Saturday, February 24, 2018

Zahid: Terima kasih pada BN tanda syukur pada Allah

N Faizal Ghazali

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat Kelantan supaya berterima kasih kepada kerajaan BN sebagai tanda bersyukur kepada Allah.

Menurut beliau, ini kerana selama 28 tahun Kelantan ditakdirkan diperintah PAS, kerajaan pusat tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat negeri itu.

Katanya, banyak peruntukan disalurkan kepada rakyat Kelantan melalui pimpinan BN negeri sejak zaman Tun Abdullah Ahmad Badwi menjadi perdana menteri sehingga ke era Datuk Seri Najib Razak.

"Tidak namanya bersyukur kepada Allah jika tidak berterima kasih kepada yang memberi. Dan yang mencari peruntukan untuk diberi, tidak namanya bersyukur kepada Allah.

"Saya ingin mengingatkan diri saya dan hadirin cukuplah 28 tahun Allah memberi peluang dan amanah kepada mereka (PAS).

"Inilah ketika kita kena ambil alih semula negeri Kelantan di bawah Umno dan BN," katanya ketika berucap di Program Sepetang Bersama Rakyat di Tendong, Pasir Mas, hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut meluluskan tiga peruntukan iaitu RM500,000 bantuan ibu tunggal dan warga emas, peruntukan pembinaan baik pulih Masjid Bunut Susu berjumlah RM4 juta dan peruntukan membina 647 buah rumah dan baik pulih sebanyak 1,230 buah rumah di parlimen Pasir Mas.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sebaik parlimen dibubarkan, demokrasi akan diterjemahkan secara terbuka untuk rakyat memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Bagaimanapun beliau berkata, rakyat Kelantan khususnya perlu memilih parti yang dapat membantu mereka.

"Rakyat harus memilih kepada mereka yang memberi. Kepada parti yang telah memberi, kepada kerajaan pusat yang telah memberi.

"Kalau tidak, kita tidak bersyukur kepada Allah, kerana tidak berterima kasih kepada yang memberi.

"Marilah orang Tendong, Pasir Mas, orang Kelantan berterima kasih kepada yang memberi, berterima kasih kepada Umno, berterima kasih kepada BN tanda syukur kita pada Allah SWT," tegas anggota Parlimen Bagan Datok itu.

Tambah beliau, angin perubahan untuk Kelantan sudah tiba dan semakin kencang.

"Oleh yang demikian, kita merasakan bahawa angin perubahan telah sampai. Angin perubahan telah bertiup kencang.

"Tetapi ingin saya ingatkan sekali lagi kita tidak perlu memburukkan dan melemahkan orang lain, tetapi bercerita tentang diri kita," kata Ahmad Zahid.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/413345#ayry8xS2GbFeIFHs.99

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-