Showing posts with label Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Show all posts
Showing posts with label Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Show all posts

Tuesday, April 23, 2024

Helikopter terhempas: 10 dilaporkan terkorban

hmetro.com.my
Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my
HELIKOPTER terhempas ketika latihan di Pangkalan TLDM Lumut.

Kuala Lumpur: Seramai 10 orang dilaporkan terkorban selepas dua helikopter milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertembung dalam kejadian di Kem Tenteral Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, hari ini.

Kedua-dua helikopter terbabit berlepas dari padang Sitiawan, Perak pada jam 9.03 pagi tadi sebelum bertembung di udara.

Pesawat HOM (M503-3) yang membawa tujuh kru terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas di kolam renang Komplek Sukan TLDM Lumut.

Helikopter berkenaan dipercayai sedang menjalani latihan.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kejadian 9.50 pagi sebelum dua jentera dikejarkan ke lokasi.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman ketika dihubungi memaklumkan Menteri Pertahanan akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian itu.

Dua helikopter terhempas selepas berlanggar di udara
Disiarkan pada: April 23, 2024 @ 11:12am

Monday, November 13, 2023

Bekas panglima ATM calon BN di Kemaman

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 13, 2023 1:20 PM
Bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Raja Mohammed Affandi Raja Mohamed Noor dinamakan sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang dijadualkan 2 Dis depan.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi pada majlis pengumuman calon BN di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur hari ini, lapor Bernama

Raja Mohamed Affandi, 65, yang dilahirkan di Besut pernah tersenarai sebagai calon untuk di parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

Kelmarin Zahid membayangkan BN akan meletakkan calon langsung di Kemaman.

Katanya, kaedah sama pernah dilakukan BN sebelum ini iaitu calon dipilih tanpa melihat kepada hierarki jawatan dalam parti.

[Berita penuh menyusul]

Wednesday, July 8, 2020

Pegawai tinggi ATM ditahan SPRM

MyMetro
Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my

Hiasan SPRM

SEORANG pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan untuk siasatan berkaitan kes rasuah membabitkan projek tertentu.

Sumber berkata, pegawai berkenaan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan dikatakan menerima rasuah RM500,000.

Menurutnya, penahanan pegawai itu mempunyai kaitan dengan kes setiausaha politik bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berhubung siasatan rasuah membabitkan projek secara rundingan terus di Kementerian Pertahanan bernilai lebih RM56 juta.

"Reman terhadap pegawai tinggi tentera itu disambung bagi melengkapkan siasatan SPRM," kata sumber berkenaan tanpa memperincikan perkara itu.

Terdahulu, SPRM menahan setiausaha politik bekas Menteri Pertahanan untuk membantu siasatan rasuah membabitkan projek secara rundingan terus di Kementerian Pertahanan bernilai lebih RM56 juta.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman selama enam hari terhadap lelaki itu bermula hari ini hingga 13 Julai ini, selepas mendengar permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Sumber berkata, lelaki itu dikatakan melakukan kesalahan di Kementerian Pertahanan ketika bertugas sebagai Setiausaha Politik menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 8:02 PM

Monday, March 23, 2020

Malam di ibu kota bagai ‘dilanggar garuda!’

By Syahril A. Kadir
     - 23 March 2020

Suasana tenang pada hari keenam Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
 foto FAREEZ FADZIL, 23 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Keadaan sekitar ibu negara khususnya di Bukit Bintang, tempat yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri lengang bagaikan ‘dilanggar garuda’.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati usaha polis mengadakan sekatan jalan raya dengan dibantu pasukan tentera ternyata mendatangkan impak besar kepada penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan.

Jalan Alor dan Changkat Bukit Bintang yang selalunya padat dengan pelancong yang gemarkan hiburan dan menikmati makanan ketika lewat malam kini sunyi sepi.
Suasana tenang pada hari keenam Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Alor, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 MAC 2020

Yang ada hanyalah seorang dua pengemis yang mundar mandir dan para pekerja pembersihan.

Menjelang awal pagi keadaan menjadi bertambah sunyi.
Suasana tenang pada hari keenam Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Alor, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 MAC 2020

Begitu juga di sekitar Chow Kit dan Jalan Raja Laut.

Jumlah gelandangan juga berkurangan secara mendadak berbanding hari-hari awal pelaksanaan perintah tersebut.

