh pengalaman dan meninggalkan Felda dengan perkhidmatan yang cemerlang," kata Mazlan.

Rais turut mempersoalkan pelantikan Idris dengan mendakwa, bekas menteri itu tidak mewakili badan bebas.

"Idris telah menjadi penyokong setia Najib. Sekarang, dua pihak bergaduh dan orang ini (Idris) di bawa masuk untuk dilihat, bagaimana dia boleh bersikap sederhana dan mencari jalan menyelesaikan isu ini dengan cara yang minimum.

"Saya tidak tahu bagaimana lantikan (Idris) ini akan membantu. Siapa tahu, mungkin mereka mahu Idris pula mengambil alih Felda," kata Rais.

SPRM akan panggil pengurusan, pengerusi FGV

Bernama
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa saksi termasuk pengurusan tertinggi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) berhubung siasatan terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata semua saksi termasuk pengerusi FGV akan dipanggil dalam masa terdekat untuk direkodkan keterangan mereka bagi membantu siasatan.

"Semalam SPRM telah mengambil dokumen-dokumen yang diperlukan dari pejabat FGV dan sekarang pegawai saya tengah teliti serta mengkaji (dokumen) dan melihat kepentingan untuk memanggil saksi untuk direkodkan keterangan.

"Saksi itu tidak kira sesiapa sahaja termasuk di peringkat kepimpinan serta pengerusi FGV tertakluk kepada dapatan daripada kajian dokumen yang pegawai saya sedang teliti serta fakta kes," katanya kepada pemberita pada Program Ihya Ramadan SPRM di Masjid Al Jamiul Badawi, Kepala Batas hari ini.

Beliau berkata siasatan kes akan diselesai secepat mungkin namun akan mengambil sedikit masa sekiranya dokumen serta siasatan melibatkan pihak di luar negara.

Dzulkifli berkata pihaknya juga menerima beberapa laporan berhubung siasatan FGV itu, namun enggan mendedahkan sama ada laporan berkenaan dibuat membabitkan salah guna kuasa atau rasuah.

"Saya tidak boleh maklumkan siasatan kes itu menjurus kepada rasuah atau penyelewengan kuasa kerana ia sedang disiasat dan cuma saya boleh pastikan siasatan tersebut akan dibuat secara terperinci, profesional serta telus," katanya.

Semalam sepasukan pegawai dan anggota SPRM mengambil masa selama lapan jam bagi menyelesaikan urusan pengambilan dokumen di pejabat Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad di Tingkat 45 Menara Felda di Kuala Lumpur.

Zakaria tampil di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya semalam dengan berbekalkan beberapa dokumen berhubung FGV dan beliau dilapor memberi keterangan kepada suruhanjaya itu antaranya mengenai isu tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada anak syarikat FGV iaitu Delima Oil Products.

Selasa lepas Zakaria dan tiga lagi pegawai pengurusan kanan FGV dan anak syarikatnya diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta.

Tiga pegawai kanan itu ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

- Bernama

Thursday, June 8, 2017

SPRM punggah barang rampasan dari FGV

Anne Muhammad


Selepas serbuan kira-kira lapan jam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beredar dengan empat kotak, beberapa bungkusan dan tiga beg tarik daripada pejabat Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Barang rampasan itu diambil selepas kumpulan besar penguat kuasa, difahamkan 40 orang, menggeledah pejabat ketua pegawai eksekutif Kumpulan (CEO) FGV Datuk Zakaria Arshad di tingkat 45 Menara Felda di ibu negara.

Tiada kenyataan rasmi daripada SPRM atau FGV dikeluarkan kepada media setakat ini.

SPRM tiba ke Menara Felda kira-kira jam 10 pagi dan selesai mengambil dokumen itu pada jam 6 petang.

Hadir sama dalam kunjungan itu adalah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala selama satu jam yang ditugaskan mencari penyelesaian untuk kemelut kepimpinan FGV.

SPRM ke Menara Felda

Anne Muhammad

Di tengah-tengah kemelut kepimpinan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkunjung ke ibu pejabat badan komersial Felda itu di Kuala Lumpur.

