Sunday, April 22, 2018

Ahli PKR bantah Dr M tanding atas tiket PKR

Bernama |
April 22, 2018

Mereka mendakwa 60% daripada 200,000 ahli PKR kecewa dengan keputusan itu dan membantah logo PKR digunakan bekas perdana menteri itu.
Kira-kira 50 ahli PKR berkumpul secara aman di depan ibu pejabat PKR, semalam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kira-kira 50 ahli PKR di peringkat akar umbi dari seluruh negara membantah keputusan pimpinan tertinggi parti membenarkan Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding menggunakan logo parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Mereka membuat bantahan itu dengan berhimpun secara aman di depan ibu pejabat PKR.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Bukit Gantang, Muhamad Faisal Zainal mendakwa 60% daripada 200,000 ahli PKR kecewa dengan keputusan itu dan membantah sekeras-kerasnya logo parti itu digunakan bekas perdana menteri itu.

“Kami tidak bersetuju, tetapi pimpinan parti tidak mahu mendengar suara akar umbi.

“Ingat PKR tertubuh pada 1999 atas kezaliman Dr Mahathir terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Membenarkan Dr Mahathir menggunakan logo parti dan mengangkat beliau kembali menjadi perdana menteri adalah satu tindakan sangat tidak berprinsip,” katanya selepas himpunan aman itu, semalam.

Faisal turut menyerahkan memorandum bantahan kepada kakitangan di ibu pejabat PKR dan menyeru pimpinan tertinggi parti mengkaji semula keputusan penggunaan logo oleh pengerusi PPBM itu dalam 6 hari, mulai semalam.

Pada 5 April lepas, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) membubarkan sementara PPBM kerana gagal mengemukakan butiran yang dikehendakinya.

Berikutan itu, PPBM tidak boleh menggunakan nama dan logonya dalam tempoh perintah pembubaran sementara itu, selain tidak dibenarkan mengadakan sebarang aktiviti.

Ahli PKR Sabak Bernam, M Veerappan berkata tindakan pimpinan parti membenarkan logo PKR digunakan Dr Mahathir adalah penghinaan kepada semua ahli parti itu yang berjuang demi keadilan sejak ia ditubuhkan pada 4 April 1999.

“Kita ahli di peringkat akar umbi amat kecewa Dr Mahathir akan bertanding pada PRU14 atas lambang PKR. Kami amat keberatan menerima beliau dan mencabar beliau bertanding sebagai calon bebas.”

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-