Wednesday, April 11, 2018

Hisham: Isu tanah ATM fitnah untuk tekan PM

BERITA
Hisham: Isu tanah ATM fitnah untuk tekan PM
Diterbitkan 11 Apr 2018, 4:12 petang
Dikemaskini 11 Apr 2018, 4:18 petang

Dakwaan dibangkitkan oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz berhubung tanah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya bertujuan untuk menyerang perdana menteri, kata Menteri Pertahanan sementara Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau menegaskan ia kerana tuduhan penswastaan tanah ATM itu adalah tidak berasas malah tanpa fakta.

"Tuduhan yang dilemparkan tidak berasas dan kadang-kadang ia hanya fitnah bulat-bulat. Saya harap pihak-pihak tertentu akan menjawab dengan fakta dan bukannya hanya menekankan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan saya sahaja," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di SATRIA Residensi, Sungai Besi hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Sabtu lalu, Rafidah menerusi 'Surat Terbuka Untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak' yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, menyatakan perdana menteri selaku menteri pertahanan pada 2008 telah mengesyorkan penswastaan lebih 40,000 hektar tanah ATM kepada sebuah syarikat milik tiga individu dan telahpun diluluskan serta dilaksanakan.

Sementara itu, Hishammuddin berkata sebanyak 3,500 unit rumah di bawah program SASaR akan dibina di Sungai Besi bagi memastikan lebih ramai anggota dan veteran ATM memiliki rumah pada harga mampu milik.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 1,800 diperuntukkan kepada Tentera Darat, 600 unit masing-masing kepada Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia manakala 500 unit lagi kepada warga awam Kementerian Pertahanan.

"Spesifikasi keluasan rumah yang bakal dibina ialah seluas 1,000 hingga 1,200 kaki persegi dengan harga antara RM150,000 hingga RM250,000 seunit yang mana harga yang jauh lebih rendah dari harga pasaran," katanya.

Katanya projek itu merupakan permulaan daripada inisiatif yang digariskan di bawah Pelan Perumahan Kementerian Pertahanan yang dilancarkan pada 3 April lepas.

Beliau berkata pihak kementerian berhasrat untuk membina lebih 25,000 unit rumah lagi di 13 lokasi terpilih di seluruh negara sehingga lengkap sepenuhnya pada 2030.

Dalam perkembangan sama, Hishammuddin berkata sebanyak 1,888 unit rumah telah dijual kepada anggota tentera di Bukit Jalil di ibu negara, Johor Bahru dan Mutiara Damansara, Selangor di bawah Program Rumah Idaman dengan kerjasama Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Sebanyak 2,000 unit rumah di Taman Bukit Jalil dalam pembinaan dijangka siap pada Disember tahun ini dan 304 unit rumah teres satu tingkat di Segari, Perak dijangka siap pada April tahun depan.

-Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-