Kehadiran sekumpulan pegawainya, sekurang-kurangnya 25 orang, di Menara Felda, dipercayai untuk mengambil dokumen berkaitan siasatan terhadap FGV, cabang komersial Felda.

Semalam presiden dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan (CEO) FGV, Datuk Zakaria Arshad bertemu dengan SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan.

Semalam, Zakaria dilaporkan sebagai berkata, beliau mahu SPRM menyiasat keseluruhan operasi syarikat itu bagi menilai sekiranya berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa.

Pengerusi FGV Tan Sri Isa Samad dijangka mengadakan sidang media di tempat itu tidak lama lagi.

Wednesday, June 7, 2017

Pengurusan FGV perlu kekalkan anak peneroka dalam pentadbiran

Oleh Wartawan BO
Oleh : Naraza Muda

Sudah hampir seminggu ribut kecil melanda FGV dan sangat meresahkan rakyat Malaysia terutamanya warga Felda. Hari ini ribut sudah bertukar taufan. Apakah pula penangan Isa Samad kali ini.

Sebelum ini angin krisis ini cuba disembunyikan oleh Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Abdul Samad, hari ini sudah terpapan di dada berita perdana tentang Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad diarahkan bercuti.

Berita Harian telah menyiarkan secara lansung temubual terkini mengenai desakan Pengerusi FGV terhadap Zakaria agar meletakan jawatan. Sehari sebelum itu Datuk Zakaria, seorang anak peneroka dari Negeri Sembilan yang di lantik pada 1 April 2016 cuba mempertahakan tindakanya untuk tidak mengiakan desakan ini.

Sebelum ini pun saya pernah menulis meragui perlantikan ini selagi Tan Sri Isa masih berada di kedudukan Pengerusi Felda. Presiden sebelum ini Datuk Mohd. Emir Mawani juga mengalami nasib yang sama apabila gagal melaksanakan pembelian 37 peratus saham Pt Eagle High Plantation (EHP) kerana akur desakan pemegang saham FGV.

Pengerusi Felda tidak berani waktu itu untuk terus mendesak FGV menjayakan pemilikan ini, lalu beliau sebelum dipecat dari Pengerusi Felda telah berjaya mengarahkan Felda membeli 37 peratus kepentingan anak syarikat Rajawali Group milik rakan Datuk Seri Najib.

Pembatalan beberapa urusniaga dengan Syarikat dari China juga antara tindakan Zakaria yang menyebabkan Tan Sri Isa mengamuk. Ramai bekas kakitangan Felda mengagap Isa gagal memperkudakan Datuk Zakaria dalam beberapa keinginan beliau dijayakan.

Arahan bercuti serta merta ini dikaitkan dengan Zakaria sedang disiasat berhubung tunggakan bayaran daripada syarikat Safitex bagi produk Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.

Namun ini kami anggap sebagai alasan teknikal untuk menghalalkan tindakan Isa Samad terhadap desakan pemecatan Zakaria dari jawatan sekarang.

Dengan apa yang berlaku kepada Felda sejak Isa Samad dilantik menjadi Pengerusi Felda pada tahun 2011 sehingga di pecat awal tahun ini, peneroka Felda perlu menyokong dan berdiri teguh di belakang Zakaria kerana beliau cuba memacu dan membawa FGV ke landasan betul dengan apa yang dialami FGV sejak disenaraikan di BSKL.

Kami semua Warga Felda menyokong Datuk Zakaria untuk terus mengekalkan kedudukannya dan kami MENDESAK ISA SAMAD yang sepatutnya disingkirkan. Kami akan bersolidariti mempertahakan anak Felda.

Monday, April 3, 2017

Peneroka Felda hutang k'jaan hampir RM5b

Para peneroka Felda berhutang dengan kerajaan sejumlah hampir RM5 bilion dalam pelbagai jenis pinjaman, setakat bulan Disember 2015.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, hutang berkenaan termasuk pinjaman membeli saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), dana pembukaan tanah, penanaman semula, pendidikan tinggi, pinjaman pembelian komputer, insentif usahawan serta pembesaran rumah.

Razali tidak memberikan perincian pinjaman tersebut dalam jawapan bertulis Parlimen pada Isnin lepas.