Ternampak juga kelibat seorang dua maknyah yang masih lagi ‘curi-curi’ mencari pelanggan di celah-celah bangunan, namun lari ‘tak cukup tanah’ bila ternampak kereta peronda yang berkawal.

Untuk rekod, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu hingga 31 Mac ini di seluruh negara.
Perintah kawalan tersebut dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Ia bagi mencegah penularan baharu wabak Covid-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat jika tiada langkah drastik diambil.
Anggota polis dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia bersama menjalankan sekatan jalan raya semasa Ops Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di tapak Tol Sungai Rasau, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 22 MAC 2020

Semalam juga menyaksikan penglibatan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diminta membantu pihak polis dalam menjayakan perintah kawalan pergerakan tersebut.

Setakat tengah hari semalam, terdapat 123 kes baru yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,306 kes.

Seramai 46 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, sebanyak 22 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kematian juga telah meningkat kepada 10 orang. 

Malaysia Gazette

Saturday, March 21, 2020

PKP: ATM nafi beri kebenaran anggota pukul orang awam

Henti sebar mesej palsu undang spekulasi, cetus panik
21/03/2020


KUALA LUMPUR, 26 Rejab 1441H, Sabtu – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan kandungan rakaman suara yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, kononnya anggotanya diberi kebenaran untuk memukul orang awam ketika menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang dalam satu kenyataan, menafikan sekeras-kerasnya, rakaman suara dan mesej informasi yang mendakwa kaedah itu akan diguna pakai, dalam membantu Polis Diraja Malaysia.

“Masyarakat diminta berhenti mesej atau informasi itu, kerana boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik, dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu, boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Sementara itu, Affendi berkata, masyarakat tidak perlu bimbang apabila melihat kehadiran anggota ATM daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu darat, laut dan udara, dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Ini merupakan tugas sekunder ATM di waktu aman, iaitu berperanan membantu pihak berkuasa awam dalam memelihara keamanan negara.

“Orang ramai perlu bekerjasama dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, agar usaha membendung penularan COVID-19, dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Semalam, telah tular satu rakaman suara berdurasi 39 saat, yang mendakwa anggota tentera akan memukul orang awam, sekiranya melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan. 

-Bernama

Friday, March 20, 2020

Pemimpin DAP rasa tentera tidak sepatutnya dikerah


Pemimpin tertinggi pusat DAP (CEC), Ronnie Liu seolah-olah tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan mengerah Angkatan Tentera Awam (ATM) untuk membantu melicinkan proses Perintah Kawalan Pergerakan.

Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sg Pelek mendakwa itu bukan satu langkah baik.

“Menghantar tentera utk membantu kawalan pergerakan?

“Ini bukan langkah yg baik. Semoga kerajaan terus percaya kepada pasukan polis,” tulisnya dalam Facebook hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu supaya arahan dipatuhi agar dapat mencegah penularan wabak Covid-19.

Perintah kawalan itu dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan kerajaan akan menggerakkan tentera bermula Ahad ini dalam usaha mengurangkan pergerakan rakyat, namun ia bukanlah satu perintah darurat.

Friday, August 16, 2019

Mana-mana pihak hina tentera adalah musuh negara - Mat Sabu

Anne Muhammad 
Diterbitkan Hari ini 9:34 pagi


Mana-mana pihak tanpa mengira kaum yang menghina peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan musuh kepada negara, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Mohamad turut menganggap perbuatan itu sebagai jijik dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Mutakhir ini kita lihat disebabkan negara aman dan tenteram, ada yang lupa peranan Kementerian Pertahanan dan unit-unit dibawahnya.

“Bagi kita, siapa sahaja yang hina ATM, mereka adalah musuh negara, tidak kira mana-mana kaum atau pihak. Bahkan, bagi kita menghina ATM juga adalah jijik dan tidak boleh diterima,” kata Mohamad.

Mohamad berkata demikian menerusi ucapannya ketika Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan 2019 di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Hadir sama dalam Majlis tersebut Timbalannya Liew Chin Tong.

Baru-baru ini, pengasas Gamuda, Koon Yew Yin dalam blognya berkata ramai anggota tentera hanya makan dan tidur malah ramai antara mereka tidak pernah menembak, dan mencadangkan anggota tentera dihantar bertugas ke ladang-ladang Felda.

