Penduduk Teluk Intan akan berpeluang merasai sendiri pengalaman menaiki kapal layar mewah, Equanimity, sekiranya Pakatan Harapan menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.
Dalam satu ceramah HARAPAN di Teluk Intan malam tadi, Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming berjanji untuk membawa Equanimity ke Teluk Intan dan orang ramai boleh melihatnya dari dekat.
Nga berjanji, jika HARAPAN menjadi kerajaan, beliau akan membawa kapal layar mewah berharga RM1 bilion itu ke sini untuk membolehkan penduduk Teluk Intan menaikinya.
"Selepas itu, kami akan melelongnya dan wang itu akan dikembalikan kepada rakyat," katanya kepada kira-kira 2,000 hadirin.
Apabila ditanya kemudian, Nga, yang disebut-sebut akan bertanding di Teluk Intan dalam pilihan raya umum akan datang, berkata beliau serius mengenai janjinya.
"Saya rasa yakin kami boleh melakukannya," tegasnya.
"Jika kami membentuk kerajaan, kita pasti akan menulis surat kepada Jabatan Kehakiman (DOJ) untuk menuntut kembali wang itu kerana kami benar-benar percaya wang ini telah dicuri dari rakyat di Malaysia. Ini adalah wang kita, termasuk Equanimity.
"Jadi, harapan saya ialah, jika diberi peluang, kami ingin membawa kapal layar mewah itu ke Teluk Intan dan sekurang-kurangnya untuk membolehkan rakyat melihat betapa mewahnya kapal itu," kata Nga.
Jho Low kemudiannya, melalui jurucakapnya, mengutuk rampasan kapal layar mewah itu, yang boleh membawa 26 tetamu serta 33 anak kapal, dan mempunyai tempat pendaratan helikopter.
Kapal berharga AS$250 juta itu sedang dicari oleh DOJ atas dakwaan ia dibeli menggunakan dana yang didakwa diselewengkan dari 1MDB.
DOJ sedang berusaha untuk merampas aset bernilai kira-kira AS$1 bilion yang didakwa dibeli dengan dana 1MDB yang didakwa disalahgunakan.
Putrajaya telah bertegas bahawa tidak ada wang 1MDB yang hilang atau dicuri.
Pertukaran tempat ceramah
Ceramah semalam pada mulanya dijadual diadakan di Menara Condong di Teluk Intan, tetapi dipindah kira-kira 200 meter dari situ, selepas mereka mendapati bahawa khemah telah didirikan di sana yang dikatakan untuk acara pada hari Ahad.
Bagaimanapun, perubahan tempat itu tidak menghalang orang ramai daripada menghadiri ceramah pembangkang itu.
"Sejak Sin Chew Daily melaporkan bahawa saya dijangka bertanding, saya terus menerima panggilan telefon. Jadi saya ingin bertanya, bolehkah Nga Kor Ming datang ke Teluk Intan," tanya Nga kepada hadirin.
Orang ramai, dengan penuh bersemangat, menjawab "ya".
"Kemudian saya ingin mengumumkan bahawa pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan (penasihat parti) Lim Kit Siang akan datang tidak lama lagi dan mereka akan mengumumkan (calon di Teluk Intan)," katanya.
Beliau menyeru para pengundi menolak penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Mah Siew Keong, dengan menyifatkan undi untuk Mah sama dengan undi untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Pilihan raya akan datang bukan satu pertembungan antara Mah dan calon DAP, tetapi antara rakyat dan Najib serta BN," katanya.
Mah, yang merupakan presiden parti Gerakan, memenangi kerusi itu dengan majoriti 234 undi dalam pilihan raya kecil (PRK) pada 2014.
Seah Leong Peng dari DAP memenangi kerusi pada pilihan raya umum 2013 dengan majoriti 7,313 undi.
Bagaimanapun, beliau meninggal dunia setahun kemudian, dan dalam PRK yang diadakan, Mah mengalahkan calon DAP, Dyana Sofia Mohd Daud dalam satu pertandingan sengit.
[Baca berita penuh]
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.