Beliau menjawab soalan Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz (DAP-Raub) mengenai hutang peneroka Felda kepada kerajaan.

Terdahulu, Razali berkata, Felda sebagai satu entiti, mencatatkan kerugian tidak nyata RM1.21 bilion daripada pegangannya dalam FGV.

FGV disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2012, menjana perolehan RM10 bilion dengan disebut-sebut menjadi salah satu daripada tawaran awam permulaan (IPO) terbesar dunia bagi tahun berkenaan, kedua selepas Facebook Inc.

Firma berkenaan membuat kemunculan pertama pada harga RM4.55 sesaham tetapi mengalami trend menurun semenjak itu.

Harga saham FGV mencecah paras terendah RM1.19 sesaham pada bulan Ogos 2015.

Friday, February 17, 2017

Isu politik jadikan saham FGV lebih rendah, kata Isa

KUCHING, 17 Feb — Pencapaian syarikat perladangan sawit terkemuka negara, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), tidak seharusnya dinilai berdasarkan prestasi kewangan semata-mata, malah perlu dilihat dari aspek yang lebih besar seperti penambahbaikkan operasi sedia ada, pelaburan jangka panjang, pengukuhan modal insan dan sumbangan sosial kepada masyarakat.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata jika dilihat secara keseluruhan sejak FGV disenaraikan pada 2012, banyak pencapaian yang telah diraih syarikat berkenaan, termasuk peningkatan bank tanah bukan pajakan, penghasilan pelbagai bahan tanaman bertaraf dunia menerusi kajian dan pembangunan (R&D) dan mewujudkan bahagian perdagangan minyak sawit mentah disokong aset.

Sehingga kini, FGV telah menambah 45 ribu hektar tanah bukan pajakan di Sarawak, Sabah dan Kalimantan, Indonesia.

Selain itu, katanya FGV juga telah mengembangkan operasinya ke luar negara, meningkatkan penghasilan tenaga boleh baharu, pembangunan modal insan dan menambah baik operasi ladang serta kilang.

“FGV kini merupakan pengeluar minyak sawit mentah terbesar dunia, pengendali perkhidmatan penyimpanan pukal bagi minyak boleh dimakan terbesar dunia, pengendali ladang sawit ketiga terbesar dunia, pengeluar gula bertapis terbesar di Malaysia dan banyak lagi kekuatan rantaian perniagaan yang dimiliki,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini.

Mohd Isa berkata dari segi prestasi kewangan, FGV mencatatkan penurunan sejak disenaraikan kerana faktor pergerakan harga minyak mentah dunia, profil umur pokok yang tua, proses tanam semula secara agresif, ketidaktentuan harga minyak mentah dunia dan permintaan bio diesel yang lemah.

Harga gula mentah dunia turut memberi kesan secara tidak langsung kepada FGV menerusi anak syarikatnya, MSM Holdings Bhd, yang mana FGV mempunyai pegangan sebanyak 51 peratus.

“Untuk perkara lain bukan kewangan, FGV telah menampakkan perubahan yang cukup baik.

“Pengukuhan asas ini secara tidak langsung akan membina sebuah syarikat yang lebih mampan pada masa akan datang,” katanya.

Mengenai saham FGV, Mohd Isa berkata harga saham FGV yang ketika ini lebih rendah berbanding ketika penyenaraiannya, dipengaruhi oleh sentimen pasaran yang lemah akibat tindakan sesetengah syarikat mempolitikkan isu-isu berkaitan syarikat.

“Isu-isu politik ini telah menyebabkan harga saham FGV menjadi tidak stabil berbanding syarikat perladangan lain di Malaysia,” katanya.

Katanya FGV juga sering menjadi perhatian sesetengah pihak kerana mempunyai pertalian dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang kedua-dua dahulu dipengerusikannya.

“Persepsi masyarakat masih menganggap FGV sebagai syarikat di bawah Felda, dan sering berlaku salah faham apabila mengaitkan FGV dalam sebarang aktiviti yang dilakukan Felda,” katanya.