Kenyataan itu dibuat Koon menerusi satu tulisan bertajuk "Cadangan saya untuk mengurangkan dan meningkatkan perkhidmatan awam kita".
Bagaimanapun pendapat itu mengundang kritikan pemimpin kerajaan, pembangkang dan NGO yang berpandangan kenyataan itu menghina pasukan ATM.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Koon akhirnya membuat permohonan maaf, terutamanya kepada anggota tentera yang tersinggung dengan kenyataan itu.

Mengulas mengenai permohonan maaf dibuat Koon, Mohamad dalam sidang media selepas itu memaklumkan tidak akan ada perkataan menerima maaf yang akan keluar dari mulutnya, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada polis.

“Tidak sebut soal maafkan. Tidak ada perkataan maaf dan sebagainya. Laporan yang dibuat kita serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan atau tidak, atas kebijaksanaan mereka,” katanya dalam sidang media.

Sebelum itu Mohamad dalam ucapannya turut yakin kredibiliti anggota tentera tetap utuh dalam menangani pelbagai isu keselamatan domestik dan antarabangsa.

'Ada isu perkauman dimainkan'

Beliau turut mengkritik sikap netizen yang hanya melenting apabila kritikan terhadap anggota ATM dibuat seorang jutawan bukan Melayu, namun berdiam diri apabila kritikan terhadap pasukan itu dibuat bekas Ketua Menteri Sabah Harris Salleh.

Julai lalu, sebuah portal berpengkalan di Sabah, Dailyexpress melaporkan Harris menggesa anggota parlimen mengemukakan usul untuk mengkaji semula peranan ATM supaya wang berbilion ringgit yang dibelanjakan ketika ini boleh dijimatkan untuk memulihkan ekonomi negara.
“Apabila bekas ketua menteri Sabah keluarkan kenyataan minta bekas tentera jadi pengawal keselamatan, manakala tentera wanita elok menjadi amah atau tukang cuci, rakyat tidak melenting. Ia juga merendahkan pasukan tentera.

“Rakyat melenting dan membela pasukan tentera apabila ada jutawan katakan tentera hanya makan dan tidur, serta elok jadi peneroka Felda.

“Saya lihat ada isu perkauman yang dimainkan. Kenapa seorang Islam mengkritik tentera netizen diam, tetapi kenapa bila jutawan ini mereka melenting,” katanya.

Jelasnya, walau apa pandangan dilontarkan netizen, pasukan ATM harus tetap berkhidmat kepada kerajaan dan akan mempertahankan kedaulatan negara.

“Disebabkan kedaulatan negara yang dijaga oleh tentera menyebabkan peniaga boleh jadi jutawan, boleh bergerak ke mana-mana, boleh mencari makan dan boleh tambah pendapatan,” katanya.

Wednesday, August 14, 2019

Askar makan, tidur: Koon Yiew Yin jangan biadab

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
14 AUGUST 2019

SAYA merasakan sudah sampai masanya Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa saja yang mencetuskan keadaan tidak tenteram di dalam negara terutamanya membabitkan soal kaum, agama dan juga menghina penjawat awam. Jika dilihat sekarang nampaknya keadaan sudah menjadi tidak terkawal dan makin melampau.

Penghinaan terhadap penjawat awam terutamanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah sesuatu yang cukup biadab dan tidak boleh diterima. ATM adalah benteng pertahanan negara yang cukup dipandang mulia dan bukan semua rakyat mampu menggalas tanggungjawab tersebut.

Apabila meneliti kenyataan ahli perniagaan yang juga penyumbang dana PH ketika PRU lalu Koon Yiew Yin, saya menganggap sebenarnya beliau menghina penjawat awam terutamanya ATM yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara.

Telah terbukti sejak dahulu lagi jasa ATM tiada tolok bandingnya. ATM telah berjaya mempertahankan negara seperti ketika penjajahan Jepun, pemberontakan dan serangan komunis di mana setiap anggota ATM termasuk juga PDRM telah berkorban demi rakyat dan negara.

ATM juga turut terbabit dalam misi keamanan PBB di pelbagai tempat di luar negara sama ada untuk menjaga keamanan mahupun mengelak dari berlakunya konfrantasi.

Saya ingin bertanyakan kepada Koon Yiew Yin, adakah jika negara berada di kancah peperangan, sanggupkah beliau bersama-sama ATM mengangkat senjata mempertahankan negara? Jika anda hanya pandai bercakap tetapi belum tentu sanggup berkorban nyawa mempertahankan tanah air, lebih baik anda diam dan tutup mulut.

