February 16, 2025
Ketua Penerangan PERKASA, Irwan Fahmi Ideris berkata, sekolah vernakular menjadi penyebab utama segelintir rakyat Malaysia tidak fasih berbahasa Melayu walaupun lahir di negara ini.
Beliau turut mengkritik kenyataan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli yang menyatakan bahawa sekolah vernakular menggalakkan persaingan sihat antara sekolah.
“Tanggapan Rafizi yang mengatakan wujud galakan persaingan sihat adalah kurang tepat kerana ia akan memecahkan sempadan perpaduan kaum di negara ini apabila wujudnya sekolah vernakular,” katanya kepada Harakahdaily, tadi.
Justeru, PERKASA menyarankan agar Rafizi melihat keadaan kehidupan seharian rakyat di Indonesia yang berbilang kaum tetapi bertutur dengan menggunakan bahasa ibunda negara Indonesia.
“Walaupun kita lihat mereka datang dari pelbagai etnik dan bangsa berlainan yang ada di Indonesia dan cuba kita bandingkan dengan segelintir rakyat di negara ini yang tidak fasih berbahasa Melayu.
“Ia akibat tembok sempadan yang dibina oleh sekolah vernakular ini. (Sedangkan) Sekolah vernakular tidak pernah wujud di Indonesia, Jepun, Korea, China dan Eropah.
“Tetapi di Malaysia bukan sahaja wujud sekolah vernakular, bahkan peruntukan untuk sekolah vernakular ditambah setiap tahun oleh kerajaan sehingga sekolah kebangsaan ada juga yang daif seperti di pedalaman luar bandar,” katanya.
Oleh demikian, PERKASA turut menggesa Rafizi agar fokus kepada kementeriannya yang lebih memerlukan perhatian seorang Menteri dalam mengukuhkan ekonomi di negara ini.
“Saya merasakan bahawa Menteri Ekonomi terlalu obses sehinggakan terlupa portfolio yang disandangnya dengan mengulas lebih lanjut yang sepatutnya diulas oleh Menteri Pendidikan,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan pendirian mereka untuk mendesak sistem sekolah satu aliran dilaksanakan demi menjaga kepentingan Bahasa Kebangsaan serta memperkukuh perpaduan nasional.
Terdahulu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, berpandangan kewujudan sekolah vernakular memberi impak positif, khususnya menggalakkan persaingan sihat antara semua jenis sekolah di negara ini.
Tambah Rafizi, persepsi yang mengaitkan sekolah jenis kebangsaan (SJK) tidak baik untuk negara, adalah tidak benar sama sekali.
– HARAKAHDAILY 16/2/2025
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.