Mohd Isa berkata bukan mudah untuk FGV mencapai tahap yang dikecapi sekarang, namun syarikat berkenaan sentiasa menjadi sasaran sesetengah pihak yang berfikiran negatif dan sentiasa mencari kesalahannya untuk digunakan demi kepentingan peribadi.

“Ini sangat tidak adil kepada FGV dan juga kepada pemegang sahamnya,” katanya.

Katanya walaupun persepsi berkenaan sukar dihapuskan sepenuhnya, namun amat penting bagi FGV untuk sentiasa meningkatkan kesedaran pasaran dan orang awam bahawa syarikat berkenaan adalah sebuah syarikat senaraian awam dan diuruskan secara profesional mengikut undang-undang.

“FGV komited terhadap tadbir urus korporat yang baik dalam operasinya.

Kami akan memastikan setiap perancangan dan keputusan perniagaan dibuat secara telus dan difahami oleh pemegang saham dan pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata pelantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai pengerusi Felda juga sedikit sebanyak membantu untuk mengubah persepsi orang ramai, selain membantu untuk membezakan antara kedua-dua entiti berkenaan.

Sementara itu, Mohd Isa berkata selaras dengan tugas beliau sebagai pengerusi FGV, beliau akan memberi lebih fokus kepada usaha untuk menambah baik operasi syarikat tahun ini bermula di peringkat akar umbi.

“Saya akan lebih kerap turun ke lading dan kilang untuk berjumpa kakitangan bagi memperoleh maklum balas mereka.

“Pada saya, ini sangat penting kerana golongan ini yang menjadi tulang belakang FGV sejak dahulu lagi.

“Saya percaya jika masalah peringkat bawahan diselesaikan segera dan suara mereka sentiasa didengari, ini secara langsung akan meningkatkan moral dan semangat mereka untuk bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau berkata kakitangan di peringkat bawahan juga perlu dihargai kerana mereka mempunyai pengalaman yang luas setelah bekerja dengan syarikat untuk tempoh masa yang lama.

“Sudah pasti mereka mempunyai banyak cadangan dan pandangan yang boleh dikongsi di peringkat pengurusan,” katanya.

— Bernama

Saturday, January 7, 2017

'Lantikan semula Isa Samad pengerusi FGV jamin kesinambungan'

Pelantikan semula Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) adalah penting untuk memberi tumpuan kepada perniagaan teras syarikat itu.

Sambil mengalu-alukan pelantikan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, ia juga menjamin kesinambungan yang diperlukan agar perbelanjaan pentadbiran kekal rendah, meningkatkan produktiviti aset sedia ada dan melupuskan aset bukan teras atau tidak berdaya maju.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan semalam mengumumkan pelantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bagi menggantikan Mohd Isa yang sudah tamat tempoh perkhidmatannya.

Bagaimanapun Mohd Isa kekal sebagai Pengerusi FGV.

Najib berkata, di bawah penstrukturan semula itu, terdapat pembahagian tanggungjawab menjaga kebajikan dan status sosio-ekonomi peneroka serta perniagaan FELDA.

"Mohd Isa menjadi pengerusi syarikat itu sejak 2011.

"Sepanjang tempoh tersebut, beliau menunjukkan kualiti kepemimpinan yang hebat dalam menghadapi pelbagai cabaran bagi memastikan nilai pemegang saham terjamin," kata Zakaria dalam satu kenyataan kepada Bernama.

- Bernama

Tuesday, May 24, 2016

FGV rugi sebelum cukai RM70.35 juta suku tahun pertama

Bernama
Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM70.35 juta bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac, 2016, berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM72.88 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Perolehan bagaimanapun, naik kepada RM3.75 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

FGV berkata kerugian berkenaan terutamanya disebabkan oleh pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang rendah dalam segmen huluan sawit.

"Segmen berkenaan mengalami kerugian sebanyak RM100.55 juta pada 2016 berikutan pengeluaran minyak sawit yang rendah.

"Ia susut 14 peratus kepada 484,000 tan metrik, seiring dengan pengeluaran tandan buah segar yang lebih rendah dengan 930,000 tan metrik yang dicatatkan pada 2015 kepada 781,000 tan metrik tahun ini," katanya.

-Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-