Sejarah tamadun dunia sejak dahulu lagi telah membuktikan siapa dan bagaimana manusia yang menjadi pejuang tanah air serta yang menjadi petualang.

Kata-kata beliau bukan sahaja menghina ATM, tetapi juga menghina para peneroka Felda. Ungkapan beliau seolah-olah seperti Felda suatu tempat yang teruk maka layak para anggota ATM diletakkan di sana kerana hanya tahu makan dan hidup. Tidak kira anggota ATM mahupun peneroka Felda, mereka menyumbang tenaga kepada negara.

ATM bukan setakat menyumbang tenaga malah mereka turut mempertaruhkan nyawa. Peneroka Felda adalah di antara penyumbang terbesar ekonomi negara dengan kepelbagaian produk sawit negara.

Usah ingat anda penyumbang dana kepada parti pemerintah pada PRU yang lalu, anda boleh berkata dan menghina sesuka hati.

Sekali lagi saya memohon kepada YAB Tun Dr. Mahahtir agar mengambil tindakan tegas terhadap Koon YIew Yin ataupun sesiapa saja yang menggugat ketenteraman dan keamanan negara.

Malaysia negara merdeka dan berdaulat, usah menjadi petualang kepada rakyat dan negara.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
AJK PAS Pusat
Adun Batu Burok

 – HARAKAHDAILY
    14/8/2019

Tuesday, October 9, 2018

Bekas tentera seru menangkan calon PAS

IZWAN ABDUL HALIM
09 OCTOBER 2018

KUALA LUMPUR: Pengundi PRK P.132 Port Dickson mempunyai peranan penting yang secara langsung mewakili dan membawa mesej rakyat Malaysia untuk memberi isyarat penting kepada Kerajaan PH khususnya.

Bekas anggota tentera, Zulkifli Che Haron berkata, undi mereka boleh menjadi satu tuntutan kepada Kerajaan PH supaya jangan mengemukakan pelbagai alasan untuk menunaikan 10 Perkara telah dijanjikan dalam Manifesto PRU14 lalu.
"Pengundi Port Dickson perlu mengambil peluang ini menjadikannya indikator kepada kerajaan sedia ada dengan memilih calon PAS sebagai suatu pengajaran kepada mereka supaya menunaikan segala yang telah dijanjikan kepada rakyat.

"Saya berkeyakinan, calon PAS yang ditauliah sehingga ke pangkat Leftenan Kolonel sudah pasti beliau seorang pegawai terlatih dan berkemampuan memimpin serta berdisiplin tinggi, selain tidak pernah disabit dengan salah laku moral.

"Demi mengangkat darjat Angkatan Tentera Malaysia, anggota serta veterannya juga, maka Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar wajar dipilih mewakili suara warga ATM," ujarnya yang berasal dari Alor Setar.

Menurutnya, walaupun berlaku pertembungan tujuh penjuru, perhatian yang tertumpu kepada calon PH, Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah kerana PRK itu berbeza dengan lain sebelumnya.

Katanya, pengundi sedang memperkatakan kontroversi disebalik PRK tersebut diadakan, selain calon-calon juga membuahkan banyak kontroversi yang sedia dimaklumi umum selama ini.

"Jadi terbaiknya pengundi memilih dan memenangkan calon PAS. Ianya tidak menjejaskan kerajaan sedia ada. Tetapi sebaliknya, suasana lebih positif kepada kerajaan kerana wujudnya kuasa 'check and balance'," seru beliau.

 - HARAKAHDAILY 9/10/2018

Wednesday, April 11, 2018

Hisham: Isu tanah ATM fitnah untuk tekan PM

BERITA
Hisham: Isu tanah ATM fitnah untuk tekan PM
Diterbitkan 11 Apr 2018, 4:12 petang
Dikemaskini 11 Apr 2018, 4:18 petang

Dakwaan dibangkitkan oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz berhubung tanah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya bertujuan untuk menyerang perdana menteri, kata Menteri Pertahanan sementara Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau menegaskan ia kerana tuduhan penswastaan tanah ATM itu adalah tidak berasas malah tanpa fakta.

"Tuduhan yang dilemparkan tidak berasas dan kadang-kadang ia hanya fitnah bulat-bulat. Saya harap pihak-pihak tertentu akan menjawab dengan fakta dan bukannya hanya menekankan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan saya sahaja," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di SATRIA Residensi, Sungai Besi hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Sabtu lalu, Rafidah menerusi 'Surat Terbuka Untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak' yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, menyatakan perdana menteri selaku menteri pertahanan pada 2008 telah mengesyorkan penswastaan lebih 40,000 hektar tanah ATM kepada sebuah syarikat milik tiga individu dan telahpun diluluskan serta dilaksanakan.

Sementara itu, Hishammuddin berkata sebanyak 3,500 unit rumah di bawah program SASaR akan dibina di Sungai Besi bagi memastikan lebih ramai anggota dan veteran ATM memiliki rumah pada harga mampu milik.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 1,800 diperuntukkan kepada Tentera Darat, 600 unit masing-masing kepada Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia manakala 500 unit lagi kepada warga awam Kementerian Pertahanan.

"Spesifikasi keluasan rumah yang bakal dibina ialah seluas 1,000 hingga 1,200 kaki persegi dengan harga antara RM150,000 hingga RM250,000 seunit yang mana harga yang jauh lebih rendah dari harga pasaran," katanya.

Katanya projek itu merupakan permulaan daripada inisiatif yang digariskan di bawah Pelan Perumahan Kementerian Pertahanan yang dilancarkan pada 3 April lepas.

Beliau berkata pihak kementerian berhasrat untuk membina lebih 25,000 unit rumah lagi di 13 lokasi terpilih di seluruh negara sehingga lengkap sepenuhnya pada 2030.

Dalam perkembangan sama, Hishammuddin berkata sebanyak 1,888 unit rumah telah dijual kepada anggota tentera di Bukit Jalil di ibu negara, Johor Bahru dan Mutiara Damansara, Selangor di bawah Program Rumah Idaman dengan kerjasama Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Sebanyak 2,000 unit rumah di Taman Bukit Jalil dalam pembinaan dijangka siap pada Disember tahun ini dan 304 unit rumah teres satu tingkat di Segari, Perak dijangka siap pada April tahun depan.

-Bernama

Thursday, October 27, 2016

Najib lancar NSOF, pertama di dunia

OLEH ARIF NIZAM ABDULLAH  - 

Pasukan Operasi Khas Negara membuat demonstrasi menggunakan helikopter pada Majlis Pelancaran Pasukan Operasi Khas Negara (NSOF) di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 Okt 2016.

Datuk Seri Najib Razak menyifatkan penubuhan Pasukan Operasi Khas Nasional (NSOF) membuktikan komitmen serius kerajaan bagi menangani ancaman keganasan terhadap kepentingan negara.

Perdana Menteri berkata, NOSF dianggotai pasukan khusus dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Beliau berkata, pasukan berkenaan adalah pertama di dunia menggabungkan kekuatan darat, laut dan udara yang dianggotai seramai 17 pegawai dan 170 anggota.

"NSOF kali pertama ditubuhkan dan Malaysia merupakan satu-satunya kerajaan yang menubuh. Tiada negara lain yang berjaya menggabungkan angkatan laut dan darat.

"Dalam ATM pernah gabung dengan pelbagai angkatan kita tahu. Memang kuat dan apatah lagi NSOF campur dengan polis. Campur lagi dengan APMM, lagi macam-macam.

"Maknanya kita sudah berjaya. Negara lain tidak boleh buat, Malaysia boleh buat. Harap-harap ini akan beri satu kelainan, beri nilai tambah untuk memerangai keganasan.

"Dari segi jumlahnya, NSOF tidak besar, kita tidak perlu pasukan yang besar. Yang kita hendak, pasukan ini yang merupakan satu kumpulan yang terlatih dan bergerak dalam SOP yang paling cepat.

"Dan kita boleh tambah lagi dengan angkatan lain sekiranya memerlukan anggota tambahan mengikut situasi tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran NSOF di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahidan Kassim dan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk peralatan penghawa dingin Bangunan NSOF.

Mengulas lanjut, Najib berkata, penubuhan NSOF merupakan sebahagian daripada inisiatif keselamatan negara berdasarkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Jelasnya, NSOF akan bertindak sebagai pasukan tindakan cepat bagi membendung keganasan di peringkat awal melibatkan unit darat, udara dan maritim daripada pasukan keselamatan.

"NSOF akan diselia oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengikut Akta MKN yang berkuatkuasa baru-baru ini.

"Justeru, NOSF adalah manifestasi dan komitmen kerajaan yang tidak alpa dengan keselamatan negara," katanya. 

- MalaysiaGazette

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-